PUTRAJAYA, Malaysia, 17 September 2021 /PRNewswire/ -- Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Malaysia, mengumumkan secara maya pemenang-pemenang bagi National Energy Awards (NEA) 2021 tahunan pada 11 September. Anugerah tersebut, yang memasuki tahun keempat berturut-turut, mengiktiraf sejumlah 32 pengusaha industri tempatan dengan pencapaian yang luar biasa dalam bidang tenaga boleh diperbaharui (RE) dan kecekapan tenaga (EE), 26 daripadanya disenaraikan di kedudukan teratas.
Susulan beberapa penilaian yang teliti, lapan organisasi dipilih sebagai pemenang dalam kategori Amalan Terbaik dalam Pengurusan Tenaga, enam organisasi untuk Bangunan Cekap Tenaga dan 11 organisasi untuk Projek Tenaga Boleh Diperbaharui Terbaik. Di samping itu, tiga anugerah khas disampaikan untuk Amalan Terbaik dalam Kontrak Prestasi Tenaga, Amalan Lestari Terbaik oleh Institusi Pengajian Tinggi dan Pembiayaan Lestari Terbaik.
NEA mengiktiraf organisasi-organisasi daripada sektor-sektor awam dan swasta yang komited dan telah mengubah infrastruktur serta operasi demi kecekapan tenaga yang lebih tinggi untuk meminimumkan jejak karbon.
Pemenang-pemenang tempat pertama NEA 2021 akan mewakili Malaysia di ASEAN Energy Awards (AEA) 2021, anugerah tertinggi Asia Tenggara untuk kecemerlangan dalam bidang tenaga. Penerima-penerima AEA 2021 akan diumumkan pada 15 September 2021 bersempena dengan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Tenaga (AMEM) kali ke-39 yang akan diadakan di Brunei Darussalam.
Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, "NEA dilancarkan pada tahun 2018 sebagai satu usaha strategik untuk mengiktiraf pencapaian dan amalan terbaik entiti-entiti tempatan dalam menerapkan inisiatif-inisiatif tenaga lestari sebagai satu usaha untuk mengurangkan jejak karbon dalam sektor tenaga. NEA memainkan peranan penting dalam mengenal pasti amalan kecekapan tenaga (EE) terbaik dan inisiatif tenaga boleh diperbaharui (RE) oleh pertubuhan dan organisasi Malaysia - hanya yang terbaik dipilih sebagai pemenang dan akan mewakili Malaysia di ASEAN Energy Awards."
Di samping itu, pengenalan kategori Anugerah Khas untuk Institut Pengajian Tinggi, projek Kontrak Prestasi Tenaga atau EPC dan Institusi Kewangan adalah untuk mengiktiraf pengusaha industri yang telah melaksanakan atau menyokong agenda pembangunan RE dan EE negara ini. Ini adalah untuk menggalakkan penglibatan yang lebih besar daripada sektor-sektor lain dan negara ini dalam mengarusperdanakan pembangunan tenaga lestari.
Mempercepatkan kelestarian dan kecekapan tenaga
Sejak tiga tahun yang lalu, 69 organisasi telah mewakili Malaysia di ASEAN Energy Awards dengan lebih daripada 40 muncul sebagai pemenang dalam pelbagai kategori.
"Pencapaian ini amat bersesuaian dengan aspirasi kami untuk menjadi peneraju bagi tenaga lestari di ASEAN," tambah beliau.
Dengan peningkatan jumlah penyertaan yang berterusan sejak penubuhannya, NEA menelusuri jalan untuk menggalakkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi dalam persekitaran teknologi tempatan. NEA benar-benar selaras dengan matlamat negara untuk mencapai keneutralan karbon menjelang tahun 2050 dan untuk memacu industri tenaga sebagai sektor ekonomi baharu.
Untuk maklumat lanjut mengenai NEA 2021, sila kunjungi: www.nationalenergyawards.com.my.
Latar Belakang National Energy Awards
NEA ialah satu pengiktirafan tahunan yang dijalankan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang dan amalan terbaik dalam mendorong agenda tenaga lestari negara. Anugerah ini dirasmikan pada tahun 2018 sebagai sebahagian daripada inisiatif kementerian ini untuk menggalakkan kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.