omniture

Grains of Truth: Penyelidikan Pengguna EAT-GlobeScan Baharu tentang Sistem Makanan yang Sihat dan Lestari

EAT
2021-09-23 23:08 74

Kemampuan dan Ketersediaan merupakan Cabaran Terbesar kepada Diet yang Sihat dan Lestari 

OSLO, Norway, 23 September 2021 /PRNewswire/ -- Hanya separuh daripada penduduk di seluruh dunia (53%) mendapati bahawa mereka mudah membeli makanan yang sihat dan lestari berdasarkan tinjauan kajian pengguna global baharu yang dikendalikan oleh GlobeScan, sebuah badan perundingan pemahaman dan strategi, serta EAT, organisasi bukan untung berasaskan sains bagi transformasi sistem makanan global. Walau bagaimanapun, halangan terbesar bagi mereka yang berasa sukar membeli makanan yang sihat dan lestari adalah kemampuan (48%) dan ketersediaan (36%), dengan satu perempat individu mengatakan bahawa mereka tidak tahu tentang jenis makanan yang sihat dan lestari.

Penemuan ini disiarkan dalam laporan baharu ini, Grains of Truth, yang meninjau pendapat lebih daripada 30,000 pengguna di 31 pasaran di seluruh dunia tentang takrifan mereka mengenai makanan yang baik, sihat dan lestari. Tinjauan ini juga bertanya kepada orang ramai tentang isu-isu lain termasuk kebimbangan terbesar mereka tentang pengeluaran makanan dan cabaran yang mereka hadapi untuk membeli makanan yang sihat dan lestari, serta pihak yang boleh memberi kesan positif terbesar dalam mewujudkan sistem makanan yang lebih sihat dan lestari. Penyelidikan ini dijalankan sebagai sebahagian daripada aktiviti bersempena Sidang Kemuncak Sistem Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan pihak EAT menerajui Landasan Tindakan 2 yang memberi tumpuan pada peralihan penggunaan menuju bentuk lestari.

Walaupun ramai yang sukar memahami tentang makanan yang sihat dan lestari, terdapat juga pemahaman bahawa kedua-dua istilah ini mempunyai makna yang berbeza. Penjelasan yang paling popular tentang makanan sihat adalah ia berkhasiat (47%), organik (47%) dan belum diproses/tulen(44%). Bagi makanan lestari, tiga penjelasan utama adalah ia baik untuk alam sekitar (51%), organik (42%) dan tanaman tempatan (34%).

Generasi yang berbeza mempunyai pandangan yang sama tentang makanan lestari, tetapi terdapat perbezaan apabila memperkatakan tentang makanan yang sihat. Gen Z cenderung menggambarkan makanan yang sihat sebagai makanan yang lazat dan berkhasiat, manakala golongan yang berumur lebih 55 tahun mengaitkan makanan sedemikian dengan makanan yang belum diproses/tulen dan ditanam di kawasan tempatan.

Ketika mempertimbangkan beberapa isu sistem makanan, dua kebimbangan terbesar adalah tentang penggunaan racun perosak dan baja kimia (81%) dan sisa plastik sekali guna daripada pembungkusan makanan (78%). Ini diikuti dengan kelaparan dan obesiti, dengan 76 peratus individu mengatakan bahawa mereka mengambil berat tentang kedua-dua isu ini. Kebimbangan ini disokong oleh hakikat bahawa satu daripada 11 individu adalah sangat lapar dan satu pertiga daripada populasi dunia mempunyai berat yang berlebihan. Isu yang paling kurang diberi perhatian oleh orang ramai adalah tentang pengangkutan makanan.

Perkara yang mungkin mengejutkan adalah semakin meningkat umur seseorang, kebimbangan terhadap setiap isu turut bertambah, secara purata Gen Z ialah golongan yang paling kurang berasa bimbang dan mereka yang berumur lebih 55 tahun adalah yang paling khuatir. Melalui perspektif serantau, para pengguna di Amerika Latin, Afrika dan Eropah Selatan menyatakan kebimbangan paling tinggi terhadap sistem makanan.

Hampir separuh pengguna (46%) percaya bahawa tanggungjawab membuat perubahan positif demi mewujudkan sistem makanan yang lebih sihat dan lestari terletak pada kerajaan negara. Lebih satu pertiga (37%) berpendapat bahawa syarikat makanan dan minuman memikul kewajipan mencapai matlamat ini, manakala 23 peratus melihat bahawa mereka sendiri mampu mempengaruhi perubahan positif dan satu daripada lapan (15%), melihat golongan muda sebagai agen perubahan yang berkuasa.

Menjelaskan tentang penyelidikan, Dr. Gunhild Stordalen, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif EAT berkata: "Terdapat banyak perkara yang menjadi dorongan dalam penyelidikan ini – masyarakat di seluruh dunia perlu memahami peranan penting yang boleh mereka mainkan bagi mengubah sistem makanan melalui corak pengambilan makanan oleh diri mereka sendiri. Namun masih banyak usaha yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan dan pengeluar makanan – mereka inilah yang dilihat oleh pengguna sebagai pemegang peranan utama dan seterusnya akan dicontohi oleh orang ramai. Lebih penting lagi, walaupun orang ramai ingin beralih kepada tabiat makan yang lebih sihat dan lestari, buat masa ini, mereka tidak percaya bahawa mereka boleh melakukannya kerana mereka berpendapat bahawa produk sedemikian sama ada terlalu mahal atau sukar dicari. Perkara inilah yang perlu diusahakan dan diperbaiki oleh pembuat dasar, peruncit dan pengeluar, supaya kita semua boleh bekerjasama dalam mendorong corak pengambilan makanan yang lebih sihat."

Chris Coulter, Ketua Pegawai Eksekutif GlobeScan berkata: "Penyelidikan yang tepat pada masanya ini menyediakan pelan hala tuju tentang jangkaan pengguna bagi sistem makanan lestari. Menunjukkan integriti alam sekitar menjadi penentu makanan lestari kepada orang ramai di seluruh dunia dan terdapat tahap kebimbangan yang sangat tinggi berkenaan pelbagai isu yang mempengaruhi sistem makanan, daripada penggunaan racun perosak kepada plastik, obesiti sehinggalah kesan kepada alam semulajadi. Di samping itu, pengguna menganggap kerajaan dan perniagaan bertanggungjawab terutamanya dalam menyediakan sistem makanan yang lestari, lantas menjadikan Sidang Kemuncak Sistem Makanan PBB sebagai peluang penting bagi menunjukkan kemajuan kepada masyarakat di seluruh dunia."

Penyiaran penyelidikan ini merupakan sebahagian rancangan menjelang Sidang Kemuncak Sistem Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 23 September 2021.

Untuk memuat turun salinan laporan penuh, sila klik di sini.

Source: EAT
Keywords: Agriculture Alternative Energies Environmental Products & Services Food/Beverages Green Technology Health Care/Hospital Organic Food Retail Supermarkets Conservation/Recycling Environmental Issues Survey, Polls & Research