omniture

Aparteid Perjalanan: Pasport Paling Berkuasa dan Paling Kurang Berkuasa di Dunia bagi tahun 2022

Henley & Partners
2022-01-11 16:00 16

LONDON, 11 Januari 2022 /PRNewswire/ -- Keputusan terkini daripada Henley Passport Index menunjukkan tahap kebebasan perjalanan negara berkedudukan tertinggi iaitu Jepun dan Singapura yang memecahkan rekod serta jurang mobiliti global yang paling besar pernah direkodkan sejak penubuhan indeks tersebut 17 tahun yang lalu. Tanpa mengambil kira sekatan sementara berkaitan Covid, pemegang pasport bagi kedua-dua buah negara Asia tersebut kini boleh memasuki 192 destinasi di seluruh dunia tanpa visa – 166 lebih banyak destinasi berbanding Afghanistan yang berada pada bahagian bawah indeks.

Jurang yang semakin meningkat dalam mobiliti antarabangsa antara negara-negara kaya dan negara-negara miskin ini telah menjadi perhatian utama pada akhir tahun lalu disebabkan sekatan berkaitan Omicron yang menyusahkan terutamanya terhadap negara-negara Afrika yang disifatkan oleh Antonio Guterres, Setiausaha Agung PBB sebagai sama seperti "aparteid perjalanan." Keadaan ini tetap berlaku walaupun tahap kebebasan perjalanan keseluruhan telah meningkat dengan ketara sepanjang dua dekad yang lalu. Menurut data sejarah daripada Henley Passport Index yang menilai semua pasport di dunia mengikut bilangan destinasi yang boleh diakses tanpa visa terlebih dahulu oleh para pemiliknya dan berdasarkan data eksklusif daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), seorang individu secara purata boleh melawat 57 buah negara tanpa visa pada tahun 2006. Pada hari ini, bilangan tersebut telah meningkat kepada 107 buah negara tetapi peningkatan keseluruhan ini menutupi ketidaksamaan yang semakin meningkat antara negara-negara di utara dan di selatan dunia yang menyaksikan warganegara dari negara-negara seperti Sweden dan AS boleh melawat lebih 180 buah destinasi tanpa visa, manakala para pemegang pasport dari Angola, Cameroon dan Laos hanya boleh memasuki kira-kira 50 buah destinasi.

Covid-19 memburukkan lagi ketidaksamaan dalam mobiliti global 

Jerman dan Korea Selatan berkongsi tempat ke-2 dalam senarai terkini ini dengan para pemegang pasportnya dapat mengakses 190 buah destinasi tanpa visa, manakala Finland, Itali, Luxembourg dan Sepanyol berkongsi tempat ke-3 dengan skor sebanyak 189 buah destinasi. Pasport AS dan UK telah memperoleh semula beberapa kekuasaannya sebelum ini setelah jatuh ke kedudukan ke-8 pada tahun 2020 – kedudukan terendah yang dipegang oleh kedua-dua buah negara tersebut dalam sejarah 17 tahun indeks ini. Kedua-dua negara tersebut kini berada di tempat ke-6 dengan skor sebanyak 186 buah destinasi tanpa visa/visa semasa ketibaan.

Dr. Christian H. Kaelin, Pengerusi Henley & Partners dan merupakan pencipta kepada konsep indeks pasport ini menyatakan bahawa membuka saluran penghijrahan adalah penting untuk pemulihan pasca pandemik. "Pasport dan visa merupakan antara instrumen yang paling penting yang memberi kesan kepada ketidaksamaan sosial di seluruh dunia kerana ia menentukan peluang untuk mobiliti global. Sempadan tempat kita dilahirkan dan dokumen yang berhak kita pegang bukanlah sesuatu yang kita sewenang-wenangnya boleh pilih, sama seperti warna kulit kita. Negara-negara kaya perlu menggalakkan penghijrahan ke negaranya dengan positif untuk membantu mengagih dan mengimbangi semula sumber manusia dan bahan di seluruh dunia."

Mengulas dalam Laporan Mobiliti Global Henley S1 2022 yang diterbitkan pada hari ini bersama-sama dengan kedudukan Henley Passport Index yang terkini, Prof. Mehari Taddele Maru daripada Pusat Dasar Penghijrahan menegaskan bahawa "syarat mahal yang dikenakan berkaitan dengan perjalanan antarabangsa mengakibatkan ketidaksamaan dan diskriminasi. Covid-19 dan kesannya terhadap ketidakstabilan dan ketidaksamaan telah meningkatkan serta memburukkan lagi jurang ketidaksamaan yang mengejutkan dalam mobiliti antarabangsa antara negara maju yang kaya dengan negara miskin."

Ketidakpastian selanjutnya diramalkan untuk tahun 2022 

Mengulas dalam laporan tentang kesan pandemik terhadap trend geopolitik yang lebih meluas dalam penghijrahan dan mobiliti, Misha Glenny, seorang wartawan yang memenangi anugerah dan merupakan profesor bersekutu di Institut Harriman, Universiti Columbia berkata bahawa " kewujudan Omicron menunjukkan kegagalan geopolitik utama. Sekiranya AS, Britain dan EU memindahkan lebih banyak wang dan vaksin ke Afrika Selatan, peluang untuk kemunculan strain baharu yang kuat itu mungkin lebih rendah. Mutasi baharu akan menyebabkan kita semua kembali kepada titik permulaan pandemik, sehinggalah kita berkongsi pengedaran vaksin yang lebih saksama."

Dr. Andreas Brauchlin, seorang pakar perubatan dalaman dan pakar kardiologi yang terkenal di peringkat antarabangsa serta Ahli Lembaga Penasihat SIP Medical Family Office di Switzerland, bersetuju dengan menyatakan dalam laporan itu bahawa "status kesihatan dan vaksinasi individu adalah sama pengaruhnya dengan akses tanpa visa oleh pasport mereka terhadap mobiliti. Menjadi pemastautin dalam negara yang 'salah' boleh memberi kesan yang besar terhadap akses anda kepada perkhidmatan perniagaan, kesihatan dan perubatan serta menjadikannya mustahil untuk sesetengah individu melakukan perjalanan."

Baca Siaran Akhbar Lengkap dan Laporan Mobiliti Global Henley S1 2021.

 

Source: Henley & Partners
Keywords: Passenger Aviation Publishing/Information Service Travel Survey, Polls & Research