omniture

Novavax dan Serum Institute of India Mendapat Kebenaran Penggunaan Kecemasan bagi Vaksin COVID-19 di Filipina

Novavax, Inc.
2021-11-19 11:53 30

GAITHERSBURG, Maryland dan PUNE, India, 19 November 2021 /PRNewswire/ -- Novavax, Inc. (Nasdaq: NVAX), sebuah syarikat bioteknologi yang mengkhusus dalam pembangunan dan pengkomersialan vaksin generasi seterusnya untuk penyakit berjangkit yang serius, dan Serum Institute of India Pvt. Ltd. (SII), pengeluar vaksin terbesar di dunia dari segi jumlah, hari ini mengumumkan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Filipina telah memberikan kebenaran penggunaan kecemasan (EUA) untuk vaksin COVID-19 berasaskan protein nanopartikel rekombinan dengan adjuvan Matrix-M™ Novavax. Vaksin ini akan dihasilkan dan dipasarkan di Filipina oleh SII di bawah nama jenama COVOVAX™.

"Dengan kurang daripada satu pertiga penduduk Filipina yang telah lengkap diimunisasi, kami menjangkakan pilihan untuk vaksin protein yang dibina pada platform teknologi yang difahami dengan baik dapat menyumbang dengan ketara kepada peningkatan kadar vaksinasi," kata Stanley C. Erck, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Novavax. "Novavax teruja dengan penghantaran vaksin tersebut ke Filipina oleh SII dan dengan kebenaran tambahan yang dijangka akan diberikan di tempat lain tidak lama lagi, akan membantu mengawal pandemik COVID-19 di seluruh dunia."

Oleh kerana vaksin ini disimpan dengan penyejukan biasa pada suhu 2° hingga 8° Celsius, ia boleh diangkut dan disimpan menggunakan rantaian bekalan vaksin sedia ada yang berpotensi meningkatkan akses ke kawasan yang sukar dijangkau.

"Kelulusan COVOVAX di Filipina ini merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam perjuangan global menentang koronavirus," kata Adar Poonawalla, Ketua Pegawai Eksekutif Serum Institute of India. "Kami berbangga dapat menghantar vaksin COVID-19 berasaskan protein yang pertama ke Filipina."  

Vaksin Novavax/SII baru-baru ini telah menerima EUA di Indonesia dan kedua-dua buah syarikat ini juga telah memfailkan kebenaran kecemasan di India dan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (EUL) dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Novavax turut mengumumkan pemfailan kawal selia untuk vaksin di United Kingdom, Australia, New Zealand, Kanada dan dengan WHO serta penyerahan semua data dan modul lengkap di Kesatuan Eropah untuk menyokong semakan kawal selia akhir dosnya oleh Agensi Ubat-ubatan Eropah. Selain itu, Novavax dan SK bioscience mengumumkan Permohonan Lesen Biologi (BLA) di Korea Selatan. Novavax dijangka akan menyerahkan pakej yang lengkap kepada FDA A.S. menjelang akhir tahun ini.

Untuk maklumat tambahan tentang COVOVAX, termasuk Ringkasan Ciri-ciri Produk, Maklumat Preskripsi dan Maklumat Keselamatan Penting, sila layari laman web berikut:

Kebenaran Penggunaan Vaksin Covid-19 Novavax di Filipina
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Filipina telah mengeluarkan Kebenaran Penggunaan Kecemasan (EUA) untuk Covovax/Protein Pepaku Rekombinan Virus SARS-CoV-2 sebanyak 5 mcg untuk imunisasi aktif pada individu yang berumur 18 tahun dan ke atas bagi pencegahan penyakit koronavirus 2019 yang disebabkan oleh SARS-CoV-2

Maklumat Keselamatan Penting
COVOVAX didapati mempunyai kontraindikasi pada individu yang hiper sensitif terhadap mana-mana bahan aktif atau eksipien dalam vaksin ini.

Tentang Ujian Fasa 3 NVX-CoV2373
NVX-CoV2373 sedang dinilai dalam dua ujian Fasa 3 yang penting: ujian PREVENT-19 di A.S. dan Mexico yang menunjukkan perlindungan 100% terhadap penyakit sederhana dan teruk dan 90.4% keberkesanan secara keseluruhan. Ia secara amnya dapat ditoleransi dengan baik dan menghasilkan tindak balas antibodi yang kuat. Ia juga sedang dinilai dalam satu ujian di U.K yang menunjukkan 96.4% keberkesanan terhadap strain virus asal dan 86.3% terhadap varian Alpha (B.1.1.7) dan 89.7% keberkesanan keseluruhannya.

Tentang NVX-CoV2373
NVX-CoV2373, vaksin Covid-19 Novavax, ialah calon vaksin berasaskan protein yang direkayasa daripada jujukan genetik strain pertama SARS-CoV-2 iaitu virus yang menyebabkan penyakit COVID-19. NVX-CoV2373 telah dicipta menggunakan teknologi nanopartikel rekombinan Novavax untuk menghasilkan antigen yang diperoleh daripada protein pepaku (S) koronavirus dan diformulasikan dengan adjuvan Matrix-M™ berasaskan saponin Novavax yang dipatenkan untuk meningkatkan tindak balas imun dan merangsang antibodi peneutralan bertahap tinggi. NVX-CoV2373 mengandungi antigen protein murni yang tidak boleh direplika serta tidak menyebabkan COVID-19.

Vaksin COVID-19 Novavax dibungkus sebagai satu formulasi cecair sedia guna ke dalam bebuli yang mengandungi sepuluh dos. Rejimen vaksinasi ini memerlukan dua dos 0.5 ml (5 mikrogram antigen dan 50 mikrogram adjuvan Matrix-M) yang diberikan secara intraotot dalam selang masa 21 hari. Vaksin ini disimpan pada suhu 2° hingga 8° Celsius yang membolehkan penggunaan saluran rantaian bekalan vaksin dan rantaian sejuk yang sedia ada.

Tentang Adjuvan Matrix-M™
Adjuvan Matrix-M™ berasaskan saponin yang dipatenkan Novavax telah menunjukkan kesan yang kuat dan dapat ditoleransi dengan merangsang kemasukan sel penyaji antigen ke dalam tempat suntikan dan meningkatkan penyajian antigen di nodus limfa setempat yang dapat meningkatkan tindak balas imun.

Tentang Novavax
Novavax, Inc. (Nasdaq: NVAX) ialah sebuah syarikat bioteknologi yang mempromosikan kesihatan yang lebih baik di seluruh dunia melalui penerokaan, pembangunan dan pengkomersialan vaksin inovatif untuk mencegah penyakit berjangkit yang serius. Platform teknologi rekombinan proprietari syarikat ini menggabungkan kuasa dan kepantasan kejuruteraan genetik untuk menghasilkan nanopartikel imunogenik tinggi yang cekap yang direka untuk menangani keperluan kesihatan global yang penting. Novavax sedang menjalankan ujian klinikal peringkat akhir untuk NVX-CoV2373 iaitu calon vaksin terhadap SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19. NanoFlu™ yang merupakan vaksin nanopartikel kuadrivalen influenza syarikat ini, telah memenuhi kesemua objektif utama dalam percubaan klinikal Tahap 3 yang penting pada orang dewasa yang lebih tua. Kedua-dua calon vaksin menggabungkan adjuvan Matrix-M™ berasaskan saponin proprietari Novavax untuk meningkatkan tindak balas imun dan merangsang antibodi peneutralan pada tahap yang tinggi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.novavax.com dan berhubung dengan kami di Twitter dan LinkedIn.

Tentang Serum Institute of India Pvt. Ltd.
Didorong oleh falsafah dermawan tentang vaksin mampu milik, Serum Institute of India Pvt, Ltd. ialah pengeluar vaksin terbesar di dunia dari segi bilangan dos yang dihasilkan dan dijual di seluruh dunia (lebih 1.5 bilion dos) yang membekalkan vaksin paling murah di dunia dan diiktiraf WHO, ke lebih 170 buah negara. Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1966 dengan matlamat untuk membuat ubat-ubatan imunobiologi yang menyelamatkan nyawa termasuk vaksin di seluruh dunia. Dengan komitmen yang kuat terhadap kesihatan global, objektif institut ini telah didorong oleh penurunan harga vaksin yang lebih baharu seperti vaksin Difteria, Tetanus, Pertusis, Hib, BCG, r-Hepatitis B, Campak, Beguk dan Rubella. SII diiktiraf kerana membawakan teknologi bertaraf dunia ke India melalui kemudahan kelengkapan pengeluaran pelbagai fungsi yang canggih di Manjari, Pune; dengan gabungan Zipline dan agensi kerajaan untuk mengubah perubatan kecemasan dan penjagaan kritikal serta menerajui perlumbaan membangunkan vaksin pandemik COVID-19.

Pernyataan Berpandangan Ke Hadapan
Pernyataan di sini yang berkaitan dengan masa depan Novavax, rancangan dan prospek operasinya, kerjasamanya, pengembangan berterusan bagi NVX-CoV2373 dan calon produk vaksin Novavax lain, skop, waktu dan hasil pemfailan kawal selia dan tindakan pada masa hadapan, peranan yang mungkin dimainkan oleh Novavax dalam meningkatkan kadar vaksinasi di Filipina, jangkaan masa penghantaran vaksin dan peranan yang mungkin dimainkan oleh Novavax dalam membantu mengawal pandemik COVID-19 di seluruh dunia adalah pernyataan berpandangan ke hadapan. Novavax memberi amaran bahawa pernyataan berpandangan ke hadapan ini tertakluk kepada pelbagai risiko dan ketidakpastian yang boleh menyebabkan keputusan sebenar berbeza secara material daripada yang dinyatakan atau yang tersirat dalam pernyataan tersebut. Risiko dan ketidakpastian ini merangkumi cabaran yang memuaskan, secara bersendirian atau bersama-sama dengan rakan kongsi, pelbagai keperluan keselamatan, keberkesanan, dan pencirian produk, termasuk yang berkaitan dengan kelayakan proses dan pengesahan asai, yang diperlukan untuk memenuhi kehendak pihak berkuasa kawal selia yang berkenaan; kesukaran mendapatkan bahan mentah dan bekalan yang sukar didapati; kekangan sumber, termasuk modal insan dan kapasiti pembuatan, kemampuan Novavax untuk meneruskan laluan peraturan yang dirancang; cabaran untuk memenuhi keperluan kontrak di bawah perjanjian dengan pelbagai entiti komersial, kerajaan, dan lain-lain; serta faktor risiko lain yang dikenal pasti dalam bahagian "Faktor Risiko" dan "Perbincangan dan Analisis Pengurusan Bagi Keadaan Kewangan dan Keputusan Operasi" Laporan Tahunan Novavax mengenai Borang 10-K untuk tahun itu yang berakhir pada 31 Disember 2020 dan Laporan Suku Tahunan berikutnya tentang Borang 10-Q, seperti yang difailkan dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC). Kami mengingatkan para pelabur untuk tidak terlalu bergantung pada pernyataan berpandangan ke hadapan yang terdapat dalam siaran akhbar ini. Anda digalakkan membaca pemfailan kami dengan SEC, yang boleh didapati di www.sec.gov dan www.novavax.com, untuk melihat perbincangan tentang perkara ini serta risiko dan ketidakpastian yang lain. Pernyataan yang berpandangan ke hadapan dalam siaran akhbar ini adalah tepat hanya pada tarikh dokumen ini dan kami tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini atau menyemak semula mana-mana pernyataan tersebut. Perniagaan kami tertakluk kepada risiko dan ketidakpastian yang tinggi termasuk yang dirujuk di atas. Para pelabur, pelabur yang berpotensi dan lain-lain perlu mempertimbangkan dengan teliti tentang risiko dan ketidakpastian ini.

Sila hubungi:

Para pelabur
Novavax, Inc.
Erika Schultz | 240-268-2022
ir@novavax.com

Solebury Trout
Alexandra Roy | 617-221-9197
aroy@soleburytrout.com

Media
Novavax
Laura Keenan Lindsey | 202-709-7521
Ali Chartan | 240-720-7804
media@novavax.com

Serum Institute of India
Mayank Sen | +919867974055
mayank.sen@seruminstitute.com

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1506866/Novavax_High_Res_Logo.jpg?p=medium600

 

Source: Novavax, Inc.
Related Stocks:
NASDAQ:NVAX
Related Links:
Keywords: Biotechnology Health Care/Hospital Infectious Disease Control Medical/Pharmaceuticals