omniture

Pemulihan Projek menjadikan lebihan darah daripada program derma darah Kanada perubatan hemofilia bagi negara membangun

World Federation of Hemophilia
2013-09-27 00:54 147

MONTREAL, 27 September 2013 /PRNewswire/ -- buat pertama kalinya, lebihan protein daripada pengeluaran produk plasma yang diperoleh daripada penderma darah di Kanada dijadikan rawatan bagi menyelamatkan nyawa dan anggota badan bagi ribuan individu yang menghidap penyakit hemofilia di negara membangun.

Hemofilia merupakan penyakit gangguan pendarahan yang diwarisi yang menjejaskan kira-kira 1 dalam 10,000 orang di seluruh dunia. Hampir tujuh puluh lima peratus daripada mereka menerima hanya sedikit rawatan sahaja atau tiada rawatan langsung. Hemofilia ialah salah satu daripada beberapa gangguan yang menghalang darah daripada membeku dengan sempurna. Pesakit hemofilia sering mengalami pendarahan dalaman berpanjangan yang hanya disebabkan oleh kecederaan kecil. Pendarahan ke dalam sendi dan otot menyebabkan kesakitan teruk dan hilang upaya sementara pendarahan ke dalam organ utama seperti otak, boleh menyebabkan kematian. Hemofilia A (kekurangan faktor VIII) dirawat dengan faktor VIII, sejenis protein yang diperlukan untuk pembekuan darah.

Persekutuan Hemofilia Sedunia (WFH) dengan kerjasama Perkhidmatan Darah Kanada (CBS) dan dua pengeluar produk plasma, BIOTEST AG dan GRIFOLS, akan mengumumkan secara rasminya pelancaran Pemulihan Projek semasa berlangsungnya Forum Global WFH yang berkaitan keselamatan dan bekalan produk rawatan bagi gangguan pendarahan di Montreal, Kanada, pada 26 September. Projek bantuan kemanusiaan ini diilhamkan oleh Persatuan Hemofilia Kanada (CHS), kini menjadi kenyataan selepas usaha selama dua belas tahun dilakukan.

Pemulihan Projek akan mengubah kriopresipitat yang sebelumnya dibuang daripada penderma darah Kanada menjadi faktor VIII pekat BIOTEST yang dikenali sebagai Haemoctin®, untuk merawat individu yang menghidapi hemofilia. Ia akan disalurkan melalui Program Bantuan Kemanusiaan WFH yang menumpukan terhadap menyediakan bagi pesakit di negara membangun yang mempunyai sedikit atau tiada akses kepada ubatan yang mampu menyelamatkan nyawa dan anggota badan yang jika tidak dirawat akan menghadapi risiko kematian atau hilang upaya yang teruk.

"Pemulihan Projek mempunyai potensi untuk memperbaiki kehidupan ribuan individu yang menghidap penyakit hemofilia di seluruh dunia," kata Alain Weill, presiden WFH. "Ia juga membolehkan WFH merancang dengan teliti tempat dan waktu ubatan penting ini dapat diedarkan dan sekali gus memaksimumkan manfaat daripada usaha kemanusiaan yang baik ini."

Pada setiap tahun projek ini, dianggarkan sekurang-kurangnya lima juta Unit Antarabangsa faktor VIII akan didermakan. Ini akan membolehkan rawatan tahunan untuk kira-kira 5,000 kes pendarahan dalaman sendi, yang merupakan gejala paling biasa hemofilia di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Tanpa rawatan tersebut, para pesakit ini mengalami pendarahan dalaman yang akan berlanjutan sehingga berminggu dalam kesakitan dan dari masa ke masa, kerosakan sendi yang serius akan berlaku dan boleh menyebabkan kelumpuhan. Di samping itu, rawatan awal atau pencegahan bagi pendarahan dalaman ini akan membantu para penjaga seperti ibu bapa, suami isteri, adik-beradik agar tidak perlu meninggalkan tugasan kerja atau sekolah bagi menjaga pesakit ini sama ada di rumah atau di hospital.

Ini merupakan kali pertama seumpamanya di dunia kerjasama yang terjalin mampu mengubah lebihan kriopresipitat menjadi faktor VIII untuk kegunaan kemanusiaan. Kontrak bagi kerjasama antarabangsa ini telah ditandatangani pada bulan Julai 2013 dan langkah penghasilan pertama telah pun bermula. WFH akan menerima penghantaran pertama faktor VIII ini pada tahun 2014.

"CHS terlibat dengan permulaan Pemulihan Projek lebih satu dekad yang lalu," kata Craig Upshaw, presiden Persatuan Hemofilia Kanada. "Kami benar-benar menghargai usaha rakan kongsi kami yang terpaksa melalui pelbagai halangan daripada segi undang-undang, teknikal, komersil dan halangan kawal selia untuk mencapai kejayaan, dan berharap agar negara lain akan turut mengikuti contoh yang berlaku di Kanada."

Faktor VIII merupakan protein yang penting bagi pembekuan darah yang terkandung dalam kriopresipitat, salah satu komponen plasma dalam darah. Tidak semua kriopresipitat yang terkandung dalam plasma daripada penderma darah Perkhidmatan Darah Kanada diperlukan untuk menghasilkan faktor VIII bagi pesakit di Kanada dan sehingga kini lebihannya telah dibuang. Melalui Pemulihan Projek, kriopresipitat akan digunakan oleh GRIFOLS di kilangnya di A.S., dibawa oleh BIOTEST ke Jerman untuk proses pembuatannya. Produk farmaseutikal yang lengkap ini akan dihasilkan dan dikeluarkan di bawah lesen BIOTEST dan dengan tanda niaga Haemoctin, produk dengan ketulenan tinggi dan dua virus tidak aktif faktor VIII untuk rawatan hemofilia A. Sebahagian daripadanya akan dipasarkan oleh BIOTEST dan selebihnya akan diperuntukkan kepada CBS untuk sumbangan kepada WFH. BIOTEST juga menyokong WFH dalam mengedarkan Haemoctin yang didermakan kepada negara penerima. Kerjasama ini adalah neutral daripada segi kos untuk semua pihak.

"Kami ialah rakan kongsi yang berbangga dengan usaha Pemulihan Projek," kata Ian Mumford, ketua pegawai operasi Perkhidmatan Darah Kanada. "Di samping itu, bagi memaksimumkan sumbangan daripada penderma ini, hubungan yang kukuh dengan pihak berkepentingan telah membawa kami ke sini untuk membantu ribuan pesakit yang layak."

Derma daripada Haemoctin ini menjadi penting bagi WFH. Projek ini akan membolehkan WFH untuk mengembangkan Program Bantuan Kemanusiaan sebagai sebahagian daripada aktivitinya yang menyeluruh bagi memberikan rawatan kepada para pesakit yang mempunyai masalah pendarahan.

Tentang hemofilia dan gangguan pendarahan lain
Hemofilia, penyakit von Willebrand, gangguan platlet yang diwarisi, dan kekurangan faktor lain ialah gangguan pendarahan sepanjang hayat yang menghalang darah daripada membeku. Individu yang mengalami gangguan pendarahan tidak mempunyai cukup faktor pembekuan tertentu, sejenis protein dalam darah yang mengawal pendarahan, jika tidak ia tidak berfungsi dengan betul. Kemelut gangguan pendarahan yang dihadapi ini biasanya bergantung kepada jumlah faktor pembekuan yang hilang atau tidak berfungsi. Individu yang menghidap hemofilia boleh mengalami pendarahan yang tidak terkawal walaupun daripada kecederaan kecil. Pendarahan ke dalam sendi dan otot menyebabkan kesakitan teruk dan hilang upaya, sementara pendarahan ke dalam organ utama seperti otak, boleh menyebabkan kematian.

Tentang BIOTEST AG
BIOTEST merupakan pakar dalam bidang imunologi dan hematologi inovatif dengan pendekatan bersepadu kumpulan farmaseutikal dan bioterapeutik yang beroperasi di seluruh dunia dan membangunkan, menghasilkan dan menjual produk perubatan bagi rawatan darah dan gangguan imun. Bahan utama bagi farmaseutikal BIOTEST ialah plasma manusia yang diproses menjadi produk perubatan yang digunakan dalam rawatan keadaan yang mengancam nyawa seperti gangguan pembekuan (hemofilia), jangkitan yang teruk atau gangguan sistem imun. Layari BIOTEST dalam talian di biotest.com.

Tentang Perkhidmatan Darah Kanada
Perkhidmatan Darah Kanada merupakan organisasi amal kebangsaan bukan untuk keuntungan yang menguruskan bekalan darah dan produk darah di semua daerah dan wilayah di luar Quebec. Perkhidmatan Darah Kanada juga menyelia Rangkaian Sel Stem dan Sumsum OneMatch dan turut menyediakan kepimpinan kebangsaan bagi pendermaan dan pemindahan organ dan tisu. Perkhidmatan Darah Kanada beroperasi di 42 laman koleksi tetap dan lebih 20,000 klinik penderma setiap tahun. Kementerian Kesihatan daerah dan wilayah turut menyediakan pembiayaan operasi untuk Perkhidmatan Darah Kanada. Kerajaan persekutuan, melalui Kesihatan Kanada bertanggungjawab untuk mengawal selia sistem darah itu.

Tentang Persatuan Hemofilia Kanada
Ditubuhkan pada tahun 1953, Persatuan Hemofilia Kanada (CHS) ialah badan amal kesihatan sukarela kebangsaan. Misinya adalah untuk meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup setiap orang yang menghidap gangguan pendarahan yang diwarisi dan akhirnya untuk mencari penawar bagi merawatnya. Visinya ialah dunia yang bebas daripada kesakitan dan penderitaan gangguan pendarahan yang diwarisi. CHS ialah ahli pengasas Persekutuan Hemofilia Dunia. Layari CHS dalam talian di www.hemophilia.ca.

Tentang GRIFOLS
GRIFOLS memperbaiki kehidupan orang ramai dengan perkhidmatan dan penghasilan produk inovatif berkualiti tinggi hospital. Terapi plasma yang diperolehi mempunyai rekod cemerlang keberkesanan dan keselamatan dan GRIFOLS juga merupakan pengeluar yang meneraju di dunia bagi peranti perubatan, penganalisis dan reagen yang digunakan oleh bank darah, pusat pemindahan, dan makmal klinikal. GRIFOLS ialah salah satu daripada dua fraksinator plasma yang disuai khusus untuk Perkhidmatan Darah Kanada.

Tentang Persekutuan Hemofilia Dunia
Selama 50 tahun, Persekutuan Hemofilia Dunia (WFH), satu pertubuhan antarabangsa bukan untuk keuntungan, telah berusaha untuk memperbaiki kehidupan individu yang menghidap hemofilia dan lain-lain gangguan pendarahan yang diwarisi. Ditubuhkan pada tahun 1963, ia merupakan satu rangkaian global organisasi pesakit di 122 negara dan mempunyai pengiktirafan rasmi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Layari WFH dalam talian di www.wfh.org.

Bagi maklumat lanjut:

Persekutuan Hemofilia Dunia
Sarah Ford
+1 514 266-7764
sford@wfh.org
www.wfh.org

Persatuan Hemofilia Kanada
Chantal Raymond
+1 514 848-0503 #226
craymond@hemophilia.ca
www.hemophilia.ca

Source: World Federation of Hemophilia
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Joint ventures Not for profit