omniture

Parallel Wireless Mengumumkan percubaan RAN Terbuka 2G, 4G yang Pertama dan Satu-satunya menggunakan Pelayan x86 COTS dan NFVi dengan Axiata untuk Dialog, Sri Lanka

Parallel Wireless
2021-06-28 14:00 23

NASHUA, New Hampshire, 28 Jun 2021 /PRNewswire/ -- Parallel Wireless, Inc., syarikat RAN Terbuka yang berpangkalan di A.S. ini memberikan penyelesaian RAN Terbuka, natif awan dan Semua G yang terkemuka di dunia, berbangga kerana telah dipilih oleh Axiata Group Berhad sebagai rakan niaga strategik bagi menyediakan rangkaian O-RAN untuk syarikat telekomunikasi digital kumpulan tersebut di seluruh Asia Tenggara dan Asia Selatan yang membolehkan ketersambungan kedua-dua jalur lebar 2G dan 4G.

Axiata yang beribu pejabat di Malaysia, merupakan salah sebuah Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) terkemuka di Asia yang mengendalikan syarikat telekomunikasi digital, perniagaan dan infrastruktur digital dengan visi untuk menjadi Juara Digital Generasi Akan Datang menjelang tahun 2024. Melalui operasi syarikat telekomunikasi digital di Malaysia (Celcom), Indonesia (XL), Sri Lanka (Dialog), Bangladesh (Robi), Kemboja (Smart) dan Nepal (Ncell) yang memberi perkhidmatan kepada kira-kira 157 juta orang pelanggan, Axiata sedang bersedia untuk menawarkan ketersambungan jalur lebar tanpa wayar 2G dan 4G daripada radio yang sama menggunakan spektrum 1800 MHz yang menyediakan perkhidmatan suara dan data menggunakan teknologi canggih terkemuka.

Percubaan ini adalah unik kerana ia termasuk penggantian infrastruktur sedia ada menggunakan penyelesaian RAN Terbuka Parallel Wireless yang perancangan, reka bentuk, pelaksanaan, penyepaduan, ujian dan pengoptimumannya dilakukan secara jarak jauh oleh pasukan tersebut disebabkan sekatan Covid-19.  Sebuah unit radio tunggal dengan teknologi 2G dan 4G telah dipasang, dengan jalur asas pada platform x86 COTS SuperMicro (NASDAQ: SMCI) Intel (NASDAQ: INTC) dan aplikasi berpusat yang lain telah dipasang pada infrastruktur awan OpenStack Axiata yang sedia ada. Percubaan lapangan Sektor 3, Sektor 4 dan Sektor 6 ini adalah sempurna, membawa trafik komersial dan menunjukkan prestasi rangkaian yang berkualiti setanding dengan yang sedia ada. Axiata mensasarkan penggunaan komersial pada S4 2021.

Seiring dengan kepakaran kami dalam penggunaan rangkaian RAN Terbuka, Parallel Wireless akan bekerjasama dengan ekosistem pembekal yang luas untuk penyelesaian yang menjimatkan kos. Melalui kerjasama dengan ekosistem vendor yang terbaik, Parallel Wireless boleh menyediakan pada kos yang lebih rendah, perkakasan berkualiti tinggi, ketangkasan penggunaan dan perkhidmatan inovatif. Rakan niaga kami termasuk:

  • Radio RAN Terbuka kendiri daripada rakan niaga seperti GigaTera Communications dan Comba Telecommunications ("Comba Telecom" atau "Kumpulan," kod saham Hong Kong: 2342) yang menyediakan perkhidmatan 2G dan 4G daripada radio yang sama melebihi spektrum 1800 MHz.
     
  • Pelayan canggih yang disediakan oleh SuperMicro.

Melalui kerjasama dengan Parallel Wireless, Axiata akan dapat mengembang dan meningkatkan rangkaian tanpa wayarnya serta menyediakan perkhidmatan digital generasi akan datang kepada pelanggan di seluruh Asia dengan:

  • Membina penyelesaian rangkaian RAN Terbuka, natif awan, O-RAN bertaraf dunia yang berdasarkan seni bina berprestasi tinggi dan teragih Parallel Wireless.
     
  • Memanfaatkan infrastruktur awan OpenStacknya untuk menggunakan pengawal RAN Terbuka NFVi.
     
  • Meningkatkan ketangkasan perkhidmatan dan mengurangkan keseluruhan Jumlah Kos Pemilikan (TCO) di seluruh tapak yang teragih secara geografi melalui pengenalan automasi RAN.

Thomas Hundt, Naib Presiden Eksekutif – Teknologi  Axiata berkata, "Kami komited terhadap RAN Terbuka dan percubaan ini membuktikan bahawa penyelesaian RAN Terbuka boleh digunakan pada infrastruktur awan dan COTS serta pada masa yang sama memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Ini membolehkan kami memperluas dan meningkatkan pengalaman pelanggan dengan perkhidmatan jalur lebar 2G dan 4G di seluruh jejak kami di Asia, terutamanya memperluas liputan ke pasaran yang terabai pada masa ini."

Keith Johnson, Presiden Parallel Wireless berkata "Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Axiata bagi menggantikan peralatan vendor sedia ada dengan Penyelesaian RAN Terbuka canggih kami untuk membolehkan perkhidmatan jalur lebar 2G dan 4G di Sri Lanka serta dengan anak syarikat Axiata yang lain. Kami teruja atas kejayaan percubaan tersebut dan tidak sabar menantikan penggunaan komersial pada tahun 2021."

Tentang Parallel Wireless 

Di Parallel Wireless, kami percaya bahawa perisian berkuasa untuk memanfaatkan peluang-peluang hebat di dunia. Kami mengubah cara rangkaian tanpa wayar dibangunkan dan dikendalikan. Kami sedang memperbaharui cara perkakasan, perisian dan awan bekerjasama untuk mengubah penggunaan yang ekonomi kepada para pengguna. Platform perisian pematuhan O-RAN ALL G (2G 3G 4G 5G) kami membentuk seni bina RAN terbuka, selamat dan pintar untuk memberi ketersambungan tanpa wayar, supaya semua orang boleh berhubung pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan dengan cara yang mereka pilih. Kami bekerjasama dengan syarikat MNO global terkemuka dan telah diiktiraf oleh lebih 74 anugerah industri. Teras kekuatan kami ialah pasukan Pembangun yang menghargai inovasi, kerjasama, keterbukaan dan kejayaan pelanggan. Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.parallelwireless.com. Berhubung dengan Parallel Wireless di LinkedIn dan Twitter.

Tentang Axiata

Sebagai salah sebuah kumpulan telekomunikasi terkemuka di Asia yang berusaha bagi mencapai visinya untuk menjadi Juara Digital Generasi Akan Datang menjelang tahun 2024, Axiata telah mengubah syarikatnya daripada entiti pegangan dengan portfolio yang berfokus hanya pada aset mudah alih menjadi syarikat yang dipacu Strategi Tiga Teras yang memfokus kepada Syarikat Telekomunikasi Digital, Perniagaan Digital dan Infrastruktur.

Dalam ASEAN dan Asia Selatan, Kumpulan ini mempunyai kepentingan mengawal dalam pengendali mudah alih dan tetap yang terkemuka di pasaran di rantau ini termasuk 'Celcom' di Malaysia, 'XL' di Indonesia, 'Dialog' di Sri Lanka, 'Robi' di Bangladesh, 'Smart' di Kemboja dan 'Ncell' di Nepal. Axiata secara aktif menerajui usaha untuk mengubah operasinya yang berpusatkan mudah alih menjadi syarikat yang bertumpukan digital.

Axiata Digital, bahagian perkhidmatan digital Axiata memberi tumpuan kepada dua perniagaan digital vertikal iaitu Perkhidmatan Kewangan Digital ('Boost', 'Aspirasi') dan Analitik Digital & AI ('ADA').

'edotco', syarikat infrastruktur Kumpulan ini beroperasi di lapan buah negara untuk memberikan perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi yang mempunyai kira-kira 32,800 buah menara. Syarikat menara bebas yang ke-16 terbesar di seluruh dunia pada masa ini menyasarkan untuk menjadi salah sebuah syarikat menara telekomunikasi serantau terkemuka dan komited terhadap operasi perniagaan yang bertanggungjawab dan lestari.

Sebagai pelabur jangka panjang dan komited serta sejajar dengan matlamat kelestariannya, Kumpulan ini secara aktif menyokong dan mendorong pembangunan bakat muda; tindak balas dan pemulihan bencana; serta inisiatif hijau. Matlamat Axiata yang lebih luas untuk Memajukan Asia bertujuan untuk menyatukan yang terbaik di rantau ini dari segi inovasi, ketersambungan dan bakat.

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1004727/PW_FullColor_CMYK_Logo.jpg?p=medium600

 

 

Source: Parallel Wireless
Related Stocks:
NASDAQ:INTC NASDAQ:SMCI
Keywords: Telecommunications Wireless Communications New products/services