STOCKHOLM, Sept. 3, 2013 /PRNewswire/ -- Pemimpin global telah berkumpul di Stockholm untuk Minggu Air Sedunia ke-23, menyeru untuk kerjasama lebih erat tentang air. Dengan populasi dan ekonomi dunia yang bertumbuh pesat sementara jumlah air yang sedia ada masih kekal sama, kerjasama untuk sumber kita yang paling penting ini sangat diperlukan.
Memberi ucapan semasa sesi pembukaan Minggu Air Sedunia pada hari Isnin, Pengarah Eksekutif SIWI En. Torgny Holmgren berkata "menggadai masa hadapan kita dengan mengosongkan air dari tanah, permukaan dan langit lebih cepat berbanding dengan kadar air digantikan oleh alam semula jadi merupakan tindakan yang tidak berasas dan kurang bijak. Ia akan menjejaskan kestabilan dan kekukuhan seluruh ketamadunan kita."
Populasi dunia sedang meningkat pantas. Menjelang tahun 2050, akan ada 9 bilion manusia. Namun, jumlah air di dunia takkan turut meningkat. Kerjasama tanpa prejudis dan perkongsian tenaga kerja yang mantap adalah penting bagi berkongsi dan menguruskan air yang kita ada dengan jayanya. Kita perlu mengukuhkan kerjasama merentasi sempadan kerana air tidak mengikut sempadan negara, kita mesti bina lebih banyak jejambat yang lebih kuat yang menghubungkan sektor awam dengan sektor swasta, kita mesti belajar untuk mengurangkan penggunaan air, dan lebih penting lagi, kita mesti pastikan setiap manusia di muka bumi ini mendapat akses pada air minuman yang selamat dan sanitasi.
Penyakit yang disebabkan oleh air yang tidak selamat, sanitasi dan kebersihan membunuh lebih 5,000 orang setiap hari. Walaupun dengan angka yang mengerikan ini, bidang sanitasi jarang menerima perhatian yang ia sangat-sangat perlukan.
En. Jan Eliasson, Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, menggesa kerajaan, rakan kongsi pemaju dan sektor swasta untuk membantu mengubah keadaan ini.
"Ketiadaan sanitasi mempunyai impak langsung ke atas kesihatan, nutrisi, pendidikan, hak wanita dan kanak-kanak perempuan serta penghapusan kemiskinan. Saya menyeru semua orang yang berkenaan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka," kata En. Eliasson.
Dalam lebih 100 seminar, bengkel dan acara, lebih 2,500 peserta akan bertemu di bawah tema "Kerjasama Air – Membina Hubungan Kerjasama". Mereka akan digalakkan untuk memikirkan cara inovatif bagi bergerak ke arah masa hadapan yang bijak air ketika mana air diuruskan dengan adil dan mampan.
Sewaktu minggu itu, Anugerah Air Stockholm akan dianugerahkan kepada Dr. Peter Morgan untuk inovasi sanitasi beliau, kepada syarikat Netafim yang akan menerima Anugerah Air Perindustrian Stockholm kerana merintis teknologi pengairan titis dan mikro, dan pemenang Anugerah Air Cilik Stockholm bakal diumumkan kelak.
Nota kepada Editor:
Untuk kit media, permohonan temu bual, foto, video dsb: http://www.worldwaterweek.org/media