omniture

Novavax dan Serum Institute of India Mendapat Kebenaran Penggunaan Kecemasan bagi Vaksin COVID-19 di Indonesia

Novavax, Inc.
2021-11-03 19:16 27

GAITHERSBURG, Maryland dan PUNE, India, 3 November 2021 /PRNewswire/ -- Novavax, Inc. (Nasdaq: NVAX), sebuah syarikat bioteknologi yang mengkhusus dalam pembangunan dan pengkomersialan vaksin generasi seterusnya untuk penyakit berjangkit yang serius, dan Serum Institute of India Pvt. Ltd. (SII), pengeluar vaksin dalam jumlah paling banyak di dunia, hari ini mengumumkan bahawa Agensi Pemantau Makanan dan Ubat-ubatan Nasional Republik Indonesia, atau Badan Pengawas Obat dan Makanan (Badan POM), telah memberikan kebenaran penggunaan kecemasan (EUA) untuk vaksin COVID-19 berasaskan protein nanopartikel rekombinan dengan adjuvan Matrix-M™ Novavax. Vaksin ini akan dihasilkan oleh SII di India dan dipasarkan oleh SII di Indonesia di bawah jenama COVOVAX™.

"Kebenaran pertama vaksin COVID-19 Novavax ini menunjukkan komitmen kami terhadap akses global yang sama rata dan akan memenuhi keperluan penting Indonesia, yang walaupun merupakan negara keempat paling ramai penduduknya di dunia, tetap berusaha untuk menjamin vaksin yang mencukupi bagi rakyatnya," kata Stanley C. Erck, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Novavax. "Ini juga menandakan kebenaran kawal selia pertama di seluruh dunia bagi vaksin COVID-19 berasaskan protein dengan data klinikal Fasa 3 yang menunjukkan keberkesanan dan profil keselamatan yang baik. Ini merupakan detik bersejarah bagi Novavax dan rakan kongsi kami, Serum Institute of India, dan merupakan kelulusan pertama daripada banyak lagi kelulusan yang dijangkakan oleh Novavax dalam beberapa minggu dan bulan akan datang bagi vaksin kami di seluruh dunia."

Oleh kerana vaksin tersebut disimpan pada suhu 2° hingga 8° Celsius, penggunaan saluran bekalan vaksin sedia ada dengan keupayaan rantaian sejuk yang lebih tradisional boleh diguna pakai dan berpotensi meningkatkan akses ke kawasan yang sukar dijangkau dan meningkatkan kadar vaksinasi di seluruh negara. Penghantaran pertama ke Indonesia dijangka akan bermula secepat mungkin.

"Akses kepada bekalan vaksin yang selamat dan sangat berkesan serta agihannya yang mudah, seharusnya menjadi penggerak utama dalam membantu Indonesia mengawal wabak koronavirus pada ketika ini," kata Adar Poonawalla, Ketua Pegawai Eksekutif, Serum Institute of India. "Kami terus berusaha dengan pantas untuk memastikan pilihan vaksin COVID-19 berasaskan protein yang pertama, tersedia untuk semua pihak yang sedang menantikan ketibaannya di Indonesia."

Novavax dan SII telah memfailkan kebenaran vaksin COVID-19 Novavax di India dan Filipina dan juga untuk Senarai Penggunaan Kecemasan (EUL) dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Novavax baru-baru ini telah melengkapkan serahan pertama untuk kebenaran vaksin Novavax dengan agensi kawal selia di United Kingdom, Kesatuan Eropah, Kanada dan Australia. Novavax dijangka akan mengemukakan pemfailan kawal selia tambahan untuk vaksinnya di seluruh dunia serta pemfailan tambahan vaksin untuk EUL dengan WHO, tidak lama lagi. Novavax dijangka akan menyerahkan pakej lengkapnya kepada FDA A.S. menjelang akhir tahun ini.

Indonesia ialah ahli Pharmaceutical Inspection Co-operation Scheme (PIC/S), sebuah badan kerjasama tidak terikat dengan lebih 50 pihak berkuasa kawal selia termasuk di A.S., United Kingdom, Kesatuan Eropah, Australia dan Kanada dalam bidang Amalan Pengilangan Baik (GMP) produk perubatan untuk kegunaan manusia atau haiwan. PIC/S bermatlamat untuk mengharmonikan prosedur pemeriksaan di seluruh dunia melalui pembangunan standard yang sama dalam bidang GMP dan memudahkan kerjasama serta rangkaian antara pihak berkuasa, organisasi serantau dan antarabangsa yang berwibawa, seterusnya meningkatkan keyakinan bersama.

Untuk maklumat tambahan tentang COVOVAX, termasuk Ringkasan Ciri-ciri Produk, Maklumat Preskripsi dan Maklumat Keselamatan Penting, sila layari: Badan Pengawas Obat dan Makanan Indonesia (Badan POM). Maklumat ini akan disiarkan dalam beberapa hari lagi.

Kebenaran Penggunaan Vaksin Covid-19 Novavax di Indonesia
Badan POM telah mengeluarkan Kebenaran Penggunaan Kecemasan (EUA) untuk Covovax /Protein Pepaku Rekombinan Virus SARS-CoV-2 5 mcg untuk meningkatkan imuniti terhadap SARS-CoV-2 bagi mencegah COVID-19 dalam kalangan individu dewasa berumur 18 tahun ke atas.

Maklumat Keselamatan Penting
COVOVAX didapati mempunyai kontraindikasi pada individu yang hiper sensitif terhadap mana-mana bahan aktif atau eksipien dalam vaksin ini.

Tentang Ujian Fasa 3 NVX-CoV2373
NVX-CoV2373 sedang dinilai dalam dua ujian Fasa 3 yang penting: ujian PREVENT-19 di A.S. dan Mexico yang menunjukkan perlindungan 100% terhadap penyakit sederhana dan teruk dan 90.4% keberkesanan secara keseluruhan. Ia secara amnya dapat ditoleransi dengan baik dan menghasilkan tindak balas antibodi yang kuat. Ia juga sedang dinilai dalam satu ujian di U.K yang menunjukkan 96.4% keberkesanan terhadap strain virus asal dan 86.3% terhadap varian Alpha (B.1.1.7) dan 89.7% keberkesanan keseluruhannya.

NVX-CoV2373, vaksin Covid-19 Novavax, ialah calon vaksin berasaskan protein yang direkayasa daripada jujukan genetik strain pertama SARS-CoV-2 iaitu virus yang menyebabkan penyakit COVID-19. NVX-CoV2373 telah dicipta menggunakan teknologi nanopartikel rekombinan Novavax untuk menghasilkan antigen yang diperoleh daripada protein pepaku (S) koronavirus dan diformulasikan dengan adjuvan Matrix-M™ berasaskan saponin Novavax yang dipatenkan untuk meningkatkan tindak balas imun dan merangsang antibodi peneutralan bertahap tinggi. NVX-CoV2373 mengandungi antigen protein murni yang tidak boleh direplika serta tidak menyebabkan COVID-19.

Vaksin COVID-19 Novavax dibungkus sebagai satu formulasi cecair sedia guna ke dalam bebuli yang mengandungi sepuluh dos. Rejimen vaksinasi ini memerlukan dua dos 0.5 ml (5 mikrogram antigen dan 50 mikrogram adjuvan Matrix-M) yang diberikan secara intraotot dalam selang masa 21 hari. Vaksin ini disimpan pada suhu 2° hingga 8° Celsius yang membolehkan penggunaan saluran rantaian bekalan vaksin dan rantaian sejuk yang sedia ada.

Tentang Adjuvan Matrix-M™ 
Adjuvan Matrix-M™ berasaskan saponin yang dipatenkan Novavax telah menunjukkan kesan yang kuat dan dapat ditoleransi dengan merangsang kemasukan sel penyaji antigen ke dalam tempat suntikan dan meningkatkan penyajian antigen di nodus limfa setempat yang dapat meningkatkan tindak balas imun.

Tentang Novavax
Novavax, Inc. (Nasdaq: NVAX) ialah sebuah syarikat bioteknologi yang mempromosikan kesihatan yang lebih baik di seluruh dunia melalui penerokaan, pembangunan dan pengkomersialan vaksin inovatif untuk mencegah penyakit berjangkit yang serius. Platform teknologi rekombinan proprietari syarikat ini menggabungkan kuasa dan kepantasan kejuruteraan genetik untuk menghasilkan nanopartikel imunogenik tinggi yang cekap yang direka untuk menangani keperluan kesihatan global yang penting. Novavax sedang menjalankan ujian klinikal peringkat akhir untuk NVX-CoV2373 iaitu calon vaksin terhadap SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19. NanoFlu™ yang merupakan vaksin nanopartikel kuadrivalen influenza syarikat ini, telah memenuhi kesemua objektif utama dalam percubaan klinikal Tahap 3 yang penting pada orang dewasa yang lebih tua. Kedua-dua calon vaksin menggabungkan adjuvan Matrix-M™ berasaskan saponin proprietari Novavax untuk meningkatkan tindak balas imun dan merangsang antibodi peneutralan pada tahap yang tinggi

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.novavax.com dan berhubung dengan kami di Twitter dan LinkedIn.

Tentang Serum Institute of India Pvt. Ltd.
Didorong oleh falsafah dermawan tentang vaksin mampu milik, Serum Institute of India Pvt, Ltd. ialah pengeluar vaksin terbesar di dunia dari segi bilangan dos yang dihasilkan dan dijual di seluruh dunia (lebih 1.5 bilion dos) yang membekalkan vaksin paling murah di dunia dan diiktiraf WHO, ke lebih 170 buah negara. Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1966 dengan matlamat untuk membuat ubat-ubatan imunobiologi yang menyelamatkan nyawa termasuk vaksin di seluruh dunia. Dengan komitmen yang kuat terhadap kesihatan global, objektif institut ini telah didorong oleh penurunan harga vaksin yang lebih baharu seperti vaksin Difteria, Tetanus, Pertusis, Hib, BCG, r-Hepatitis B, Campak, Beguk dan Rubella. SII diiktiraf kerana membawakan teknologi bertaraf dunia ke India melalui kemudahan kelengkapan pengeluaran pelbagai fungsi yang canggih di Manjari, Pune; dengan gabungan Zipline dan agensi kerajaan untuk mengubah perubatan kecemasan dan penjagaan kritikal serta menerajui perlumbaan membangunkan vaksin pandemik COVID-19.

Pernyataan Berpandangan Ke Hadapan
Pernyataan di sini yang berkaitan dengan masa depan Novavax, rancangan dan prospek operasinya, pengembangan berterusan bagi NVX-CoV2373 dan kerjasamanya, serta calon produk vaksin Novavax lain, skop, waktu dan hasil pemfailan kawal selia pada masa hadapan dan kelulusan kawal selia yang menyusul serta jangkaan masa penghantaran vaksin dan juga peranan yang mungkin dimainkan oleh Novavax dalam membantu mengawal pandemik COVID-19 di Indonesia adalah pernyataan berpandangan ke hadapan. Novavax memberi amaran bahawa pernyataan berpandangan ke hadapan ini tertakluk kepada pelbagai risiko dan ketidakpastian yang boleh menyebabkan keputusan sebenar berbeza secara material daripada yang dinyatakan atau yang tersirat dalam pernyataan tersebut. Risiko dan ketidakpastian ini merangkumi cabaran yang memuaskan, secara bersendirian atau bersama-sama dengan rakan kongsi, pelbagai keperluan keselamatan, keberkesanan, dan pencirian produk, termasuk yang berkaitan dengan kelayakan proses dan pengesahan asai, yang diperlukan untuk memenuhi kehendak pihak berkuasa kawal selia yang berkenaan; kesukaran mendapatkan bahan mentah dan bekalan yang sukar didapati; kekangan sumber, termasuk modal insan dan kapasiti pembuatan, kemampuan Novavax untuk meneruskan laluan peraturan yang dirancang; cabaran untuk memenuhi keperluan kontrak di bawah perjanjian dengan pelbagai entiti komersial, kerajaan, dan lain-lain; serta faktor risiko lain yang dikenal pasti dalam bahagian "Faktor Risiko" dan "Perbincangan dan Analisis Pengurusan Bagi Keadaan Kewangan dan Keputusan Operasi" Laporan Tahunan Novavax mengenai Borang 10-K untuk tahun itu yang berakhir pada 31 Disember 2020 dan Laporan Suku Tahunan berikutnya tentang Borang 10-Q, seperti yang difailkan dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC). Kami mengingatkan para pelabur untuk tidak terlalu bergantung pada pernyataan berpandangan ke hadapan yang terdapat dalam siaran akhbar ini. Anda digalakkan membaca pemfailan kami dengan SEC, yang boleh didapati di www.sec.gov dan www.novavax.com, untuk melihat perbincangan tentang perkara ini serta risiko dan ketidakpastian yang lain. Pernyataan yang berpandangan ke hadapan dalam siaran akhbar ini adalah tepat hanya pada tarikh dokumen ini dan kami tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini atau menyemak semula mana-mana pernyataan tersebut. Perniagaan kami tertakluk kepada risiko dan ketidakpastian yang tinggi termasuk yang dirujuk di atas. Para pelabur, pelabur yang berpotensi dan lain-lain perlu mempertimbangkan dengan teliti tentang risiko dan ketidakpastian ini.

Sila hubungi: 

Para pelabur
Novavax, Inc.
Erika Schultz | 240-268-2022
ir@novavax.com

Solebury Trout
Alexandra Roy | 617-221-9197
aroy@soleburytrout.com

Media
Laura Keenan Lindsey | 202-709-7521
Ali Chartan | 240-720-7804
media@novavax.com

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1506866/Novavax_High_Res_Logo.jpg?p=medium600  

Source: Novavax, Inc.
Related Stocks:
NASDAQ:NVAX
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Infectious Disease Control Medical/Pharmaceuticals Licensing/marketing agreements