LONDON, 3 Mac 2022 /PRNewswire/ -- Sami dari Korea Selatan Jeong Kwan merupakan penerima tahun 2022 bagi Anugerah Ikon – Asia 2022 yang berprestij. Diundi oleh lebih 300 orang ahli Akademi Asia's 50 Best Restaurants, Anugerah Ikon ini memberikan penghargaan kepada tokoh kulinari yang memberi inspirasi kepada orang lain dengan kemahiran dan sumbangan positif mereka.
Dibesarkan di sebuah ladang, Jeong Kwan membina kemahirannya dalam bidang ramuan bermusim sejak di awal usia. Ketika berumur 17 tahun, beliau meninggalkan kampung halaman untuk menyertai para biarawati Buddha dan mengabdikan dirinya untuk mempelajari teknik masakan tradisi kuil yang berusia berabad-abad lamanya. Hidangan Jeong Kwan yang disediakan dengan sempurna mencerminkan kreativiti semula jadinya, kemahiran teknikal dan penghargaannya yang tinggi terhadap ramuan bermusim.
Masakan Jeong Kwan menarik perhatian seluruh dunia apabila cef berbangsa Perancis – yang juga jurumasak beragama Buddha – Eric Ripert dari Le Bernardin yang terkenal di New York melawat Baekyangsa, kuil abad ketujuh yang menjadi tempat tinggal Jeong Kwan. Kagum dengan hidangan Jeong Kwan, Eric Ripert menjemput beliau ke New York pada tahun 2015 untuk menyediakan masakan kepada para tetamu terpilih. Profil seterusnya dalam The New York Times menggambarkan hidangan beliau sebagai "masakan paling unggul di dunia." Beliau semakin terkenal apabila ditampilkan dalam episod 2017 siri Chef's Table Netflix yang memenangi Anugerah Emmy.
Jeong Kwan meneruskan aktiviti masakannya di pusat pertapaan yang dikongsi bersama-sama dengan rakan biarawatinya dan menarik lebih ramai penganut ke Kuil Baekyangsa. Di dalam dapurnya yang sederhana, para pelawat diberi didikan berdasarkan prinsip agama Buddha yang menyokong masakan kuil asli. Walaupun beliau tidak pernah bekerja atau memiliki sebuah restoran, masakan Jeong Kwan yang inovatif meletakkan beliau setaraf dengan kedudukan jurumasak berwawasan.
William Drew, Pengarah Kandungan Asia's 50 Best Restaurants berkata: "Sebagai seorang pewaris masakan kuil Korea, Jeong Kwan mengesahkan kedudukannya sebagai ikon kulinari antarabangsa hasil kemahirannya yang teliti terhadap perisa dan pendekatan kerohanian beliau terhadap masakan."
Jeong Kwan berucap ketika menerima anugerah tersebut: "Saya amat berbesar hati menerima Anugerah Ikon 2022 ini. Saya menyedari kesukaran yang berpunca daripada pandemik global dan berharap bahawa keadaan akan bertambah baik agar kita dapat bersama-sama semula untuk berkongsi makanan dan tenaga positif."
Pencapaian Jeong Kwan akan disorot sebagai sebahagian daripada majlis dalam talian Asia's 50 Best Restaurants 2022 pada 29 Mac yang akan disiarkan kepada khalayak global melalui Facebook Asia's 50 Best Restaurants dan saluran YouTube 50 Best Restaurants TV.
Logo - https://mma.prnewswire.com/media/1746199/50_Best_Asia_2022_Logo.jpg