omniture

Novavax Memfailkan Vaksin COVID-19 untuk Senarai Penggunaan Kecemasan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia

Novavax, Inc.
2021-11-06 23:19 133

- Semua modul yang diperlukan untuk semakan kawal selia vaksin Novavax termasuk data CMC, kini telah lengkap untuk WHO

GAITHERSBURG, Maryland, 6 November 2021 /PRNewswire/ -- Novavax, Inc. (Nasdaq: NVAX), sebuah syarikat bioteknologi yang dikhususkan untuk membangun dan mengkomersialkan vaksin generasi seterusnya untuk penyakit berjangkit yang serius, hari ini mengumumkan penyempurnaan serahan kawal selia kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memohon kelulusan senarai penggunaan kecemasan (EUL) NVX-CoV2373 iaitu calon vaksin COVID-19 miliknya.

"Penyerahan hari ini menunjukkan fokus kami yang berterusan dalam mempercepat akses dan pengedaran yang saksama sambil kami berusaha membawa vaksin kami kepada golongan yang memerlukan di seluruh dunia," kata Stanley C. Erck, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Novavax. "Kami terus berusaha untuk menyampaikan vaksin COVID-19 kami dengan segera, yang dibangunkan pada platform vaksin yang terbukti dan difahami dengan baik, kerana tiada siapa yang selamat sehingga semua orang dipastikan benar-benar selamat."

Novavax kini telah melengkapkan penyerahan semua modul yang diperlukan kepada WHO untuk penilaian kawal selia NVX-CoV2373 iaitu vaksin COVID-19 berasaskan protein nanopartikel rekombinan dengan adjuvan Matrix-M™ milik syarikat. Modul kimia, pembuatan dan kawalan (CMC) diserahkan kepada WHO serta agensi kawal selia yang lain di seluruh dunia dengan memanfaatkan kerjasama pembuatan Novavax dengan Serum Institute of India Pvt. Ltd. (SII), pengeluar vaksin terbesar di dunia berdasarkan jumlah. Novavax akan membuat permohonan lanjutan untuk menyampaikan bekalan vaksin daripada tapak pembuatan tambahan dalam rantaian bekalan global Novavax. Pemfailan Novavax hari ini adalah sebagai tambahan kepada pemfailan terdahulu kepada WHO oleh Novavax dan SII.

Penyerahan ini juga merangkumi data klinikal daripada PREVENT-19 iaitu ujian Fasa 3 yang penting pada 30,000 individu di A.S. dan Mexico yang menunjukkan 100% perlindungan terhadap penyakit sederhana dan teruk serta 90.4% keberkesanan keseluruhan. Data klinikal daripada ujian Fasa 3 yang penting pada 15,000 orang peserta di U.K. telah turut diserahkan kepada WHO sebelum ini dengan NVX-CoV2373 menunjukkan keberkesanan sebanyak 96.4% terhadap strain virus asal, 86.3% terhadap varian Alpha (B.1.1.7) dan 89.7% keberkesanan keseluruhan. Dalam kedua-dua ujian, NVX-CoV2373 menunjukkan profil keselamatan dan toleransi yang baik.

Novavax baru-baru ini mengumumkan kebenaran vaksinnya di Indonesia. Syarikat ini turut mengumumkan pemfailan kawal selia untuk vaksin di United Kingdom, Australia, New Zealand dan Kanada serta penyerahan semua data dan modul lengkap di Kesatuan Eropah untuk menyokong semakan kawal selia akhir dosnya oleh Agensi Ubat-ubatan Eropah. Novavax dijangka akan menyerahkan pakej yang lengkap kepada FDA A.S. menjelang akhir tahun ini.

Geran EUL WHO merupakan satu prasyarat eksport ke beberapa negara yang mengambil bahagian dalam Kemudahan COVAX, yang ditubuhkan untuk memperuntuk dan mengedarkan vaksin secara adil kepada negara-negara dan ekonomi yang mengambil bahagian. Novavax terus bekerjasama rapat dengan kerajaan, pihak berkuasa kawal selia dan organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan komitmennya bagi memastikan akses global yang adil terhadap vaksin COVID-19.

Tentang ujian Fasa 3 NVX-CoV2373
NVX-CoV2373 sedang dinilai dalam dua ujian Fasa 3 yang penting: satu ujian di U.K. yang menunjukkan 96.4% keberkesanan terhadap strain virus asal, 86.3% terhadap varian Alpha (B.1.1.7) dan 89.7% keberkesanan secara keseluruhan; serta ujian PREVENT-19 di A.S. dan Mexico yang menunjukkan perlindungan 100% terhadap penyakit sederhana dan teruk dan 90.4% keberkesanan secara keseluruhan. Ia secara umumnya dapat ditoleransi dengan baik dan menghasilkan tindak balas antibodi yang kuat.

NVX-CoV2373 ialah calon vaksin berasaskan protein yang direkayasa daripada jujukan genetik strain pertama SARS-CoV-2 iaitu virus yang menyebabkan penyakit COVID-19. NVX-CoV2373 telah dicipta menggunakan teknologi nanopartikel rekombinan Novavax untuk menghasilkan antigen yang diperoleh daripada protein spike (S) koronavirus dan diformulasikan dengan adjuvan Matrix-M™ berasaskan saponin Novavax yang dipatenkan untuk meningkatkan tindak balas imun dan merangsang antibodi peneutralan bertahap tinggi. NVX-CoV2373 mengandungi antigen protein murni yang tidak boleh direplika serta tidak menyebabkan COVID-19.

Vaksin COVID-19 Novavax dibungkus sebagai satu formulasi cecair sedia guna ke dalam bebuli yang mengandungi sepuluh dos. Rejimen vaksinasi ini memerlukan dua dos 0.5 ml (5 mikrogram antigen dan 50 mikrogram adjuvan Matrix-M) yang diberikan secara intraotot dalam selang masa 21 hari. Vaksin ini disimpan pada suhu 2° hingga 8° Celsius yang membolehkan penggunaan saluran rantaian bekalan vaksin dan rantaian sejuk yang sedia ada.

Tentang Adjuvan Matrix-M™
Adjuvan Matrix-M™ berasaskan saponin yang dipatenkan Novavax telah menunjukkan kesan yang kuat dan dapat ditoleransi dengan merangsang kemasukan sel penyaji antigen ke dalam tempat suntikan dan meningkatkan penyajian antigen di nodus limfa setempat yang dapat meningkatkan tindak balas imun.

Tentang Novavax
Novavax, Inc. (Nasdaq: NVAX) ialah sebuah syarikat bioteknologi yang mempromosikan kesihatan yang lebih baik di seluruh dunia melalui penerokaan, pembangunan dan pengkomersialan vaksin inovatif untuk mencegah penyakit berjangkit yang serius. Platform teknologi rekombinan proprietari milik syarikat itu menggabungkan kekuatan dan kepantasan kejuruteraan genetik untuk menghasilkan nanozarah yang sangat imunogenik dengan cekap, yang direka untuk menangani keperluan kesihatan global yang mendesak. Novavax sedang menjalankan ujian klinikal peringkat akhir untuk NVX-CoV2373 iaitu calon vaksin terhadap SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19. NanoFlu™ yang merupakan vaksin nanopartikel kuadrivalen influenza syarikat ini, telah memenuhi kesemua objektif utama dalam percubaan klinikal Tahap 3 yang penting pada orang dewasa yang lebih tua. Kedua-dua calon vaksin menggabungkan adjuvan Matrix-M™ berasaskan saponin proprietari Novavax untuk meningkatkan tindak balas imun dan merangsang antibodi peneutralan pada tahap yang tinggi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.novavax.com dan berhubung dengan kami di Twitter dan LinkedIn.

Pernyataan Berpandangan Ke Hadapan
Pernyataan di sini yang berkaitan dengan masa depan Novavax, rancangan dan prospek operasinya, kerjasama, pengembangan berterusan bagi NVX-CoV2373 dan calon produk vaksin Novavax lain, skop, masa dan hasil pemfailan kawal selia pada masa hadapan dan tindakan serta perancangan Novavax untuk menyampaikan vaksin COVID-19 kepada orang ramai di seluruh dunia adalah pernyataan yang berpandangan ke hadapan. Novavax memberi amaran bahawa pernyataan berpandangan ke hadapan ini tertakluk kepada pelbagai risiko dan ketidakpastian yang boleh menyebabkan keputusan sebenar berbeza secara material daripada yang dinyatakan atau yang tersirat dalam pernyataan tersebut. Risiko dan ketidakpastian ini merangkumi cabaran yang memuaskan, secara bersendirian atau bersama-sama dengan rakan kongsi, pelbagai keperluan keselamatan, keberkesanan, dan pencirian produk, termasuk yang berkaitan dengan kelayakan proses dan pengesahan asai, yang diperlukan untuk memenuhi kehendak pihak berkuasa kawal selia yang berkenaan; kesukaran mendapatkan bahan mentah dan bekalan yang sukar didapati; kekangan sumber, termasuk modal insan dan kapasiti pembuatan, kemampuan Novavax untuk meneruskan laluan peraturan yang dirancang; cabaran untuk memenuhi keperluan kontrak di bawah perjanjian dengan pelbagai entiti komersial, kerajaan, dan lain-lain; serta faktor risiko lain yang dikenal pasti dalam bahagian "Faktor Risiko" dan "Perbincangan dan Analisis Pengurusan Bagi Keadaan Kewangan dan Keputusan Operasi" Laporan Tahunan Novavax mengenai Borang 10-K untuk tahun itu yang berakhir pada 31 Disember 2020 dan Laporan Suku Tahunan berikutnya tentang Borang 10-Q, seperti yang difailkan dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC). Kami mengingatkan para pelabur untuk tidak terlalu bergantung pada pernyataan berpandangan ke hadapan yang terdapat dalam siaran akhbar ini. Anda digalakkan membaca pemfailan kami dengan SEC, yang boleh didapati di www.sec.gov dan www.novavax.com untuk melihat perbincangan tentang perkara ini serta risiko dan ketidakpastian yang lain. Pernyataan yang berpandangan ke hadapan dalam siaran akhbar ini adalah tepat hanya pada tarikh dokumen ini dan kami tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini atau menyemak semula mana-mana pernyataan tersebut. Perniagaan kami tertakluk kepada risiko dan ketidakpastian yang tinggi termasuk yang dirujuk di atas. Para pelabur, pelabur yang berpotensi dan lain-lain perlu mempertimbangkan dengan teliti tentang risiko dan ketidakpastian ini.

Sila hubungi:

Pelabur
Novavax, Inc.
Erika Schultz | 240-268-2022
ir@novavax.com

Solebury Trout
Alexandra Roy | 617-221-9197
aroy@soleburytrout.com

Media
Alison Chartan | 240-720-7804
Laura Keenan Lindsey | 202-709-7521
media@novavax.com

 

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1506866/Novavax_High_Res_Logo.jpg?p=medium600

 

Source: Novavax, Inc.
Related Stocks:
NASDAQ:NVAX
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Infectious Disease Control Medical/Pharmaceuticals Pharmaceuticals