omniture

Persidangan Organisasi Strok Eropah (ESOC) 2021: Kajian utama mendedahkan faktor risiko serangan jantung bukan tradisional dan strok yang semakin meningkat dalam kalangan wanita

European Stroke Organisation Conference (ESOC) 2021
2021-09-01 06:00 29

BASEL, Switzerland, 31 Ogos 2021 /PRNewswire/ -- Tekanan kerja, gangguan tidur dan keletihan yang dianggap sebagai faktor risiko bukan tradisional untuk serangan jantung dan strok didapati semakin meningkat dalam kalangan wanita berbanding lelaki, menurut kajian baharu yang dibentangkan hari ini di Persidangan Organisasi Strok Eropah (ESO).

Para penyelidik membandingkan data daripada 22,000 individu lelaki dan wanita dalam Tinjauan Kesihatan Switzerland dari tahun 2007, 2012 dan 2017 ini dan mendapati peningkatan yang "membimbangkan" terhadap bilangan wanita yang melaporkan faktor risiko bukan tradisional terhadap penyakit kardiovaskular. Trend ini dikaitkan dengan peningkatan jumlah wanita yang bekerja secara sepenuh masa daripada 38% pada tahun 2007 kepada 44% pada tahun 2017.

Secara keseluruhan, bagi kedua-dua jantina ini, bilangan tekanan yang dilaporkan di tempat kerja meningkat daripada 59% pada tahun 2012 kepada 66% pada tahun 2017 dan mereka yang melaporkan tentang keletihan dan kepenatan meningkat daripada 23% kepada 29% (kepada 33% bagi wanita dan 26% bagi lelaki). Bilangan laporan tentang gangguan tidur meningkat daripada 24% kepada 29% dengan gangguan tidur yang teruk turut meningkat secara ketara pada kaum wanita (8%) berbanding kaum lelaki (5%).

Walau bagaimanapun, penyelidikan ini juga mendapati bahawa faktor risiko tradisional yang menyebabkan penyakit kardiovaskular kekal stabil dalam tempoh yang sama dengan 27% daripadanya menderita akibat hipertensi, 18% mengalami peningkatan kolesterol dan 5% mengalami diabetes. Obesiti meningkat kepada 11% manakala merokok menurun daripada kira-kira 10.5 kepada 9.5 batang rokok sehari, namun kedua-dua faktor adalah lebih lazim bagi golongan lelaki.

Pengarang kajian ini, Dr. Martin Hänsel, Pakar Neurologi di University Hospital Zurich dan Dr. Susanne Wegener, Profesor Neurologi di University of Zurich, Switzerland mengulas, "Kajian kami mendapati bahawa golongan lelaki lebih cenderung untuk merokok dan mengalami obesiti berbanding wanita, tetapi kaum wanita melaporkan peningkatan yang lebih tinggi terhadap faktor risiko bukan tradisional untuk serangan jantung dan strok seperti tekanan kerja, gangguan tidur serta keletihan dan kepenatan."

"Peningkatan ini berbetulan dengan bilangan wanita yang bekerja secara sepenuh masa. Kesibukan kerja dan tanggungjawab di rumah atau aspek sosio-budaya yang lain mungkin menyumbang kepada faktor ini, serta keperluan kesihatan khusus wanita yang mungkin tidak diambil kira dalam 'kesibukan' kami setiap hari."

"Secara tradisinya, kaum lelaki dianggap lebih cenderung mengalami serangan jantung dan strok berbanding wanita, tetapi di sesetengah negara, kaum wanita telah mengatasi kaum lelaki. Terdapat jurang antara jantina dan penyelidikan lanjut adalah perlu untuk mengetahui sebab-sebabnya," tambah Dr. Wegener.

Source: European Stroke Organisation Conference (ESOC) 2021
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Publishing/Information Service Survey, Polls & Research Women-related news Public Interest