omniture

PIHAK BERKUASA AM PENERBANGAN AWAM: ARAB SAUDI AKAN MENGUBAH MASA DEPAN INDUSTRI PENERBANGAN

General Authority of Civil Aviation
2022-03-29 17:00 18

Pemimpin Global akan menghadiri 'Forum Penerbangan Masa Depan' Sulung di Riyadh pada 9-11 Mei 2022

RIYADH, Arab Saudi, 29 Mac 2022 /PRNewswire/ -- Para pemimpin penerbangan global akan berkumpul di Riyadh bagi menghadiri Forum Penerbangan Masa Depan Arab Saudi yang pertama, yang akan diadakan pada 9 hingga 11 Mei. Forum ini akan menyatukan pemimpin daripada sektor awam dan perniagaan, Ketua Pegawai Eksekutif antarabangsa dan pengawal selia untuk membentuk evolusi perjalanan udara antarabangsa dan memacu penyelesaian masa depan dalam era pasca pandemik.

Dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GACA), Forum ini akan menampilkan lebih daripada 120 penceramah, dengan jangkaan kehadiran melebihi 2,000 tetamu dan wakil dari setiap benua. Para perwakilan dijemput untuk menghadiri 40 sesi yang memberi tumpuan kepada tiga teras bertema utama: pengalaman penumpang, kelestarian dan pemulihan perniagaan pasca Covid.

"Forum Penerbangan Masa Depan akan menjadi detik penting untuk sektor penerbangan global. Kami akan menyatukan minda paling pintar dari seluruh dunia untuk menjalin penyelesaian tentang cara sektor ini dapat pulih daripada pandemik Covid-19, mengubah pengalaman penumpang dan melabur dalam inovasi yang akan mengurangkan pelepasan karbon dan mengurangkan kesan alam sekitar," kata Saleh bin Nasser Al-Jasser, Menteri Pengangkutan dan Logistik Arab Saudi.

Sektor pengangkutan dan logistik Arab Saudi, tonggak utama pelan transformasi ekonomi Wawasan 2030, sedang mengalami perkembangan pesat. Ia bertujuan untuk menjana pelaburan sebanyak $150 bilion menjelang tahun 2030 dan menjadikan Kerajaan tersebut sebuah hab penerbangan global. Strategi Sektor Penerbangan Kebangsaan (NASS) GACA bertujuan untuk meningkatkan kesalinghubungan udara ke 250 buah destinasi, mencapai 330 juta penumpang dan untuk menggandakan kapasiti kargo udara kepada 4.5 juta tan. Kerajaan tersebut juga mempunyai rancangan untuk melancarkan syarikat penerbangan kebangsaan baharu bagi melengkapkan syarikat penerbangan kebangsaan sedia ada, Saudia, Flynas dan Flyadeal.

GACA bekerjasama rapat dengan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), agensi PBB yang berpangkalan di Montreal yang bertanggungjawab untuk memupuk perancangan dan pembangunan industri pengangkutan udara di seluruh dunia. Presiden Majlis ICAO Salvatore Sciacchitano berkata Forum ini merupakan masa yang penting untuk sektor penerbangan global. 

"Kerjasama Global di seluruh sektor penerbangan kini amat diperlukan berbanding sebelum ini. Kita mesti bekerjasama untuk membina daya ketahanan yang lebih besar kepada krisis kesihatan masa depan, memikirkan semula dan memodenkan setiap langkah perjalanan penumpang serta memastikan kelestarian penerbangan dalam menghadapi kecemasan iklim. Saya tidak sabar untuk melihat kedatangan para pemimpin terkemuka industri ke Riyadh dalam Forum Penerbangan Masa Depan ini, di mana kita boleh bekerjasama untuk memacu cita-cita, inovasi dan pembuatan dasar yang diperlukan bagi memastikan masa depan yang memberangsangkan untuk industri ini," kata Sciacchitano.

Sebagai sebahagian daripada transformasi sektor penerbangan yang lebih luas, Arab Saudi juga sedang menuju ke arah pengkorporatan lapangan terbang negara tersebut. Pada awal tahun ini, GACA dan Matarat Holding Company mengumumkan penyempurnaan transformasi institusi sebanyak 25 lapangan terbang Kerajaan Arab Saudi. Ini termasuk penubuhan Syarikat Kluster 2 Lapangan Terbang, yang akan mengurus dan mengendalikan 22 buah lapangan terbang, membawa pengawasan untuk pembinaan, pengendalian dan pengurusan di bawah satu bumbung. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan perkhidmatan, mengintegrasikan amalan terbaik antarabangsa dalam pengurusan lapangan terbang dan meningkatkan daya saing. Peluang pelaburan dan komersial dalam sektor ini, termasuk lapangan terbang, pengangkutan, katering, penyelenggaraan dan perkhidmatan darat, akan dibuka kepada pelabur tempatan dan asing dalam masa terdekat.

"Peningkatan peluang untuk dunia penerbangan di Arab Saudi tidak pernah berlaku sebelum ini. Forum Penerbangan Masa Depan ini merupakan peluang untuk mengambil bahagian dari kemunculan pantas Arab Saudi sebagai hab penerbangan terkemuka di Timur Tengah," kata Presiden GACA Abdulaziz Al-Duailej.

Al-Duailej berkata beliau berharap Forum Penerbangan Masa Depan akan memudahkan urus niaga dan menggerakkan pelaburan yang diperlukan untuk mempercepat industri menuju masa depan.

"Forum ini akan memacu urus niaga dan menggerakkan pembiayaan inovasi untuk menjadikan industri ini lestari secara ekonomi dan alam sekitar. Kami menjemput para pemain utama dari dunia penerbangan ke Arab Saudi supaya kita dapat bersama-sama memacu penyelesaian yang akan membolehkan sektor global ini berkembang maju pada tahun-tahun akan datang."

Anda boleh mencari semua berita tentang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam melalui pusat media di laman web kami.

 

 

 

Source: General Authority of Civil Aviation
Keywords: Airlines/Aviation Passenger Aviation Travel Future Events