omniture

Parallel Wireless, Türk Telekom dan Juniper Networks Umum Inisiatif RAN Terbuka Canggih di Turki

Parallel Wireless
2022-02-22 20:00 29

Mendayakan komunikasi jalur lebar 4G dan 5G serta aplikasi baharu yang canggih  

NASHUA, New Hampshire, 22 Februari 2022 /PRNewswire/ -- Parallel Wireless, Inc., syarikat RAN Terbuka yang berpangkalan di A.S. yang memberikan penyelesaian RAN Terbuka natif awan untuk Semua G - 2G, 3G, 4G, dan 5G, telah mengumumkan kerjasama dengan Türk Telekom dan Juniper Networks dalam inisiatif RAN Terbuka pelbagai vendor untuk menyampaikan komunikasi jalur lebar yang canggih. Türk Telekom, pengendali telekomunikasi bersepadu yang pertama dan tercanggih di Turki akan menggunakan teknologi RAN Terbuka yang memanfaatkan Pengawal Pintar RAN (RIC). Penggunaan teknologi ini akan dilaksanakan di seluruh tapak percubaan setelah melengkapkan ujian di Pusat Inovasi Türk Telekom.

Türk Telekom ialah pengguna awal dan perintis teknologi RAN Terbuka yang menggunakan ekosistem vendor yang meluas untuk membangunkan rangkaian mudah alih yang lebih fleksibel, cekap dan selamat bagi memenuhi permintaan era 5G ini. Türk Telekom telah bekerjasama dengan Juniper Networks sebelum ini untuk menghasilkan RIC, sebuah bahagian penting dalam seni bina RAN terbuka bagi mengautomasikan rangkaian, membolehkan penggunaan sumber yang cekap dan menyediakan pengalaman pelanggan yang optimum.

Dalam skop inisiatif baharu ini, Türk Telekom akan mengguna perisian RAN Terbuka Parallel Wireless dan RIC canggih Juniper:

  • Parallel Wireless akan menyediakan penyelesaian RAN Terbuka serba lengkap yang menggunakan radio Jalur 1, 3, 7, 8, 20 dan perisian DU, CU untuk 2G, 3G dan 4G serta radio jalur 78 dan perisian DU, CU untuk 5G.
  • Fasa pertama ujian makmal ini yang menggunakan RIC bagi kawalan kemasukan ke atas 4G telah dilengkapkan, dengan lebih banyak lagi fasa yang seterusnya.
  • Juniper Networks akan bekerjasama dengan Türk Telekom dan Parallel Wireless untuk menyediakan platform RIC-nya yang luas. Juniper akan menggunakan kedua-dua RIC hampir masa nyata (hampir-RT) dan bukan masa nyata (bukan-RT) serta menunjukkan keupayaan pelbagai xApps/rApps. Ini akan membolehkan Türk Telekom menyampaikan perkhidmatan yang berbeza dengan lebih cepat kepada para pelanggan mereka.

Inisiatif RAN Terbuka ini akan diuji di Pusat Inovasi Türk Telekom dan juga persekitaran lapangan secara:  

  • Membangunkan sebuah penyelesaian rangkaian RAN Terbuka, natif awan bertaraf dunia berdasarkan seni bina berprestasi tinggi dan teragih.
  • Meningkatkan ketangkasan perkhidmatan dan mengurangkan keseluruhan Jumlah Kos Pemilikan (TCO) melalui pengenalan automasi RAN.
  • Menyediakan penyelesaian siap guna yang mengoptimumkan keperluan kapasiti trafik tinggi.
  • Rangkaian canggih ini akan membantu mendayakan perkhidmatan jalur lebar mudah alih seperti penstriman video 8k, Internet Benda(IoT), e-Kesihatan, e-Pendidikan dan pelbagai lagi.

Yusuf Kirac, Ketua Pegawai Teknologi Türk Telekom berkata, "Di Türk Telekom, kami berjaya mewakili negara kami di arena global dengan memainkan peranan yang aktif dalam melakar pelan hala tuju untuk 5G. Hasil daripada kerjasama kami dengan Juniper Networks untuk penyelesaian RIC pada tahun lalu, kami kini mengeksport penyelesaian teknologi baharu kami ke seluruh dunia. Kami juga telah menjalinkan kerjasama dengan pengeluar teknologi global. Dalam skop kerjasama ini, kami meneruskan pembangunan, ujian dan pengeluaran RAN Terbuka kami. Kerjasama kami dengan Parallel Wireless dan Juniper Networks dalam inisiatif ini adalah amat penting di sepanjang perjalanan RAN Terbuka kami dan kami yakin bahawa kerjasama ini akan menjadi langkah penting ke arah mendayakan komunikasi jalur lebar 4G dan 5G serta aplikasi baharu yang canggih." 

Constantine Polychronopoulos, Naib Presiden, 5G dan Awan Syarikat Telekomunikasi Juniper Networks berkata, "Usaha sama vendor teknologi dan penyedia perkhidmatan adalah penting untuk menunjukkan saling kendali dunia nyata dalam bidang yang menarik dan baharu ini. Keupayaan Juniper dalam menyediakan API berasaskan rangkaian dan SDK terbuka memudahkan kemudahalihan x/rApps yang lancar pada RIC-nya dalam persekitaran pelbagai vendor dan menekankan potensi kesemua pengendali."

Keith Johnson, Presiden Parallel Wireless berkata, "Parallel Wireless berbangga dapatbekerjasama dengan Türk Telekom iaitu pengendali telekomunikasi bersepadu yang pertama di Turki, dalam menyediakan platform perisian RAN Terbuka generasi seterusnya yang canggih serta mendayakan komunikasi jalur lebar Semua G - 2G, 3G, 4G dan 5G serta aplikasi digital canggih yang baharu." 

Tentang Parallel Wireless 

Platform perisian patuh O-RAN SEMUA G (2G, 3G, 4G, 5G) Parallel Wireless telah digunakan dengan Pengendali Rangkaian Mudah Alih global dari seluruh enam benua dan membentuk seni bina RAN yang terbuka, selamat dan pintar untuk menyampaikan kesalinghubungan tanpa wayar supaya semua orang boleh berhubung pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan dengan cara yang mereka pilih. Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.parallelwireless.com. Berhubung dengan Parallel Wireless di LinkedIn dan Twitter.

Tentang  Türk Telekom

Türk Telekom yang memiliki sejarah selama lebih 180 tahun, merupakan pengendali telekomunikasi bersepadu yang pertama di Turki. Dengan mempunyai rangkaian perkhidmatan dan produk yang meluas dalam bidang perkhidmatan individu dan korporat, Türk Telekom menyatukan perkhidmatan dan produk mudah alih, internet, telefon dan TVnya di bawah satu jenama iaitu "Türk Telekom". Türk Telekom sebagai "Penyedia Berbilang Sektor Turki" memiliki 16.9 juta talian akses tetap, 14.3 juta jalur lebar, 2.9 juta TV dan 24 juta pelanggan mudah alih setakat 31 Disember 2021. Türk Telekom Group Companies menyediakan perkhidmatan di kesemua 81 buah bandar di Turki dan mempunyai hampir 36 ribu orang pekerja dengan visi untuk memperkenalkan teknologi baharu kepada Turki dan mempercepat peralihan Turki menjadi sebuah masyarakat maklumat. www.turktelekom.com.tr

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1004727/PW_FullColor_CMYK_Logo.jpg?p=medium600

Source: Parallel Wireless
Keywords: Computer Software Computer/Electronics Telecommunications Wireless Communications Licensing/marketing agreements Trade show news