- Sebanyak 204 kejohanan Jelajah Tenis Dunia ITF bakal dianjurkan pada suku pertama tahun 2022
- Jelajah Tenis Dunia ITF ini menyediakan peluang permainan yang sama untuk golongan wanita dan lelaki
- Kalendar S1 2022 menunjukkan peningkatan sebanyak 50% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2021
- Tahun 2022 menawarkan lebih banyak peluang permainan berbanding dengan tahap prapandemik
LONDON, 18 November 2021 /PRNewswire/ -- Persekutuan Tenis Antarabangsa ("ITF") hari ini menerbitkan kalendar Jelajah Tenis Dunia ITF ("Jelajah Tenis Dunia") untuk suku pertama ("S1") tahun 2022 dan akan menyediakan lebih 1,000 acara sepanjang tahun hadapan. Kalendar suku pertama pada tahun 2022 bakal menawarkan sebanyak 204 kejohanan, 102 acara untuk kedua-dua jelajah lelaki dan wanita, yang mewakili peningkatan sebanyak 50% berbanding S1 2021 dan peningkatan sebanyak 7% berbanding S1 tahun 2019 – walaupun terdapat sekatan yang menjejaskan kebanyakan negara yang menjadi tuan rumah acara ITF ini.
Jackie Nesbitt, Pengarah Eksekutif Kanan, Jelajah dan Laluan Pemain berkata, "Jelajah Tenis Dunia ITF biasanya menyediakan lebih 1,000 kejohanan di seluruh dunia setiap tahun dan kami berada pada landasan yang betul untuk menyampaikan lebih banyak daripada jumlah ini pada tahun 2022. Sambutan dan komitmen para penganjur kejohanan dan persatuan kebangsaan kami menunjukkan kekukuhan Jelajah Tenis Dunia dengan kejohanan yang ditetapkan untuk berlangsung di 80 buah negara yang menyediakan lebih 65,000 peluang permainan dan lebih 80,000 perlawanan untuk disaksikan oleh para peminat sepanjang musim tenis pada tahun hadapan."
Pada tahun 2021, 763 kejohanan Jelajah Tenis Dunia ITF akan dianjurkan walaupun terdapat cabaran berterusan disebabkan COVID-19. Keupayaan untuk menganjurkan kejohanan ini telah terjejas dengan ketara disebabkan keadaan kesihatan global, impak ekonomi, kekangan perjalanan antarabangsa dan keperluan bagi memastikan persekitaran yang selamat untuk semua pihak yang terlibat dengan melaksanakan langkah-langkah kesihatan, keselamatan dan integriti yang ketat di semua acara. Walaupun gangguan berterusan disebabkan oleh pandemik ini, bilangan kejohanan yang akan berlangsung pada akhir tahun ini adalah pada kapasiti sebanyak 90% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019 kerana Jelajah Tenis Dunia mula kembali ke tahap pra COVID.
Presiden ITF dan ahli IOC, Dave Haggerty mengulas, "Negara-negara teruja tentang kejohanan tenis yang dianjurkan semula dan dalam beberapa kes, merancang lebih banyak aktiviti berbanding sebelum pandemik. Walaupun kita perlu tetap berwaspada, kita boleh merancang lebih awal. Persatuan Kebangsaan bekerja keras pada tahun 2021 bagi menyampaikan kalendar acara yang kukuh untuk kedua-dua pemain profesional baharu dan remaja walaupun menghadapi cabaran yang besar."
"Jelajah Tenis Dunia dan Remaja menjadi acara yang penting untuk laluan bakat dan masa depan bidang sukan kita. Kami sentiasa berusaha untuk terus meningkatkan sistem ini, sebagai contoh, kami bekerjasama dengan negara-negara untuk meningkatkan jumlah kejohanan dengan hadiah sebanyak $60,000-$100,000 bagi pemain wanita pada S1 dan sepanjang tahun. Jelajah Tenis Dunia memainkan peranan penting untuk atlet berbakat yang mempunyai cita-cita, keupayaan dan keazaman untuk menjadi pemain terbaik dalam sukan ini, tanpa mengira negara asal mereka."
Jelajah Tenis Dunia ITF menawarkan hadiah wang tunai berjumlah $24.3 juta pada tahun 2019. Jumlah kejohanan dengan hadiah sebanyak $25,000 telah meningkat daripada 52 kejohanan pada tahun 2019 menjadi 70 pada tahun 2021 (44 untuk wanita dan 26 untuk lelaki).