omniture

Huawei Keluarkan Laporan Dunia Pintar 2030 Terokai Trend dalam Dekad Seterusnya

Huawei
2021-09-25 01:58 445

SHENZHEN, China, 25 September 2021 /PRNewswire/ -- Huawei, bersama-sama rakan industri, mengadakan Forum Dunia Pintar (Intelligent World) 2030. David Wang, Pengarah Eksekutif dan Presiden Produk & Penyelesaian ICT Huawei, mengeluarkan laporan Dunia Pintar 2030 dengan ucapan dasar mengenai Terokai Dunia Pintar 2030. Ini merupakan kali pertama Huawei menggunakan kaedah kuantitatif dan kualitatif untuk menggambarkan secara sistematik dunia pintar pada dekad yang seterusnya dan meramalkan trend industri, membantu industri-industri mengenal pasti peluang baharu serta menemui nilai baharu.

Sepanjang tiga tahun yang lalu, Huawei melakukan pertukaran secara mendalam dengan lebih daripada 1,000 ahli akademik, pelanggan dan rakan kongsi dalam industri ini, menganjurkan lebih daripada 2,000 bengkel dan menggunakan data serta kaedah daripada organisasi-organisasi berwibawa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Forum Ekonomi Dunia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Huawei memperoleh pandangan daripada jurnal saintifik seperti Nature dan IEEE, serta memperoleh kebijaksanaan daripada persatuan industri dan firma perunding yang berkaitan selain pakar di dalam dan luar Huawei. Melalui usaha ini, Huawei telah menghasilkan laporan Dunia Pintar 2030, memberi pandangan mengenai teknologi ICT dan trend aplikasi dalam dekad yang seterusnya.

David Wang mengeluarkan laporan Dunia Pintar 2030
David Wang mengeluarkan laporan Dunia Pintar 2030

Laporan ini mencadangkan lapan hala tuju silang-disiplin dan silang-domain bagi tujuan penerokaan di peringkat makro. Ia menjelaskan bagaimana teknologi ICT dapat menyelesaikan masalah dan cabaran pembangunan manusia yang kritikal dan peluang-peluang baharu yang dapat dibawa kepada organisasi serta individu. Di peringkat industri, laporan ini meninjau teknologi masa depan dan hala tuju pembangunan rangkaian komunikasi, pengkomputeran, kuasa digital serta penyelesaian automotif pintar.

Wang berkata, "30 tahun yang lalu, kami memutuskan untuk memperkayakan kehidupan melalui komunikasi, 10 tahun yang lalu, kami memutuskan untuk menghubungkan setiap pelosok dunia demi membina dunia terhubung yang lebih baik. Kini, visi dan misi kami adalah untuk membawa fungsi digital kepada setiap orang, rumah dan organisasi demi dunia pintar yang terhubung sepenuhnya. Kami benar-benar percaya dunia pintar yang cemerlang kini tiba pada kadar yang begitu pantas."

Ramai tetamu yang berpengaruh dijemput untuk berucap di forum ini, termasuk futuris terkenal Steven Johnson, pengerusi pengasas dan bergilir World Electric Vehicle Association Chen Qingquan, Presiden Bersama Jawatankuasa Pengurusan Global Roland Berg Denis Depoux dan Naib Presiden China Academy of Information and Communications Technology (CAICT) Wang Zhiqin. Mereka berkongsi pandangan mereka mengenai dunia pintar dan membincangkan bagaimana ICT dapat mendorong pembangunan sosioekonomi yang lebih baik.

Seperti yang dikatakan oleh futuris dan penulis sains ternama Steven Johnson, kita sedang melangkah ke era pertumbuhan yang pesat. Dekad-dekad yang akan datang akan dicirikan oleh zaman keemasan kerjasama antara manusia dan kecerdasan mesin serta algoritma akan meningkatkan kecerdasan manusia. Ketika teknologi berkembang dengan pesat, semua masyarakat akan mendapat manfaat.

Forum Dunia Pintar 2030 merupakan kali pertama Huawei berkongsi secara sistematik kajian terkini dan pandangan mengenai dekad akan datang. Perkongsian ilmu ini akan membawa nilai yang besar kepada pembangunan sosial terutamanya untuk transformasi digital global dan ekonomi digital.

Imaginasi akan menentukan sejauh mana kita akan melangkah pada masa depan, tindakan akan menentukan sepantas mana kita akan tiba ke masa depan dan cara yang terbaik untuk meramalkan masa depan adalah dengan menciptanya. Masih banyak lagi cabaran untuk ditangani dalam perjalanan menuju dunia pintar. Seperti yang dikatakan oleh David Wang pada akhir ucapan beliau, "Kami percaya, kebijaksanaan terbesar dapat ditemui dalam idea yang dikongsi bersama. Impian merupakan pemacu penting untuk kemajuan sosial. Melangkah menuju dekad yang seterusnya, ayuh kita bekerjasama untuk membentuk dunia pintar yang lebih baik."

Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi: https://www.huawei.com/en/giv

 

Source: Huawei
Keywords: Computer/Electronics Internet Technology Telecommunications Survey, Polls & Research