omniture

Kluster Pelayan Punca Diuruskan ICANN untuk Mengukuhkan Infrastruktur Internet Afrika

ICANN
2022-03-01 23:31 35

ICANN akan membolehkan kesalinghubungan yang lebih pantas dan kukuh di Kenya melalui pemasangan kluster ini

ISTANBUL, 1 Mac 2022 /PRNewswire/ -- Para pengguna Internet di Afrika tidak lama lagi akan mendapat manfaat daripada akses yang lebih pantas dan perlindungan yang lebih baik terhadap serangan siber, hasil daripada pemasangan dua kluster pelayan punca. Internet Corporation for Assigned Names and Numbers (ICANN), organisasi bukan berasaskan keuntungan global yang menyelaraskan sistem nama domain dan memainkan peranan penting dalam memastikan Internet yang selamat, saling kendali dan global, mengumumkan bahawa ia akan memasang dan menguruskan dua buah kluster Pelayan Punca Diuruskan ICANN (IMRS) yang baharu di Afrika dengan salah satu daripadanya disahkan akan dipasang di Kenya. Ini merupakan pelaburan pertama yang seumpamanya oleh ICANN di Afrika.

Pada hari ini, 33 peratus daripada penduduk di Afrika mempunyai akses kepada Internet. Menurut Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), bilangan individu yang menggunakan Internet di Afrika telah meningkat sebanyak 23 peratus antara tahun 2019 dan 2021. Pertumbuhan ini didorong oleh tenaga kerja di bandar yang berpendidikan, muda dan celik digital yang menjadikan penerimaan dan penggunaan perkhidmatan dalam talian sebagai suatu keperluan semula jadi.

Pemasangan kluster IMRS ini akan menambah kapasiti yang penting bagi menyokong pertumbuhan penggunaan Internet di seluruh Afrika. Ia seterusnya akan menyokong pertumbuhan ekonomi dan memberi peluang kepada sebahagian besar pengguna Internet baharu. Kluster tersebut memastikan bahawa pertanyaan Internet dari Afrika boleh dijawab di rantau ini serta tidak bergantung kepada rangkaian dan pelayan di bahagian lain di dunia, sekaligus mengurangkan kependaman dan meningkatkan pengalaman pengguna Internet di seluruh rantau ini.

"Memperluas infrastruktur kami di Afrika adalah sejajar dengan misi ICANN untuk memastikan Internet kekal selamat, stabil dan berdaya tahan di seluruh dunia," kata Göran Marby, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ICANN. "Penambahan kluster tersebut di Afrika merupakan suatu langkah utama dalam merangsang akses Internet dan mengukuhkan kestabilan Internet di seluruh benua ini. Sudah tentu, perkara ini hanya boleh dicapai dengan penyertaan komuniti tempatan. Kami berterima kasih kepada Kementerian ICT, Inovasi dan Hal Ehwal Belia di Kenya atas sokongan mereka bagi mewujudkan kluster IMRS di negara mereka dan atas komitmen mereka untuk memajukan Internet di benua ini."

Dengan mendayakan kesalinghubungan yang bermakna di Afrika, ICANN – ahli Sektor Pembangunan Telekomunikasi Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU-D) – turut menyumbang kepada matlamat inisiatif Partner2Connect Digital Coalition untuk membawa kesalinghubungan dan transformasi digital kepada komuniti yang "sukar dijangkau".

"Partner2Connect Digital Coalition merupakan suatu peluang yang membawa pembaharuan bagi sektor ICT untuk mengambil pendekatan yang menyeluruh, menggalakkan kerjasama baharu dan menggerakkan sumber yang diperlukan untuk menghubungkan mereka yang masih belum mempunyai sambungan internet," kata Doreen Bogdan-Martin, Pengarah Biro Pembangunan Telekomunikasi ITU. Saya mengalu-alukan komitmen ICANN ke arah mencapai matlamat Partner2Connect untuk membawa infrastruktur Internet yang penting ke Afrika serta memajukan kesalinghubungan sejagat dan transformasi digital."

Joseph Mucheru, E.G.H, Setiausaha Kabinet Kementerian ICT, Inovasi dan Hal Ehwal Belia Kenya, mengalu-alukan pelaburan tersebut. "Inisiatif ini merupakan suatu pembangunan positif yang dialu-alukan dan sejajar dengan Strategi Transformasi Digital Afrika (2020-2030) dan lebih khususnya, sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Kenya yang mengenal pasti infrastruktur sebagai salah satu daripada lima tonggak utama yang diperlukan untuk transformasi digital ekonomi. Oleh itu, kami mengucapkan terima kasih kepada ICANN atas keyakinan mereka yang sekali lagi memilih Kenya sebagai salah sebuah tuan rumah bagi infrastruktur penting ini yang bukan sahaja akan memenuhi keperluan di Kenya tetapi juga di seluruh Afrika dan dunia. Pelaksanaan inisiatif ini akan menjadi sangat penting dalam mempercepatkan agenda transformasi digital di Kenya."

Kluster tersebut akan mengurangkan masa yang diperlukan untuk memuat laman web terutamanya apabila terdapat peningkatan dalam penggunaan Internet. Ini akan memberikan manfaat segera kepada pengguna Internet harian di seluruh benua ini. Mungkin yang paling penting, kluster IMR baharu ini akan mengurangkan kesan potensi serangan siber di benua ini. Serangan siber Penafian Perkhidmatan Teragih (DDoS) oleh pelayan yang dihujani dengan pertanyaan yang terlalu banyak. Dengan dua buah lokasi IMRS yang berasingan serta kapasiti pemprosesan data dan lebar jalur yang lebih tinggi, risiko Internet akan menurun kerana serangan siber akan dikurangkan dengan ketara. Peningkatan kapasiti akan mengurangkan kesan serangan.

Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif ICANN yang lebih besar untuk memperluas kehadiran global bagi pelayan punca miliknya melalui penambahan dua kluster yang dikendalikan dan diuruskan oleh ICANN di Afrika serta kluster sedia ada di Amerika Utara, Asia dan Eropah.

Sumber Media 

ICANN in Africa FAQ

ICANN Managed Root Server (IMRS) FAQ

Tentang ICANN
Misi ICANN ialah untuk membantu memastikan Internet global bersatu yang selamat dan stabil. Untuk menghubungi orang lain di Internet, anda perlu menaip alamat – nama atau nombor – ke dalam komputer anda atau peranti lain. Alamat tersebut mestilah unik supaya komputer tahu di mana untuk mencari satu sama lain. ICANN membantu menyelaras dan menyokong pengenal pasti unik ini di seluruh dunia. ICANN telah ditubuhkan pada tahun 1998 sebagai sebuah perbadanan bukan berasaskan keuntungan yang memberi manfaat kepada orang awam dan merupakan sebuah komuniti yang mempunyai para peserta dari seluruh dunia.

 

 

Source: ICANN
Keywords: Computer Networks Computer/Electronics High Tech Security Internet Technology Telecommunications Wireless Communications New products/services