omniture

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MED-EL Dr. Ingeborg Hochmair akan Menerima Anugerah Lasker Berprestij bagi Kemajuan Implan Koklea Moden

MED-EL
2013-09-11 00:49 238

INNSBRUCK, Austria, 11 September 2013 /PRNewswire/ --

Peneraju implan bantu dengar seluruh dunia MED-EL Medical Electronics hari ini mengumumkan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Ingeborg Hochmair, PhD, telah dipilih untuk menerima Anugerah Penyelidikan Perubatan Klinikal Lasker-DeBakey yang berprestij tahun ini bagi kemajuan implan koklea moden, sejenis peranti yang memulihkan pendengaran kepada individu dengan kepekakan tahap teruk hingga parah melalui rangsangan elektrik saraf auditori. Beliau akan berkongsi anugerah itu dengan Graeme M. Clark (Emeritus, Universiti Melbourne, Australia) dan Blake S. Wilson (Universiti Duke, NC, AS). Anugerah saintifik yang sangat dihormati ini mengiktiraf saintis yang telah membuat sumbangan dalam memperbaiki rawatan klinikal pesakit. Majlis anugerah itu akan berlangsung di Bandar Raya New York pada hari Jumaat, 20 September 2013.

Ingeborg Hochmair, yang mempunyai ijazah kedoktoran dalam kejuruteraan elektrik, diiktiraf untuk sumbangan awal beliau dalam bidang implan koklea bermula dengan pembangunan implan koklea mikroelektronik saluran berbilang pertama di dunia yang telah diimplan di Vienna pada tahun 1977. Implan ini terdiri daripada satu elektrod panjang dan boleh lentur, yang boleh, buat kali pertamanya, menyampaikan isyarat elektrik kepada saraf auditori sepanjang sebahagian besar koklea, bahagian telinga dalam yang berbentuk seperti cangkerang siput. Dengan versi peranti ini yang diubah suai, tanda aras seterusnya dalam kemajuan implan koklea telah dicapai pada tahun 1979, pemahaman perkataan dan ayat tanpa perlu membaca bibir dalam persekitaran yang senyap melalui satu pemproses bunyi kecil yang dipakai di badan. Penerima muda itu, yang merupakan seorang perintis juga kerana beliau mengabdikan begitu banyak masa demi penyelidikan implan koklea, telah berjaya memahami percakapan terbuka melalui satu pemproses kecil selama 34 tahun lepas. Inovasi yang berterusan dan bersungguh-sungguh disambung selepas itu, termasuk pembangunan pemproses audio implan koklea belakang telinga (BTE) pertama di dunia pada tahun 1991.

Pencapaian besar seterusnya ialah kemajuan implan koklea dengan kadar rangsangan tinggi yang direka bagi melaksanakan dengan betul satu strategi pengekodan percakapan baharu yang dibangunkan oleh Blake Wilson. Mulai tahun 1994, peranti ini membawa para penggunanya ke tahap prestasi seterusnya. Ia menjadi peranti pertama untuk majoriti orang dewasa yang menjadi pekak selepas mendapat keupayaan untuk bercakap mencapai lebih 50% kadar pemahaman perkataan satu suku kata dalam masa enam bulan selepas implantasi seperti yang ditunjukkan dalam satu percubaan klinikal berbilang pusat. Ini bermaksud sebahagian besar daripada penerima implan itu kini boleh berbual melalui telefon tentang topik yang tidak diketahui dengan penutur yang tidak dikenali.

Rasa hormat terhadap koklea dan strukturnya yang halus mendorong aktiviti penyelidikan dan pembangunan Dr. Hochmair bagi deretan elektrod yang sangat mudah lentur lalu memelihara struktur halus koklea walaupun perlu dimasukkan dengan dalam ke dalam koklea.

Dalam tahun kebelakangan ini, Dr. Hochmair dan Wilson telah berkolaborasi tentang topik semasa seperti faedah implantasi bilateral, gabungan rangsangan elektrik dan akustik, dan tentang implan koklea bagi kepekakan sebelah telinga.

Implan koklea itu merupakan, dan masih kekal sebagai, penggantian deria manusia yang pertama, deria pendengaran. Kebijaksanaan, semangat rintis dan dorongan seumur hidup Dr. Hochmair ke arah kecemerlangan telah mengubah kehidupan hampir 100,000 individu seluruh dunia.

"Banyak pencapaian ini didapati dengan perkongsian komitmen daripada suami saya dan kolaborator terdekat saya, jurutera elektrik Erwin Hochmair, dan dengan rakan kongsi yang hebat lain, seperti penyelidik asas, pakar bedah, pakar klinikal, rakan sekerja di MED-EL dan sehinggalah ke pengguna hujung peranti ini," kata Dr. Hochmair.

Bersama dengan Profesor Erwin Hochmair, Ingeborg Hochmair menubuhkan MED-EL dengan wawasan yang akhirnya akan menghidupkan aplikasi canggih di lebih 100 negara. Syarikat itu merupakan pegangan swasta, dan Ingeborg Hochmair kekal mengemudi haluan. Menjadi Ketua Pegawai Eksekutif MED-EL bukan sekadar pekerjaan untuk Dr. Hochmair; tetapi sudah menjadi sebahagian daripada hidup beliau. Membantu orang ramai mengatasi kehilangan pendengaran sebagai penghalang komunikasi ialah prinsip asas untuk MED-EL dan kekal sebagai misi dan semangat beliau. Memperbaiki kualiti kehidupan pesakit terus menjadi nilai teras peribadi dan profesional yang diamalkan setiap hari melalui kepimpinan beliau di MED-EL.

Dr. Hochmair dan seluruh keluarga MED-EL turut mengucapkan tahniah kepada rakan penerima Anugerah Penyelidikan beliau, Graeme M. Clark dan Blake S. Wilson.

"Saya rasa sangat berterima kasih kerana usaha sepanjang hidup kami diiktiraf dengan cara yang begitu berprestij," kata Dr. Hochmair.

"Namun, saya lebih gembira kerana anugerah ini akan meningkatkan kesedaran untuk seluruh bidang implan koklea dan kepentingannya sebagai rawatan untuk kanak-kanak kecil yang dilahirkan dengan kehilangan deria pendengaran tahap teruk hingga parah, sehinggalah dan termasuklah orang yang lebih dewasa yang kehilangan pendengaran mereka apabila usia mereka meningkat. Dalam begitu banyak cara, sebenarnya kerja kami baru sahaja bermula. Kemajuan teknologi telah memecutkan penyelidikan kami pada kadar yang sukar dipercayai. Kami berada di ambang begitu banyak penemuan hebat yang dahulunya dianggap sekadar mimpi sahaja. Selepas sekian lama, pemulihan deria pendengaran terus menjadi bidang yang penuh keajaiban, dan saya masih rasa keperluan mendesak untuk membantu memperbaiki kualiti kehidupan orang pekak. Saya berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada kemajuan inovasi yang mengubah hidup ini, dan tidak sabar-sabar lagi untuk meneruskan tradisi kuat kami bagi memajukan asas teknologi dan saintifik kami dalam bidang implan pendengaran untuk tahun-tahun akan datang," sambung beliau lagi.

Untuk maklumat lanjut tentang Anugerah Lasker, lawati http://www.laskerfoundation.org.

Tentang MED-EL

MED-EL Medical Electronics ialah peneraju penyedia sistem implan pendengaran seluruh dunia. Syarikat itu ditubuhkan oleh saintis Austria dan perintis industri Ingeborg dan Erwin Hochmair, yang bersama membangunkan implan koklea multi saluran mikroelektrik pertama di dunia pada tahun 1977. Pada tahun 1990, mereka meletakkan batu asas untuk pertumbuhan berjaya syarikat itu dengan menggajikan kakitangan pertama mereka. Setakat ini, syarikat berpegangan swasta itu kini mempunyai lebih 1,500 kakitangan seluruh dunia.

Implan koklea telah dan akan kekal menjadi penggantian pertama untuk deria manusia, deria pendengaran. Hari ini, MED-EL menawarkan rangkaian paling luas untuk penyelesaian yang boleh diimplan bagi merawat pelbagai tahap kehilangan pendengaran seluruh dunia, termasuk sistem implan koklea, telinga tengah dan konduksi tulang serta sistem gabungan rangsangan elektrik dan akustik.

Misi MED-EL ialah mengatasi kehilangan pendengaran sebagai halangan untuk berkomunikasi dan kualiti kehidupan. Individu di kira-kira 100 negara menikmati anugerah pendengaran dengan Sistem Implan Pendengaran MED-EL. http://www.medel.com

Gambar boleh didapati melalui agensi foto akhbar epa european ( http://www.epa.eu/ ) dan boleh dimuat turun secara percuma di: http://www.presseportal.de/pm/62623/med-el?keygroup=bild

HUBUNGI:

Thomas Herrmann
MED-EL Medical Electronics
Fürstenweg 77a
A - 6020 Innsbruck
T: +43(0)512-28-88-89-182
press@medel.com

Sumber: MED-EL

Source: MED-EL
Keywords: Health Care/Hospital Awards