Ekonomi terbesar di dunia dinilai berdasarkan kadar kerosakan dan sisa makanan, pertanian lestari dan cabaran nutrisi dalam Indeks Kelestarian Makanan terkini (FSI).
LONDON, 14 Julai 2021 /PRNewswire/ -- Negara G20 hendaklah menjadi pemimpin teladan sebelum berlangsungnya Sidang Kemuncak Sistem Makanan PBB dengan mengurangkan lagi kadar kerosakan dan sisa makanan serta memperbaiki diet dan pertanian, menurut pengarang Indeks Kelestarian Makanan (FSI).
FSI yang diusahakan oleh Unit Kecerdasan Ahli Ekonomi (EIU) serta Pusat Makanan dan Nutrisi Barilla (BCFN), mendapati bahawa terdapat "peluang penambahbaikan" di kebanyakan negara dengan hanya Kanada dan Jepun berada di suku teratas untuk ketiga-tiga teras.
Antara negara yang mencapai prestasi terbaik termasuklah Australia, Perancis, Itali dan UK manakala AS merupakan negara berprestasi paling teruk dari segi penggunaan daging dan penukaran tanah untuk pertanian.
Indonesia dan Arab Saudi merupakan negara-negara berprestasi paling teruk untuk kesemua metrik.
"Ahli G20 menjana 80 peratus daripada pengeluaran ekonomi dunia dan 75 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global sekali gus membuka peluang dan meletakkan tanggungjawab kepada negara-negara ini untuk menerajui kelestarian makanan," kata Martin Koehring, Ketua Serantau (EMEA) untuk Kelestarian, Perubahan Iklim dan Sumber Semula Jadi EIU.
FSI mengungkap perkembangan dalam pengurangan 931 juta tan makanan yang dibazirkan di seluruh dunia setiap tahun, namun tiada satu pun daripada negara-negara ini yang mempunyai perancangan khusus untuk menggalas tanggung jawab terhadap kerugian atau memantau strategi pengurangan.
Pengarang juga menyorot tentang diet di AS dengan purata pemakanan daging harian para pengguna yang hampir-hampir 250g lebih banyak daripada yang disyorkan.
Laporan tersebut memetik beberapa bukti bahawa pematuhan terhadap garis panduan diet kerajaan akan mengurangkan kematian pramatang pada kadar 15 peratus dan pelepasan karbon pada kadar 13 peratus dengan menampilkan kempen "Five a Day" UK untuk meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran sebanyak 10 peratus.
Menurut FSI, kesemua negara G20 mempunyai garis panduan diet tetapi hanya empat negara merangkum kelestarian sebagai metrik diet yang sihat. Walaupun 13 buah negara mempunyai sasaran tindakan iklim baharu yang ketat, hanya Indonesia dan Kanada menekankan sektor pertanian dalam rancangan kebangsaan mereka.
"Kami tahu bahawa sistem makanan lestari merupakan komponen penting dalam pelaksanaan pembangunan lestari yang diharapkan oleh Agenda 2030 PBB. Kepemimpinan G20 boleh mendorong perubahan transformasi yang diperlukan oleh seluruh sistem makanan untuk mencapai semua matlamat global kami daripada mengurangkan kelaparan dan kemiskinan hinggalah kepada menangani perubahan iklim," kata Dr. Marta Antonelli, Ketua Penyelidikan BCFN.