MANILA, Filipina, 21 September 2021 /PRNewswire/ -- Tatkala dunia menunggu sempadan perjalanan antarabangsa dibuka semula, Filipina sedang mempersiapkan sambutan yang mesra untuk pelancong. Jabatan Pelancongan (DOT) Filipina terus membangunkan destinasi-destinasinya untuk pelancong tempatan dan antarabangsa. Pada bulan September ini, ia melancarkan kempen 'More Fun Awaits' ('Lebih Banyak Keseronokan Menanti') dengan produk dan pakej pelancongan baharu untuk dicuba, setiap satunya menawarkan pengalaman uniknya yang tersendiri.
URL KE VIDEO:
https://www.youtube.com/watch?v=eSUmkFPln_U
https://www.facebook.com/watch/?v=191987616367781
https://www.instagram.com/p/CT3kRavlyUS/
Filipina akan bersedia untuk dunia apabila ia dibuka semula menerusi tempat tarikan yang baharu dan banyak lagi. Setiausaha Pelancongan Bernadette Romulo-Puyat berkata, "Persiapan kami untuk pelancong termasuk perjalanan pusingan yang baru dibangunkan dengan aktiviti, destinasi dan tempat tarikan pelancong baharu yang mengujakan yang telah dibangunkan di kawasan kami. Pekerja pelancongan kami juga dilatih dalam peningkatan protokol kesihatan serta kebersihan dan tempat pelancongan turut melaksanakan perlindungan di premis mereka bagi melindungi tetamu dan juga pekerja mereka."
Setakat minggu pertama bulan September, 51 peratus daripada pekerja pelancongan di sekitar negara ini telah diberi vaksin. Di ibu kota negara ini yang sibuk iaitu Metro Manila, 99% daripada pekerja pelancongan di hotel serta tempat penginapan yang mendapat akreditasi DOT, selain 94% daripada pekerja pelancongan di restoran yang mendapat akreditasi telahpun mendapat suntikan anti-COVID mereka.
Lapangan terbang bertaraf dunia yang baharu sedang menanti
Terminal baharu Lapangan Terbang Antarabangsa Clark baru-baru ini juga telah dirasmikan di Pampanga. Keajaiban seni bina Filipina moden ini, yang diinspirasikan oleh lereng Gunung Arayat serta tanglung Krismas Filipina, akan menawarkan perkhidmatan perjalanan udara yang pantas, selamat dan cekap seperti daftar-masuk-sendiri tanpa sentuh dan penurunan beg, sistem panduan dok canggih, malah pemesanan tanpa sentuh untuk menjamu selera sebelum berlepas. Sebagai "pintu masuk ke Utara", ia akan membantu mendorong pemulihan pelancongan dengan memperluas hubungan ke pelbagai destinasi tempatan.
DOT telah dianugerahkan dengan Cop SafeTravels oleh World Travel and Tourism Council (WTTC) sebagai pengiktirafan untuk pengamalan "protokol terpiawai global kesihatan dan kebersihan" yang akan memastikan perjalanan yang selamat semasa pandemik COVID-19. SafeTravels ialah cop kelulusan yang diberikan oleh organsasi antarabangsa bagi mengesahkan pematuhan dengan piawaian kesihatan global untuk memungkinkan perjalanan yang selamat.
Syarikat-syarikat yang layak seperti hotel, syarikat penerbangan, restoran, pengendali lawatan, tempat tarikan, pengangkutan dan lapangan terbang akan menggunakan cop tersebut sebagai jaminan bahawa mereka mematuhi protokol kesihatan dan keselamatan yang diperlukan oleh WTTC, sebuah organisasi antarabangsa yang mewakili peneraju-peneraju bagi industri perjalanan dan pelancongan global.
Oleh yang demikian, Jabatan tersebut turut memperhebatkan akreditasi syarikat-syarikat, meneruskan pemeriksaan dan penilaian yang menyeluruh bagi memastikan agar hanya yang mendapat akreditasi dengan Jabatan Pelancongan dibenarkan dibuka dan menerima tetamu jika mereka mematuhi protokol piawaian global kesihatan, keselamatan dan kebersihan.
Kerajaan Filipina, melalui Pasukan Petugas Antara-Agensi untuk Pengurusan Penyakit Berjangkit Baru Muncul (IATF) sentiasa mengemas kini protokolnya untuk melindungi rakyat Filipina serta warganegara asing yang melancong ke Filipina.
Pengembaraan yang Menyeronokkan dan Mengujakan terbentang di hadapan
Walaupun perjalanan antarabangsa ke Filipina masih lagi disekat, perjalanan domestik telah dimulakan semula sejak separuh kedua tahun lalu. Dengan ruang terbuka yang luas disediakan untuk pelbagai pengembaraan dan latihan yang intensif untuk anggota-anggota dalam industri hospitaliti, Filipina bersiap sedia ke arah menawarkan pengalaman yang selamat dan menyeronokkan kepada pelancong. Pelancong boleh menikmati pelbagai bentuk pengembaraan dari Utara ke Selatan, kini lebih mudah diakses dengan infrastruktur yang baharu dan lebih baik seperti lapangan terbang serantau dan jalan raya yang menghubungkan pulau yang indah dan pengalamannya yang unik.
Filipina mempunyai pelbagai destinasi yang menawarkan himpunan aktiviti dan rangkaian pelancongan tersendiri yang boleh dipilih oleh pelancong untuk dialami dan dinikmati. Pantai yang indah membawa kepada syurga bawah laut, dipenuhi dengan warna daripada pelbagai hidupan marin. Di darat, banjaran gunung menggamit peneroka dengan hutan yang rimbun dan jejak yang membawa menuju air terjun dan jeram yang mempesonakan. Kesemua ini dapat dialami dengan sajian masakan tempatan yang lazat sekali daripada tuan rumah, tukang masak rumah dan cef yang akan menjadi yang pertama mengajukan sapaan rakyat Filipina yang menjadi kebiasaan, "Anda sudah makan?"
Bersiap sedia untuk mengisi senarai impian pelancongan dengan destinasi-destinasi ini yang menanti lawatan anda yang seterusnya ke syurga tropika ini:
Rasakan keterujaan: Central Visayas adalah amat sempurna untuk pengembaraan menerusi gabungan indahnya antara gunung-ganang dan pantai. Di sini, seseorang boleh menyusuri jejak di Osmena Peak dan diberi ganjaran dengan pemandangan yang mempesonakan berserta celupan yang menyegarkan di Kawasan Falls. Chocolate Hills yang terkenal di dunia dapat dilihat melalui geladak pemandangan di Carmen, Bohol atau melalui "luncur keluang luruan" di Chocolate Hills Adventure Park yang menawarkan pemandangan udara dari bukit-bukau dari ketinggian 230 kaki.
Pelancongan juga boleh dilakukan secara dua roda, menerusi MoTOURismo Pilgrimage Caravan, dibangunkan untuk menggalakkan peminat motosikal meneroka jalan raya terbuka wilayah ini, dengan laluan pemandangan indah yang melintasi Nueva Vizcaya, Quirino, Isabela serta Cagayan dan berakhir di Pagudpud Aquaduct, Ilocos Norte yang menarik. Di Davao, seseorang boleh berbasikal sambil digantung di udara atau mencuba buaian langit di Eden Nature Park and Mountain Resort.
Berjemur di pantai: Pergilah ke pantai kumpulan pulau Calaguas di Camarines Norte, dengan pasir berwarna putih yang halus, air yang jernih serta sumber asli yang masih belum dicemari. Kawasan persekitaran yang bersih ini membingkaikan matahari terbenam yang tidak dapat dilupakan serta malam yang tenang di bawah bintang.
Untuk lebih banyak pengembaraan melompat-pulau, kawasan ini juga mempunyai Mercedes Group of Islands, perairan pirus dan ketenangan yang jauh terpisah dari hiruk pikuk bandar. Pulau Caramoan ialah kegemilangan paling besar wilayah ini kerana ia mempunyai hutan batu kapur seluas 4,000 hektar yang dikurniakan dengan kepelbagaian flora dan fauna yang beraneka selain daripada pantai pasir putihnya yang sempurna, tasik yang tenang, gua yang dalam, suak dan hidupan marin beraneka yang menjadikannya tempat menyelam yang paling baik untuk peminatnya.
Boracay, salah satu pantai yang terbaik di dunia ini, juga bersedia untuk dibuka sekali lagi. Pantainya telah melalui proses rehabilitasi untuk memelihara keindahan alam semula jadinya termasuk pasir putih yang halus dan perairan biru yang jernih.
Palawan, turut dikenali sebagai Perbatasan Ekologi Terakhir alam semula jadi menawarkan suak dan gua. Buat mereka yang ingin menyelam dengan lebih dalam untuk pengembaraan bawah air, terdapat Tubbataha Reef, tapak Warisan Dunia UNESCO dan tempat perlindungan untuk lebih daripada 600 spesies ikan serta beberapa spesies jerung, ikan paus dan ikan lumba-lumba; serta Coron Bay yang merupakan tapak untuk banyak bangkai kapal dari Perang Dunia ke-2.Terdapat begitu banyak pantai untuk dipilih, dengan pengembaraan melompat pulau bermula dari El Nido yang indah hinggalah Coron yang menarik berserta perjalanan menaiki bot yang mengujakan di Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa yang telah diundi sebagai salah satu daripada 7 Keajaiban Alam Semula Jadi yang baharu.
Untuk lebih keseronokan bermain air, pelancong boleh mengunjungi Surigao del Sur yang berkilauan dengan tempat tarikannya seperti Tinuy-an Falls bertingkat-tingkat di Bandar Bislig, hingga Sistem Gua Bawah Air Sungai Mempesonakan Hinatuan. Pulau Siargao juga terkenal dengan kehidupan pulau yang indah dan gelombang tongnya yang menarik minat pelayar dari serata dunia.
Wilayah Batangas juga merupakan tempat berlindung bagi peminat pantai, dengan perairan membiru di bandar Nasugbu, Calatagan dan San Juan yang hanya dalam jarak pemanduan yang singkat dari Manila.
Ikuti perjalanan menikmati makanan: Filipina merupakan tumpuan kepada pelbagai sajian masakan yang telah diturunkan dari generasi ke generasi tukang masak rumah yang menggunakan ramuan yang dipetik di kawasan mereka. Terdapat restoran yang menyajikan makanan tempatan kepada mereka yang gemar menjamu selera, tatkala industri makanan & minuman (F&B) negara ini terus membangunkan masakan yang bertaraf dunia menggunakan produk tempatan.
Memandangkan negara ini dikelilingi oleh air, makanan laut sentiasa segar dan lantaran ladang desanya, terdapat banyak buah-buahan tropika sepanjang tahun. Lawatan ekologi dan pertanian turut disediakan untuk membawa pelancong ke asal usul penghasilan makanan, bermula daripada bakau dan komuniti nelayan di pulau ke ladang yang menanam hasil tempatan yang sesuai dengan iklimnya.
Pengunjung tidak perlu pergi jauh untuk mencuba makanan Filipina di atas pinggan. Manila menawarkan kelazatan makanan kosmopolitan dengan banyak masakan kawasan ini disajikan dengan baik oleh cef tempatan di banyak pilihan retoran yang tersedia. Penggemar makanan yang ingin merasai hidangan makanan dari ladang ke meja Filipina yang asli dapat menantikan pengalaman kulinari di Bohol, termasuk lawatan ke ladang lebah, taman buah strawberi, kebun cendawan dan bufet makan tengah hari terapung dengan menaiki bot di Sungai Loboc yang mana tetamu digalakkan untuk makan dengan tangan mereka, gaya Filipina.
Dekati alam semula jadi: Keajaiban ekologi terdapat dengan banyak sekali, dengan flora dan fauna hanya didapati di Filipina dipaparkan sepenuhnya di tempat-tempat seperti Turtle Project di La Union, Barubaybay Mangrove Eco dan Marine Conservation di Samar Utara serta lawatan Memerhati Burung di Ilocos Norte. Dengan iklim gunungnya yang sejuk, Baguio menggamit pengunjung untuk meneroka taman awamnya yang dapat dilalui atau memetik buah strawberi di La Trinidad yang berdekatan.
Asyik dengan sejarah dan budaya: Filipina ialah sebuah negara yang memiliki kekayaan sejarah dan tradisi. Terdapat destinasi-destinasi pelancong yang dapat membawa pengembara lebih dekat dengan tradisi ini. Bandar Cebu, yang merupakan bandar tertua di negara ini, memiliki beberapa peninggalan yang menghubungkannya dengan warisan yang menjadi sejarah termasuk patung Sto. Nino de Cebu yang berusia 500 tahun, yang disampaikan sebagai hadiah oleh peneroka Sepanyol pertama yang dipimpin oleh Ferdinand Magellan berbangsa Portugis kepada isteri ketua kampung selepas pembaptisannya.
Di sebelah Utara, Baguio menawarkan gambaran sekilas kehidupan orang asli di Cordilleras bergunung-ganang di tapak-tapak pelancong seperti Tam-Awan Village menerusi persembahan budayanya yang menonjolkan kekayaan tradisi dan kepercayaan kawasan tersebut.
Terdapat banyak jalan untuk disusuri dengan laluan yang membawa pengunjung menemui pemandangan yang menakjubkan. Teres Padi Banaue yang diperakui UNESCO di tapak eko-pelancongan Ifugao dan Sagada menawarkan interaksi dengan penduduk tempatan yang memberi gambaran sekilas kehidupan harian mereka yang masih berasaskan kepada tradisi yang berusia berabad-abad lamanya. Puncak Gunung Pulag dan Gunung Ulap di kawasan Utara Luzon menyediakan tapak perkhemahan untuk pengunjung menikmati matahari terbit di antara lautan awan.
Vigan merupakan satu lagi bandar yang menawan untuk dikunjungi, dengan rumah warisannya di jalan berbatu buntar yang dapat dilawati dengan kereta kuda. Di sini, pelancong dapat menemui kraftangan tradisional seperti selimut tenunan, ukiran dan tembikar untuk dibawa pulang sebagai cenderamata.
Untuk laluan yang manis, terdapat jejak gula yang melintasi Negros, Iloilo, Capiz dan Antique. Kawasan di Visayas Barat ini mempunyai banyak tapak bersejarah yang menunjukkan pengaruh dari era Sepanyol seperti gereja lamanya, pinggan mangkuk pusaka dan rumah warisan yang membawa pelancong kembali ke masa lampau.
Bersedia untuk dunia
Sedang negara ini menunggu untuk sempadan antarabangsa dibuka semula untuk perjalanan, ketahui bagaimana Jabatan Pelancongan (DOT) Filipina mempersiapkan inisiatif dan persediaannya melalui kempen #MoreFunAwaits.
Terdapat banyak lagi untuk diterokai di Filipina, dengan destinasi bertaraf dunia yang teruja menyambut pelancong sebaik sahaja perjalanan antarabangsa dimulakan semula. Layari pilihan aktiviti dan dapatkan kemas kini yang terbaharu serta nasihat perjalanan mengenai Filipina dengan mengunjungi http://www.morefunawaits.com/ atau dengan memuat turun aplikasi Travel Philippines di Google Play Store dan Apple App Store.
Untuk lebih banyak foto: https://drive.google.com/drive/folders/10eT_esrR6lbiHX8DTwFYn5D3kRl4ECZx?usp=sharing