omniture

Global Maritime Forum: Pelancaran Strategi Peralihan Getting to Zero Coalition dengan Tindakan Kolaboratif Bersepadu, Penyahkarbonan Penuh Perkapalan Antarabangsa menjelang 2050 Boleh Dilakukan

Global Maritime Forum
2021-10-28 19:01 17

LONDON, 28 Oktober 2021 /PRNewswire/ -- Hari ini, Getting to Zero Coalition melancarkan "Strategi untuk Peralihan kepada Perkapalan dengan Sifar Pelepasan", satu kajian yang komprehensif tentang tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan, industri dan badan antarabangsa untuk melaksanakan peralihan kepada pelepasan sifar menjelang tahun 2050.

Perkapalan telah melalui peralihan pada masa lalu dan ia boleh dilakukan sekali lagi. Laporan tersebut yang disediakan oleh University Maritime Advisory Services (UMAS) untuk Getting to Zero Coalition menunjukkan bahawa peralihan ini merupakan satu peluang untuk mewujudkan pasaran baharu, teknologi baharu dan pekerjaan baharu, di samping manfaat yang menyeluruh kepada masyarakat.

Strategi tersebut merupakan laporan perkapalan utama pertama yang menggabungkan teori peralihan dengan tekno-ekonomi. Ia memberikan pemahaman baharu tentang unsur-unsur penting dalam peralihan sedemikian: keperluan politik, teknikal, ekonomi dan komersial serta tindakan yang diperlukan daripada sektor tersebut untuk melaksanakannya.

"Sejak tahun 2018, perbincangan tentang penyahkarbonan telah didominasi dengan pertimbangan bagi pilihan bahan bakar industri dan peluang penetapan harga karbon di IMO. Kajian ini menunjukkan bahawa penyahkarbonan perkapalan memerlukan perspektif yang lebih luas dan perhatian yang lebih pada banyak tuil untuk perubahan yang boleh dan perlu ditarik termasuklah di peringkat kebangsaan dan serantau," kata Dr. Tristan Smith, Profesor Madya di UCL Energy Institute dan pengarang utama laporan tersebut.

Laporan tersebut menyimpulkan bahawa laluan bahan bakar tidak ditentukan terlebih dahulu tetapi akan dipengaruhi oleh pilihan pada tahun-tahun yang akan datang. Walau bagaimanapun, dalam peralihan perkapalan pada ketika ini, tindakan komersial dan dasar yang paling mendesak adalah tindakan yang boleh menyumbang untuk meningkatkan pengeluaran dan penggunaan bahan bakar sifar pelepasan boleh skala yang diperoleh daripada hidrogen.

"Kepimpinan industri, kerjasama dan pelaburan peringkat awal daripada kedua-dua sektor swasta dan awam adalah penting untuk memulakan peralihan serta mengurangkan kos dan risiko. Dengan mencapai 5 peratus bahan bakar sifar pelepasan boleh skala dalam perkapalan menjelang tahun 2030, kita boleh mencipta titik penting yang akan membolehkan penyebaran pantas dalam dekad-dekad berikutnya. Kami menganggarkan bahawa kira-kira 10 peratus penggunaan jumlah bahan bakar perkapalan mempunyai syarat-syarat yang memberangsangkan untuk peralihan bahan bakar sifar pelepasan pada tahun 2020, meletakkan matlamat ini terus ke dalam jangkauan," kata Jesse Fahnestock, Ketua Penyelidikan dan Analisis Global Maritime Forum semasa pelancaran Strategi Peralihan di Sidang Kemuncak Tahunan Global Maritime Forum di Church House, London.

Laporan tersebut menekankan bahawa peralihan kepada penyahkarbonan penuh menjelang tahun 2050 boleh dilakukan, tetapi semua yang terlibat perlu bersedia dengan cara mereka sendiri. Negara-negara dan syarikat-syarikat yang berpotensi untuk menyokong dan melaksanakan perkapalan sifar pelepasan pada dekad ini mestilah mula bekerja bersama-sama untuk berbuat demikian. Mereka yang menghadapi halangan yang lebih tinggi untuk bertindak hendaklah menyediakan strategi yang fleksibel dan kukuh untuk perubahan pantas yang mendatang. Dan semua pihak perlu berusaha bagi membolehkan tindakan yang kukuh di seluruh dunia melalui IMO.

"Kejayaan tidak bermakna menjumpai satu jalan sahaja, sebaliknya melibatkan satu siri tindakan oleh pelbagai pihak berkepentingan yang boleh mengukuh dan melengkapi antara satu sama lain untuk menyahkarbon sektor itu sepenuhnya menjelang tahun 2050," kata Margi Van Gogh Ketua Rantaian Bekalan dan Pengangkutan, World Economic Forum.

Strategi Peralihan bagi Perkapalan Sifar Pelepasan telah disediakan oleh UMAS untuk Getting to Zero Coalition dengan pembiayaan daripada Mission Possible Partnership (MPP).

Tentang Getting to Zero Coalition 

Getting to Zero Coalition ialah sebuah platform yang diterajui industri untuk kerjasama yang menyatukan pihak berkepentingan terkemuka dari seluruh rantaian nilai maritim dan bahan bakar dengan sektor kewangan dan lain-lain yang komited untuk menjadikan kapal sifar pelepasan yang berdaya maju secara komersial sebagai satu realiti yang boleh diskala menjelang tahun 2030. Getting to Zero Coalition merupakan sebuah kerjasama antara Global Maritime Forum, Friends of Ocean Action dan World Economic Forum.

Tentang Global Maritime Forum 

Global Maritime Forum merupakan sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan antarabangsa yang komited untuk membentuk masa depan perdagangan melalui laut global bagi meningkatkan pembangunan ekonomi jangka panjang dan kesejahteraan manusia yang lestari.

Tentang Friends of Ocean Action 

Friends of Ocean Action merupakan sebuah kumpulan unik yang terdiri daripada lebih 55 pemimpin global daripada perniagaan, organisasi antarabangsa, masyarakat sivil, sains dan akademia yang menjejaki penyelesaian boleh skala dengan pantas bagi cabaran paling mendesak yang dihadapi oleh lautan. Ia dihoskan oleh World Economic Forum dengan kerjasama World Resources Institute.

Tentang World Economic Forum 

World Economic Forum merupakan Pertubuhan Antarabangsa untuk Kerjasama Awam-Swasta. Forum ini melibatkan pemimpin politik, perniagaan, budaya dan masyarakat yang terkemuka untuk membentuk agenda industri, serantau dan global. Ia telah ditubuhkan pada tahun 1971 sebagai sebuah yayasan bukan berasaskan keuntungan dan beribu pejabat di Geneva, Switzerland. Ia adalah bebas, tidak berat sebelah dan tidak terikat dengan sebarang kepentingan khusus.

Tentang UMAS 

UMAS menyampaikan perkhidmatan perundingan dan menjalankan penyelidikan untuk pelbagai pelanggan dalam sektor awam dan swasta menggunakan model sistem perkapalan, data raya perkapalan serta analisis kualitatif dan sains sosial bagi dasar dan struktur komersial sistem perkapalan. Hasil kerja UMAS disokong oleh data terkini yang disokong oleh model dan amalan penyelidikan yang ketat, yang menjadikan UMAS sebagai peneraju dunia dalam dua bidang utama; menggunakan data raya untuk memahami pemacu pelepasan perkapalan dan menggunakan model bagi meneroka peralihan perkapalan kepada masa depan sifar pelepasan. Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.u-mas.co.uk

 

 

Source: Global Maritime Forum
Keywords: Alternative Energies Banking/Financial Service Computer Software Computer/Electronics Environmental Products & Services Green Technology Maritime/Shipbuilding Mining/Metals Oil/Energy Transportation Utilities Conservation/Recycling New products/services Survey, Polls & Research