omniture

1.26 bilion penduduk menghadapi risiko konflik dan perpindahan tertinggi yang berpunca daripada kemusnahan alam sekitar

Institute of Economics and Peace
2021-10-21 19:05 38

LONDON, 21 Oktober 2021 /PRNewswire/ -- Hari ini merupakan pelancaran Laporan Ancaman Ekologi (Ecological Threat Report, ETR) kedua daripada Institute of Economics and Peace (IEP), sebuah badan pemikir antarabangsa.

Dapatan utama 

  • Sebelas daripada 15 buah negara yang mempunyai skor ancaman alam sekitar paling rendah diklasifikasikan sebagai menghadapi konflik pada masa ini. Empat lagi negara diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi untuk mengalami pergolakan yang ketara yang menekankan hubung kait antara kemerosotan sumber dan konflik.
  • Separuh daripada populasi dunia akan menetap di 40 buah negara paling bergolak menjelang tahun 2050. Ini merupakan peningkatan sebanyak 1.3 bilion penduduk daripada tahap pada tahun 2020.
  • Data tinjauan global baharu mendedahkan hanya 23% daripada rakyat China menganggap bahawa perubahan iklim merupakan suatu ancaman serius, menjadikan negara tersebut berada pada tempat ke-7 dalam senarai negara yang paling kurang prihatin.
  • Ketakjaminan makanan di seluruh dunia telah meningkat sebanyak 44% sejak tahun 2014 yang menjejaskan 30.4% daripada populasi dunia pada tahun 2020 dan bakal meningkat pada masa hadapan. 
  • COVID-19 telah meningkatkan lagi ketakjaminan makanan dan menghalang pelarian untuk pulang ke tanah air masing-masing.
  • Dengan konflik yang menelan kos ekonomi global sebanyak $600 bilion pada tahun 2020, ETR menunjukkan bahawa rundingan COP26 perlu meluluskan pembiayaan daya ketahanan terhadap titik panas ekologi sebelum pencetus konflik terus meningkat.

ETR menganalisis pelbagai petunjuk yang dikaitkan dengan risiko ekologi termasuk ketersediaan makanan dan air, pertumbuhan populasi dan daya ketahanan masyarakat untuk memahami dengan lebih lanjut tentang negara-negara yang paling berisiko untuk mengalami kemerosotan keamanan yang ketara.  

Ancaman konflik dan ekologi

Dapatan utama daripada ETR 2021 menunjukkan hubungan kitaran yang wujud antara kemerosotan ekologi dan konflik. Ia merupakan suatu kitaran yang ganas dengan kemerosotan sumber yang membawa kepada konflik, lalu menyebabkan sumber yang semakin mengurang. Sebelas daripada 15 buah negara yang mempunyai skor ETR paling teruk kini sedang mengalami konflik. Empat lagi negara diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi untuk mengalami pergolakan. Banyak lagi negara yang cenderung untuk mengalami konflik kecuali jika kitaran ini diterbalikkan.

Untuk membalikkan kitaran ini, persekitaran ekologi dan ketahanan masyarakat perlu ditingkatkan dan ini memerlukan suatu pendekatan yang sistemik. Ini bermakna penilaian semula tentang cara pembangunan dilaksanakan pada masa ini harus dilakukan.

Keseriusan penemuan ini ditunjukkan dengan bilangan penduduk yang kekurangan zat makanan yang telah meningkat sejak tahun 2016 dan diramalkan akan meningkat kepada 343 juta orang menjelang tahun 2050 yang menyebabkan munculnya satu lagi pencetus konflik. Menurut FAO, ketakjaminan makanan juga telah meningkat kepada 30.4% daripada populasi dunia.[1] Ini merupakan pembalikan trend selama beberapa dekad yang menyaksikan kekurangan zat makanan dipulihkan secara berterusan. Kekurangan zat adalah lebih teruk dalam kalangan lelaki, khususnya di Afrika yang menyaksikan dua kali ganda kaum lelaki berbadan kurus berbanding wanita. Perencatan tumbesaran juga lebih teruk dalam kalangan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

Tiga kawasan di dunia mengalami risiko keruntuhan masyarakat yang terbesar akibat ketakjaminan makanan, kekurangan air, pertumbuhan populasi dan kesan bencana alam. Dari Sahara ke Sudan, Mauritania ke Somalia; negara-negara di Afrika Selatan, Angola ke Madagascar; negara-negara Timur Tengah dan Asia Tengah dari Syria hingga Pakistan. Kawasan-kawasan ini memerlukan perhatian segera.

Negara-negara sub-Sahara Afrika mengalami kebiasaan paling tinggi dalam ketakjaminan makanan dengan 66% daripada penduduknya mengalami ketakjaminan makanan. Menjelang tahun 2050, populasi sub-Sahara Afrika diunjurkan kepada 2.1 bilion dengan peningkatan sebanyak 90% daripada jumlah populasi yang ada pada hari ini. Ia juga merupakan kawasan yang mempunyai masyarakat berketahanan paling rendah.

Sahel menjadi kawasan tumpuan seterusnya yang berpotensi mengalami keruntuhan masyarakat seperti yang digambarkan oleh sesetengah puak radikal Islam baru-baru ini. Niger dan Burkina Faso kini merupakan antara negara paling bergolak di dunia (diukur dengan GPI) dan merupakan antara salah sebuah negara dengan skor yang paling rendah dalam ETR.

Ancaman ekologi dan penghijrahan

ETR mendapati bahawa lebih 1.26 bilion penduduk tinggal di 30 buah negara titik panas yang mengalami risiko ekologi melampau dengan tahap ketahanan yang rendah. Negara-negara ini paling kurang kecenderungan untuk mengurangkan dan melakukan penyesuaian terhadap ancaman ekologi baharu yang berkemungkinan akan menyebabkan perpindahan secara besar-besaran.

Bilangan penduduk yang berpindah akibat konflik terus meningkat dengan 23.1 juta orang dari negara-negara titik panas tinggal di luar negara asal mereka pada tahun 2020. Eropah merupakan negara yang menerima jumlah perpindahan penduduk terbesar dari negara-negara titik panas ini dengan bilangan seramai 6.6 juta orang. Bilangan ini berkemungkinan meningkat kepada berpuluh-puluh juta orang berikutan kemerosotan ekologi dan perubahan iklim yang akan berlaku.

Steve Killelea, Pengasas & Pengerusi Eksekutif Institute for Economics and Peace berkata:

"COP26 memberikan peluang yang ideal kepada para pemimpin untuk menyedari bahawa ancaman ekologi hari ini perlu ditangani segera sebelum perubahan iklim mempercepat ancaman ini, yang melibatkan kos bertrilion dolar untuk menanganinya. 

"Penyelesaian terhadap masalah ini boleh diselesaikan dengan pendekatan yang lebih sistemik, sebahagiannya melalui keprihatinan integrasi dalam kalangan agensi pembangunan. Masalah konflik, ketakjaminan makanan dan air, perpindahan, pembangunan perniagaan, kesihatan, pendidikan malah perubahan iklim, semua ini saling berkait rapat dan saling hubungan ini hendaklah dikenal pasti agar ia dapat ditangani dengan cara yang terbaik." 

Sikap terhadap perubahan iklim

Tinjauan baharu ke atas lebih 150,000 orang di 142 buah negara telah mendapati bahawa pelepasan karbon dioksida yang paling signifikan datangnya dari negara-negara yang rakyatnya kurang peka terhadap perubahan iklim. Negara-negara ini pula merupakan antara kawasan yang paling padat di dunia. Hanya 23% daripada rakyat China menganggap bahawa perubahan iklim adalah suatu ancaman yang sangat serius, manakala India merekodkan hanya 35%. Purata peratusan ini di seluruh dunia ialah sebanyak 49.8% dengan golongan lelaki lebih prihatin berbanding kaum wanita pada kadar 2%.[2]

Jika rakyat di negara-negara tersebut tidak dapat menerima fakta ini, tindakan perubahan iklim tidak akan memberi kesan.

Negara-negara yang menuturkan bahasa Sepanyol dan Portugis mencatatkan skor tertinggi dan menduduki tempat ke-12 daripada 20 yang terbaik. Negara-negara yang mengalami konflik berterusan seperti Yaman, Ethiopia, Mesir dan Myanmar memperoleh skor yang paling rendah.

Amerika Syarikat mencatatkan skor yang menghampiri skor purata global sebanyak 49.2%, manakala United Kingdom mencatatkan skor yang agak tinggi sebanyak 69.9%

Jurang gender terbesar terdapat di negara-negara Scandinavia iaitu Norway, Sweden dan Finland dengan golongan wanita mencatat skor lebih tinggi berbanding lelaki dengan peratusan sebanyak 21%, 18% dan 13% masing-masing.

Ketakjaminan makanan

Sejak tahun 2014, bilangan mereka yang tidak mendapat makanan yang mencukupi di seluruh dunia telah meningkat setiap tahun pada kadar 44%. Peningkatan dalam ketakjaminan makanan ini dikaitkan dengan peningkatan pergolakan yang berlaku. 

Menjelang tahun 2050, permintaan global makanan dijangka meningkat sebanyak 50%.

Disebabkan sekatan pergerakan dan penutupan sempadan, COVID-19 telah meningkatkan lagi ketakjaminan makanan dan ini mungkin membawa kesan negatif yang berpanjangan terhadap kelaparan di seluruh dunia akibat pertumbuhan ekonomi yang terjejas.

Kekurangan bekalan air 

ETR mendedahkan bahawa menjelang tahun 2040, lebih 5.4 bilion penduduk akan tinggal di negara-negara yang mengalami kekurangan bekalan air yang melampau. Lebanon dan Jordan merupakan negara yang paling berisiko.

Negara-negara sub-Sahara Afrika mempunyai tahap ketahanan sosial yang paling rendah dengan pertumbuhan penduduk yang tertinggi. 70% daripada penduduknya tidak mendapat bekalan air yang diuruskan dengan selamat dan mencukupi, ditambah pula dengan pertumbuhan penduduk yang tinggi yang memburukkan lagi keadaan.

Membina daya ketahanan ekologi

IEP bekerjasama dengan 60 pihak berkepentingan penggubal dasar yang terkemuka untuk membangunkan saranan terhadap dasar yang menggalakkan daya ketahanan ekologi global. Ini termasuk cadangan untuk menggabungkan kesihatan, makanan, air, bantuan pelarian, kewangan, pertanian dan pembangunan perniagaan ke dalam satu agensi bersepadu dalam bidang-bidang yang berisiko tinggi. Ini akan mengenal pasti ciri sistemik bagi kedua-dua masalah dan penyelesaian yang membolehkan peruntukan sumber dilaksanakan dengan lebih cekap serta keputusan yang dibuat dengan lebih pantas berdasarkan lokasi geografi yang memerlukan.

Walaupun campur tangan tentera mungkin diperlukan, namun ia tidak akan dapat menyelesaikan isu-isu ekologi asas yang mendorong berlakunya konflik ini. Pelajaran yang diperoleh dari Afghanistan ialah tanpa belanja pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan dengan baik, keamanan adalah mustahil untuk dicapai. Kejatuhan Afghanistan baru-baru ini kepada Taliban menyorot batas-batas ketenteraan dan mendedahkan strategi perbelanjaan yang lemah. Dianggarkan bahawa jumlah perbelanjaan persekutuan AS ke atas Afghanistan menelan kos sebanyak $2.261 trilion - $50,000 untuk setiap rakyat Afghanistan yang kini tinggal di negara tersebut. Ini melebihi 100 kali ganda purata pendapatan tahunan rakyat Afghanistan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.economicsandpeace.org

*11 buah negara yang mencatatkan skor ETR paling rendah ialah Afghanistan, Niger, Madagascar, Malawi, Rwanda, Burundi, Guatemala, Mozambique, Pakistan, Angola dan Yaman.

NOTA KEPADA EDITOR 

Tentang Laporan Ancaman Ekologi (ETR)

Ini adalah edisi kedua Laporan Ancaman Ekologi (ETR) yang merangkumi 178 buah negeri dan wilayah bebas. Keunikan ETR terletak pada gabungan langkah-langkah ketahanan dengan data ekologi paling komprehensif yang tersedia untuk mendedahkan negara-negara yang paling kurang berkemampuan untuk menangani kejutan ekologi melampau pada masa ini dan akan datang.

Metodologi 

ETR merangkumi penyelidikan saintifik yang paling terkini dan dikagumi dari segi pertumbuhan penduduk, kekurangan bekalan air, ketakjaminan makanan, kemarau, banjir, siklon dan peningkatan suhu. Selain itu, laporan ini menggunakan rangka kerja Keamanan Positif IEP untuk mengenal pasti kawasan yang kurang berdaya tahan dalam melakukan penyesuaian atau menangani kejutan masa depan ini. Laporan ini terdiri daripada pelbagai sumber data yang merangkumi Bank Dunia, Institut Sumber Dunia, Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pusat Pemantauan Perpindahan Dalaman, Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim, Pertubuhan Antarabangsa untuk Penghijrahan dan IEP.

Tentang Institute for Economics and Peace

IEP ialah sebuah syarikat pemikir antarabangsa dan bebas yang dikhususkan untuk mengubah fokus dunia terhadap keamanan sebagai satu bentuk ukuran kesejahteraan dan perkembangan manusia yang positif, boleh dicapai dan bernilai. IEP mempunyai pejabat di Sydney, Brussels, New York, The Hague, Mexico City dan Harare.

[1]  Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

[2]  Analisis IEP, sumber data Lloyds Register Foundation World Risk Poll

 

 

 

Source: Institute of Economics and Peace
Keywords: Environmental Products & Services Publishing/Information Service Environmental Issues Not for profit Survey, Polls & Research