omniture

Enfinity Global memperkukuh platform di Jepun melalui pemerolehan portfolio solar 250 MW

Enfinity Global
2022-02-17 21:38 47

TOKYO, 17 Februari 2022 /PRNewswire/ --

  • Portfolio ini merangkumi 70 MW bagi aset operasi di tiga buah loji PV dan 180 MW bagi lima buah loji PV yang sedang dalam pembinaan, semuanya beroperasi di bawah program Feed in Tariff 
  • Jumlah nilai perusahaan portfolio ketika pemerolehan ialah sebanyak $1 bilion 
  • Enfinity Global merancang untuk meneruskan pertumbuhannya di pasaran tenaga boleh baharu di Jepun pada tahun 2022 

Enfinity Global Inc., sebuah syarikat perkhidmatan tenaga boleh baharu dan perkhidmatan mampan terkemuka, hari ini mengumumkan pemerolehan portfolio fotovolta solar 250 MW di Jepun dengan nilai perusahaan berjumlah $1 bilion. Pemerolehan ini memperkukuh platform Enfinity Global di Jepun dan membolehkan syarikat tersebut menjalani fasa pertumbuhan seterusnya di negara ini.

 

One of the solar power plants acquired by Enfinity Global in Japan
One of the solar power plants acquired by Enfinity Global in Japan

 

Pemerolehan ini merangkumi tiga buah loji tenaga solar berskala besar dan lima buah projek yang sedang dibina di seluruh Jepun. Kapasiti loji yang sedang beroperasi adalah berjumlah 70 MW. 180 MW lagi sedang dalam pembinaan, manakala 80 MW dirancang untuk beroperasi pada tahun 2022 dan 100 MW pada tahun 2023. Dengan penambahan ini, platform Enfinity Global di Jepun meningkat kepada 281 MW, merangkumi sembilan buah projek yang dimiliki dan diuruskannya, yang beroperasi di bawah program Feed in Tariff.

"Pemerolehan portfolio ini mengukuhkan kedudukan Enfinity sebagai salah sebuah peneraju pasaran boleh baharu di Jepun. Kami percaya pasaran ini akan berkembang dengan signifikan bagi menyokong sasaran penyahkarbonan Jepun 2050 secara besar-besaran. Kepakaran pasukan kami membolehkan Enfinity memainkan peranan penting dalam senario baharu ini", kata Carlos Domenech, Ketua Pegawai Eksekutif Enfinity Global.

Peter Hennessy, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Enfinity Global menambah, "Sejak 7 tahun yang lalu, ahli pasukan kami telah membangunkan sembilan projek ini dengan jayanya melalui penggabungan kebolehan tempatan kami dengan pengetahuan global. Pemerolehan ini mencerminkan komitmen jangka panjang kami terhadap Jepun."

PAG, salah sebuah firma pelaburan terbesar di Asia, telah mengambil bahagian dalam pelaburan tersebut. Nomura berkhidmat sebagai pengatur utama tunggal dan penaja jamin utama untuk pembiayaan projek dalam portfolio tersebut.

"Nomura teruja untuk menyokong dan menyediakan kecairan kepada Enfinity Global ketika ia menyatukan platformnya di Jepun dan bersiap sedia untuk pertumbuhan masa depan di seluruh dunia," kata Vinod Mukani, Ketua Perniagaan Infrastruktur dan Kuasa (IPB) Nomura, "Nomura berbesar hati membangunkan penyelesaian untuk para pelanggannya, terutamanya mereka yang mempunyai pasukan berpengalaman dan berbakat seperti Enfinity Global serta strategi perniagaan yang menarik yang menyumbang ke arah peralihan kepada ekonomi karbon rendah."

Jepun kini berada pada kedudukan ke-6 di seluruh dunia dalam kapasiti kuasa boleh baharu terpasang kumulatif dan komited terhadap keneutralan karbon menjelang tahun 2050. Untuk memenuhi matlamat ini, kerajaan negara tersebut baru-baru ini meluluskan Pelan Tenaga Strategik Ke-6 yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 46% dan meningkatkan tenaga boleh baharu bekalan kuasa kepada 36%-38% menjelang tahun 2030. Kapasiti PV terpasang kumulatif di Jepun disasarkan akan mencapai 150 GW menjelang tahun 2030 daripada kapasiti tahun 2020 yang berjumlah 67GW. (Sumber: Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun dan IRENA)

Tentang Enfinity Global
Enfinity Global Inc. serta anak-anak syarikatnya, ialah sebuah syarikat perkhidmatan tenaga boleh baharu dan perkhidmatan mampan terkemuka. Sebagai sebuah platform penyelesaian tenaga boleh baharu global, syarikat ini memberi tumpuan kepada pembangunan, pembiayaan, pembinaan, pengendalian dan pemilikan aset tenaga boleh baharu. Dengan pejabatnya di seluruh Amerika Utara, Eropah dan Asia, syarikat tersebut membangunkan penyelesaian lestari yang membantu mencapai jejak sifar karbon dan membolehkan peralihan lancar ke arah ekonomi bebas karbon di seluruh dunia. Untuk maklumat lanjut tentang Enfinity Global, sila layari: www.enfinity.global

Tentang PAG
PAG ialah pengurus pelaburan swasta terkemuka yang berfokuskan negara-negara di Asia dengan strategi yang merangkumi ekuiti swasta, kredit & pasaran serta hartanah. PAG mempunyai lebih 200 orang profesional pelaburan di 11 buah pejabat utama dan kini menguruskan modal sebanyak USD45 bilion bagi pihak pelabur institusi dari Eropah, Amerika Utara, Asia, Australia dan Timur Tengah. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.pag.com

Tentang Nomura
Nomura ialah sebuah kumpulan perkhidmatan kewangan global dengan rangkaian bersepadu yang merangkumi lebih 30 buah negara dan wilayah. Dengan menghubungkan pasaran Timur & Barat, Nomura menyediakan keperluan individu, institusi, korporat dan kerajaan melalui tiga bahagian perniagaannya: Peruncitan, Borong (Pasaran Global dan Perbankan Pelaburan) dan Pengurusan Pelaburan. Ditubuhkan pada tahun 1925, firma ini dibina berdasarkan tradisi keusahawanan yang berdisiplin, yang memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dengan penyelesaian kreatif dan mengambil kira kepimpinan pemikir. Perniagaan Infrastruktur dan Kuasa ("IPB") Nomura menyediakan pelbagai penyelesaian pembiayaan kepada pemilik projek di seluruh dunia. Untuk maklumat lanjut tentang Nomura, sila layari www.nomura.com.

Notis Penting
Siaran akhbar ini mengandungi unjuran dan maklumat kewangan proforma berdasarkan andaian yang kami percaya sebagai munasabah, namun tidak menentu dan tidak dapat diramalkan. Hasil keputusan sebenar mungkin berbeza secara material daripada yang dibincangkan atau yang tersirat dalam pernyataan siaran akhbar ini. Siaran akhbar ini dan sebarang unjuran atau maklumat proforma yang terkandung di sini hanya mewakili anggaran semasa pihak pengurusan kami pada tarikh siaran ini dan tidak tertakluk kepada audit bebas. Kami tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini maklumat yang terkandung dalam siaran akhbar ini. Kami tidak membuat pernyataan atau jaminan tentang ketepatan atau kesempurnaan maklumat yang terkandung dalam siaran akhbar ini.

Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1748468/Enfinity_Global_plants.jpg?p=medium600

 

 

Source: Enfinity Global
Keywords: Alternative Energies Banking/Financial Service Environmental Products & Services Green Technology Utilities Acquisitions, mergers, takeovers Corporate Expansion