omniture

Echion Technologies, Cambridge, UK Sukacita Mengumumkan Pusingan Pembiayaan Siri A Bernilai £10 Juta Telah Lengkap

Echion Technologies
2021-08-24 21:35 86

CAMBRIDGE, England, 24 Ogos 2021 /PRNewswire/ -- Echion Technologies ("Echion") ialah syarikat pembangun bahan generasi seterusnya untuk bateri Ion Litium yang terkemuka. Produknya memberikan gabungan keupayaan pengecasan pantas, penjimatan kos dan ketumpatan tenaga tinggi yang unik; yang penting untuk peralihan dunia kepada penyahkarbonan melalui pengelektrikan yang meluas.

Echion Technologies co-founders: Jean de La Verpilliere, CEO (right) and Alex Groombridge, CTO  (left)
Echion Technologies co-founders: Jean de La Verpilliere, CEO (right) and Alex Groombridge, CTO (left)

Pusingan Pembiayaan Siri A ini telah diketuai oleh CBMM - pembekal produk niobium yang terkemuka di dunia dan BGF - pelabur modal ekuiti dalam syarikat ekonomi pertumbuhan yang paling aktif dan dinamik di UK & Ireland serta Universiti Cambridge, Origin Capital dan para pemegang saham sedia ada yang lain yang turut menyertainya.

Richard Pugh, Pelabur BGF yang menyertai Ahli Lembaga Pengarah Echion berkata: "Echion mempunyai potensi yang besar untuk menggunakan teknologi kimia bateri canggihnya bagi mempercepat penerimagunaan bateri dalam pelbagai kegunaan. BGF yakin bahawa bateri akan memainkan peranan penting dalam peralihan tenaga dan telah mengenal pasti bahawa teknologi Echion membawa manfaat yang signifikan dalam bidang utama seperti penggunaan pengecasan pantas atau berkuasa tinggi."

"Pusingan pembiayaan ini akan membantu pasukan pengurusan yang luar biasa ini melengkapkan usaha akhir kepada penerimagunaan komersial, bekerjasama erat dengan pelbagai pihak berkepentingan berkualiti tinggi seperti projek bersama dengan Johnson Matthey baru-baru ini dan beberapa pelanggan antarabangsa berprofil tinggi yang lain." 

Ini meningkatkan pelaburan BGF dalam syarikat yang terlibat dalam pengurangan karbon dan peralihan tenaga kepada £230 juta dan dilakukan sejurus selepas pengumuman Clean Growth Advisory Board (Lembaga Penasihat Pertumbuhan Bersih) yang dipengerusikan oleh Baroness Brown of Cambridge. 

Bahan-bahan Echion telah beroleh kejayaan dalam penilaian yang dijalankan oleh pengeluar sel bateri dan bahan bateri utama di seluruh dunia, yang kini sedang melakukan percubaan pada skala yang lebih besar. Pembiayaan ini akan membolehkan Echion meningkatkan pengeluaran bahan peringkat pelbagai tan, menunjukkan keupayaan pengeluaran dengan hasil yang tinggi dan pengurangan kos serta memberikan bekalan kepada permintaan yang semakin meningkat terhadap bahan untuk percubaan prapengeluaran.

Rodrigo Amado, Ketua Strategi dan Usaha Niaga Baharu CBMM berkata: "Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada strategi global kami untuk mempercepat masa ke pasaran bagi Perniagaan Bahan Bateri kami dan membawa teknologi gunaan niobium yang inovatif ke pasaran yang akan benar-benar mengubah cara dunia bergerak. CBMM bersama-sama dengan Echion akan terus menuju ke arah mobiliti lestari dengan menawarkan bateri pengecasan ultra pantas yang mempunyai kestabilan yang lebih tinggi dan jangka hayat yang lebih panjang. Kami optimis dan percaya bahawa produk baharu ini akan tersedia pada tahun hadapan."

Dana ini juga akan digunakan untuk mengukuhkan sokongan pelanggan, operasi komersial dan R&D.

Ketua Pegawai Eksekutif Echion, Jean de La Verpilliere berkata: "Kami amat teruja untuk memulakan fasa seterusnya dalam perjalanan kami bagi membawa produk Campuran Niobium Oksida Echion ke pasaran. Kami mempunyai sinergi yang hebat dalam pangkalan pelabur kami dan akan terus membangunkan pasukan terkemuka di dunia untuk memberikan prestasi yang luar biasa kepada para pelanggan kami. Kami berharap dapat mewujudkan nilai untuk rakan kongsi kami dan menyumbang dalam merealisasikan bateri pengecasan yang amat pantas."

Echion berminat untuk dihubungi oleh pengeluar bahan sel atau bateri lain yang ingin turut menilai produknya.

Chris Gibbs, Pengurus Pelaburan Cambridge Enterprise berkata: "Setelah menyokong Echion sejak dari awal perjalanannya mengkomersialkan teknologi bateri ion litium yang baharu, Cambridge Enterprise berasa gembira melihat ia telah melengkapkan pusingan pembiayaan yang penting ini. Echion kini berada pada kedudukan yang amat kukuh untuk mencapai kejayaan komersial pasukan yang mantap dan memberi kesan yang signifikan terhadap industri."

Tentang Echion Technologies: 

Echion ialah syarikat pembangun bahan bateri ion litium canggih yang terkemuka di dunia dengan produknya yang membolehkan pengeluar sel menghasilkan sel kuasa yang menjimatkan kos, pengecasan pantas, ketumpatan tenaga tinggi dan jangka hayat panjang untuk pelbagai pasaran termasuk automotif, pengangkutan, barangan elektronik pengguna premium dan penggunaan penyimpanan grid.

Echion menyediakan para pengeluar sel bahan dan bateri dengan pakej harta intelek yang dilindungi, pilihan penyesuaian, sintesis bahan dan pengetahuan penyepaduan sel serta untuk pasaran pengguna akhir yang berbeza.

Sila layari: www.echiontech.com

Tentang CBMM:

Sebagai peneraju dunia dalam pengeluaran dan pengkomersialan produk Niobium, CBMM mempunyai lebih 400 pelanggan di 40 buah negara. Beribu pejabat di Brazil serta mempunyai pejabat dan anak syarikat di China, Belanda, Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat, syarikat ini membekalkan produk dan teknologi kepada sektor infrastruktur, mobiliti, aeroangkasa dan tenaga. Ditubuhkan pada tahun 1955 di Araxá, Minas Gerais, CBMM mempunyai program teknologi yang mengembangkan penggunaan Niobium dan menyumbang kepada pertumbuhan dan kepelbagaian pasaran ini.

Sila layari: www.cbmm.com/products

Tentang BGF: 

BGF telah ditubuhkan pada tahun 2011 dan telah melabur lebih £2.5 bilion dalam lebih 400 buah syarikat yang menjadikannya sebagai pelabur modal pertumbuhan yang paling aktif di UK. BGF ialah rakan kongsi ekuiti bukan kawalan yang minoriti dengan wawasan berpanjangan terhadap pelaburan yang berdasarkan matlamat jangka panjang yang dikongsi dengan pasukan pengurusan yang membiayainya. BGF melabur dalam perniagaan yang semakin berkembang di UK dan Ireland melalui 16 buah rangkaian pejabatnya. Pada tahun 2018, Kanada telah melancarkan entiti yang setara dengan BGF – Canadian Business Growth Fund (Dana Pertumbuhan Perniagaan Kanada) – dan pada tahun 2020, Australia turut melakukan perkara yang sama, kedua-duanya berdasarkan pendekatan dan model pembiayaan BGF.

Sila layari: www.bgf.co.uk.

Tentang Cambridge Enterprise: 

Cambridge Enterprise yang merupakan sebahagian daripada Universiti Cambridge, menyokong para akademik, penyelidik, kakitangan dan pelajar dalam mencapai kesan pemindahan pengetahuan dan penyelidikan.

Kami memudahkan pemindahan pengetahuan dengan membantu para inovator, pakar dan usahawan menggunakan sumber komersial bagi membangunkan idea dan kepakaran mereka demi manfaat masyarakat, ekonomi, diri mereka sendiri dan pihak Universiti.

Melalui kerjasama dengan organisasi di peringkat tempatan dan juga global, kami menawarkan nasihat dan sokongan pakar dalam pengkomersialan dan perusahaan sosial yang merangkumi bantuan perkhidmatan perundingan akademik; perlindungan, pembangunan dan pelesenan idea; penubuhan syarikat baharu dan perusahaan sosial serta pembiayaan permulaan.

Sila layari: www.enterprise.cam.ac.uk

Sila hubungi:
Ben Ting, Ben.Ting@echiontech.com

Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1600336/echion_technologies_co_founders.jpg?p=medium600

 

Source: Echion Technologies
Keywords: Alternative Energies Auto Chemical Environmental Products & Services Green Technology Mining Mining/Metals Oil/Energy Transportation Utilities Financing agreements Venture Capital