STOCKHOLM, 9 September 2013 /PRNewswire/ -- Dr Peter Morgan daripada Zimbabwe hari ini menerima Anugerah Air Stockholm untuk usaha sepanjang hayat beliau bagi melindungi kesihatan dan kehidupan jutaan orang melalui pembaikan teknologi air dan sanitasi. Duli Yang Maha Mulia Raja Carl XVI Gustaf dari Sweden menganugerahkan hadiah itu kepada Dr Morgan di Majlis Anugerah Diraja sewaktu Minggu Air Sedunia yang diadakan di Stockholm, Sweden.
Kira-kira 1.8 bilion orang hidup tanpa akses kepada air minuman selamat dan 2.5 bilion orang tidak mempunyai akses kepada sanitasi yang mencukupi. Kesannya sangat dahsyat. Penyakit yang disebabkan oleh air yang tidak selamat dan sanitasi yang tidak mencukupi membunuh lebih 5,000 orang setiap hari. Walaupun dengan angka yang menggerunkan ini, bidang sanitasi jarang mendapat perhatian yang ia sangat perlukan.
Laureat tahun ini, Dr Morgan, telah menghabiskan masa empat puluh tahun lepas mencipta dan memajukan penyelesaian praktikal berkos rendah untuk menyediakan akses kepada sanitasi selamat dan air bersih yang sedang digunakan oleh jutaan orang seluruh dunia.
"Banyak penyelesaian yang wujud untuk menyediakan air bersih dan sanitasi tidak mampu dimiliki, tidak praktikal dan tidak dapat dinikmati oleh golongan termiskin dunia," kata Jawatankuasa Anugerah Air Stockholm dalam petikannya. "Hasil usaha perintis Dr Morgan, banyak komuniti kini menikmati air yang lebih selamat, persekitaran yang lebih bersih serta kehidupan berkualiti."
Bercakap tentang anugerah yang beliau terima, Dr Morgan berkata: "Saya memang rasa bangga dan berbesar hati kerana menerima anugerah unik ini. Kami yang bekerja dalam bidang yang penting ini mendapat kelebihan unik kerana kami berada dalam kedudukan yang sesuai dan memainkan peranan yang penting dalam memulihara dan memberikan sumber paling berharga di muka bumi ini – air tawar. Kami ada peluang untuk meninggalkan legasi usaha berguna yang akan memberi manfaat kepada Kemanusiaan dan harap-harap untuk Bumi juga. Kita semua mesti belajar untuk menjadi rakan kongsi sejati dengan dunia tempat tinggal kita ini."
Beberapa inovasi Dr Morgan yang paling terkemuka, termasuk Pam Sesendal jenis "B" dan Lubang Tandas Pengudaraan Lebih Baik (VIP) Blair, telah digunakan sebagai standard negara oleh kerajaan Zimbabwe.
Anugerah Air Stockholm ialah anugerah global yang diasaskan pada tahun 1991 dan dipersembahkan setiap tahun oleh Institut Air Antarabangsa Stockholm (SIWI). Duli Yang Maha Mulia Raja Carl XVI Gustaf dari Sweden merupakan Penaung Anugerah Air Stockholm.
Note kepada Editor: Untuk siaran akhbar penuh, permintaan temu bual, foto, video dsb.: http://www.worldwaterweek.org/media
Sumber: Institut Air Antarabangsa Stockholm