BERLIN, 24 September 2013 /PRNewswire/ -- Hubert Lienhard, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengeluar mesin Jerman Voith, bakal mengambil alih jawatan pengerusi untuk Jawatankuasa Perniagaan Jerman Asia Pasifik (APA) pada awal tahun 2014. Selepas Ketua Pegawai Eksekutif Siemens dan BASF, Lienhard akan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif pertama daripada perniagaan milik keluarga Jerman yang akan memimpin APA. APA ditubuhkan pada tahun 1993, antara bekas pengerusi terdahulu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Heinrich v. Pierer dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif BASF Juergen Hambrecht. Pengerusi APA semasa ialah Peter Loescher, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Siemens.
"Kami menyasarkan untuk mengukuhkan perdagangan dan pelaburan antara Asia dengan Eropah untuk kedua-dua hala. Dan kita perlu mengurangkan halangan terhadap perdagangan dan pelaburan," kata Lienhard. Rantaian nilai menghubungkan Asia dan Eropah dengan lebih giat berbanding sepuluh tahun lalu. Proses ini perlu dipercepatkan dalam menyepadukan lagi pasaran Asia ke dalam ekonomi dunia. Kini, penyelidikan dan pembangunan dalam perniagaan bersifat antarabangsa dan perlu berada hampir dengan pasaran dan dengan pelanggan.
"Industri Jerman berada dalam kedudukan yang sesuai di Asia," kata Peter Loescher, pengerusi semasa APA. "Prinsip panduan APA – perkongsian, inovasi dan kemampanan – sangat sesuai untuk cabaran global yang perlu sama-sama ditangani para pemimpin Eropah dan Asia Pasifik. Saya berbesar hati apabila ditawarkan untuk menjadi pengerusi APA pada bulan Julai 2010 dan saya akan terus melibatkan diri sepenuhnya dalam tugas ini," Loescher meyakinkan lagi. Beliau melihat APA sebagai alat unik bagi menjamin kedudukan perniagaan Jerman bersama menuju Asia.
Bahagian Asia Pasifik daripada jumlah eksport Jerman hari ini adalah sebanyak 14 peratus, bahagian Asia untuk pelaburan terus asing Jerman pula bernilai hingga 10 peratus. Syarikat Jerman mengalami pertumbuhan dinamik paling menakjubkan di China. Pada tahun lepas, lebih enam peratus eksport Jerman dihantar ke sana.
Hubert Lienhard, lahir pada tahun 1951 di Selatan Jerman menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Voith pada tahun 2008. Antara jawatan terdahulu beliau termasuk memegang tanggungjawab global bagi perniagaan loji tenaga stim ABB. Lienhard mempunyai penglibatan rapat dengan APA sejak tahun 2003.
Tentang APA
Jawatankuasa Perniagaan Jerman Asia Pasifik ialah suara mewakili perniagaan Jerman yang aktif di Asia Pasifik. APA melibatkan diri dalam dialog tentang dasar ekonomi dengan kerajaan Jerman dan kerajaan rantau Asia. APA menyuarakan kerisauan dan kepentingan minat syarikat Jerman terhadap Asia Pasifik. APA berusaha untuk mencapai kerjasama yang lebih giat bersama Asia Pasifik dan membantu mempromosikan perdagangan dan pelaburan dalam kedua-dua hala. APA ialah inisiatif persatuan perindustrian BDI, rangkaian dewan Jerman DIHK, Persatuan Perniagaan Jerman Asia Pasifik, persatuan perdagangan asing Jerman BGA dan persatuan perbankan Jerman BdB.