omniture

Penyelidikan Baharu Mendedahkan Bandar Kediaman melalui Pelaburan Terbaik untuk Perniagaan

Henley & Partners
2021-09-15 06:03 1751

LONDON, 14 September 2021 /PRNewswire/ -- Sebagai tindak balas terhadap landskap global yang berubah secara dramatik yang menyaksikan peningkatan dalam penempatan semula perniagaan dan bakat disebabkan pelbagai faktor — daripada perang perdagangan AS-China hingga Covid-19 dan kerja jarak jauh serta cadangan G20 untuk cukai pendapatan korporat minimum global — Henley & Partners melalui kerjasama dengan Deep Knowledge Analytics telah melancarkan Indeks Bandar Kediaman melalui Pelaburan Terbaik untuk Perniagaan (Best Residence-by-Investment Cities for Business Index).

Indeks baharu yang unik ini menyenaraikan 25 buah ibu negara dan bandar terbaik di seluruh dunia yang membolehkan para usahawan, pemilik syarikat, profesional dan individu bernilai tinggi antarabangsa memperoleh kediaman melalui program penghijrahan pelaburan. Dengan menggunakan kaedah interaktif, para pengguna boleh memilih pelbagai ­ faktor yang paling penting kepada mereka bagi membuat keputusan yang strategik menggunakan data tentang lokasi terbaik untuk ibu pejabat, eksekutif, pekerja serta diri dan keluarga mereka dalam landskap pasca pandemik.

Indeks Bandar Kediaman melalui Pelaburan Terbaik untuk Perniagaan yang merangkumi lima rantau ini memanfaatkan lebih 1,000 mata data dan lebih 40 parameter dan subparameter berbeza untuk menilai kedudukan bandar-bandar tersebut mengikut 10 kategori utama yang mewakili pertimbangan penempatan semula yang paling mendesak: gaya hidup, cukai, pendidikan, hartanah, penjagaan kesihatan, keselamatan, infrastruktur dan kestabilan serta program keselamatan Covid dan penghijrahan pelaburan yang berkaitan.

Dr. Parag Khanna, Pengasas FutureMap dan penulis buku yang bakal diterbitkan iaitu MOVE: The Forces Uprooting Us, menyatakan bahawa pada saat negara-negara mengalami perbezaan kekayaan dan budaya yang besar, tumpuan kepada bandar terkemuka adalah lebih penting berbanding negara. "Kesambungan teknologi mewujudkan vektor mobiliti baharu untuk jutaan manusia. Walaupun kita sedang berkembang ke arah dunia dengan kebanyakan kerja dilakukan pada awan, namun pihak pengurusan dan pekerja masih perlu berada di suatu tempat dan memandangkan pelbagai risiko yang dihadapi oleh perniagaan daripada pandemik hingga konflik dan perubahan iklim, mereka mesti berfikir dengan teliti tentang tempat untuk berkembang atau melakukan penempatan semula dengan mencari hab yang menawarkan kebolehpercayaan yang tinggi dalam keupayaan mereka untuk kesinambungan perniagaan di bawah pelbagai senario."

Lima bandar yang menduduki tempat teratas dalam indeks ini ialah — London (pertama),  New York (kedua),  Sydney (ketiga), Singapura (keempat) dan Zurich (kelima) — kesemuanya memperoleh markah tertinggi bagi keselamatan, infrastruktur dan kestabilan dengan Sydney memperoleh tempat pertama secara keseluruhan dalam keselamatan.

Markah tertinggi dari segi tawaran program kediaman melalui pelaburan diperoleh oleh Vienna (ke-9) dan Lisbon (ke-14), diikuti oleh Rom (ke-16) dan Zurich (ke-5) serta seterusnya Athens (ke-20).  

Ketua Pegawai Eksekutif Henley & Partners, Dr. Juerg Steffen menyatakan bahawa indeks ini adalah amat berharga kepada mereka yang mempertimbangkan penghijrahan pelaburan sebagai cara mewujudkan pilihan tempat untuk mereka dan keluarga mereka tinggal, bekerja, belajar dan melabur. "Program kediaman melalui pelaburan menyediakan saluran untuk membina portfolio penghijrahan dalam pelbagai pilihan kewarganegaraan dan kediaman pelengkap bagi melindungi nilai daripada ketidaktentuan dan memanfaatkan peluang baharu dalam orde dunia pandemik ini."

Dari segi nilai wang, Dubai (ke-11), Riga (ke-17),  Limassol (ke-19), Bangkok (ke-23) dan Port Louis (ke-24) dengan kesemuanya menawarkan pilihan taraf hidup yang tinggi, berpatutan dan mesra cukai bagi program kediaman melalui pelaburan.

Dominic Volek, Ketua Pelanggan Swasta Kumpulan Henley & Partners, menyatakan bahawa tarikan utama Indeks Bandar Kediaman melalui Pelaburan Terbaik untuk Perniagaan ialah kewujudan banyak peluang kepada individu yang berjaya dan berbakat yang mempertimbangkan untuk berpindah disebabkan penularan Covid-19. "Di samping mencari pilihan domisil baharu untuk keluarga mereka, semakin ramai para pelabur mempertimbangkan untuk melakukan penempatan semula perniagaan mereka. Trend ini telah bermula sebelum pandemik dan semakin meningkat. Kesemua 25 buah bandar ini mengalu-alukan kedatangan para pelabur asing secara proaktif malah beberapa bandar dengan jelas menerajui program ini dengan setiap satunya mempunyai kekuatan dan daya tarikannya yang khusus."

 

 

Source: Henley & Partners
Keywords: Banking/Financial Service Publishing/Information Service Real Estate Survey, Polls & Research