STOCKHOLM, 29 April 2022 /PRNewswire/ -- Penyakit psoriasis ialah sejenis penyakit keradangan yang menjejaskan kulit dan sendi. Kulit bertompok yang gatal dan mengelupas mungkin merupakan gejala yang paling biasa. Namun begitu, penyakit psoriasis mempunyai kesan yang lebih mendalam. Bagi kebanyakan orang, salah satu cabaran yang paling sukar apabila menghidap penyakit psoriasis ini ialah kesannya yang ketara terhadap kesihatan mental. Hari ini, IFPA – organisasi global untuk individu yang menghidap penyakit psoriasis – mengeluarkan laporan yang menyelidiki hubungan simbiotik antara penyakit psoriasis, kemurungan dan keresahan.
Hidup dengan penyakit yang boleh dilihat dengan jelas seperti ini adalah amat sukar. "Saya mengalami penyakit yang teruk pada akhir tahun 2015," kata Reena Ruparelia dari Kanada. "Tangan dan kaki saya dipenuhi dengan tompokan plak dan merekah. Saya menggunakan pembalut plastik dan sarung tangan untuk mengekalkan kelembapan. Pada suatu hari di tempat kerja, saya membukanya dan apabila melihat keadaan tangan saya, saya mula berasa panik. Saya tidak percaya melihat betapa buruk keadaannya. Saya mengambil teksi pulang ke rumah dan mengambil cuti kurang upaya selama tiga bulan."
Pengalaman Reena bukanlah sesuatu yang asing. Malah penyelidikan terkini menunjukkan bahawa lebih 25% penghidap psoriasis menunjukkan tanda-tanda kemurungan manakala 48% daripadanya mengalami keresahan — mengatasi mana-mana penyakit kulit yang lain. Kadar kehilangan upaya dan bunuh diri juga lebih tinggi dalam kalangan para penghidap psoriasis. Kesan psikologi semakin dikenal pasti sebagai aspek yang penting pada penyakit ini.
Pengantara keradangan yang sama terlibat dalam kedua-dua penyakit psoriasis dan kemurungan. Ini menyebabkan individu yang menghidap penyakit ini terperangkap dalam suatu kitaran yang menyeksakan: penyakit psoriasis menyebabkan kemurungan dan keresahan, manakala kemurungan dan keresahan pula menyebabkan penyakit semakin teruk. Laporan baharu IFPA yang bertajuk Inside Psoriatic Disease: Mental Health (Tinjauan Penyakit Psoriasis: Kesihatan Mental) bukan sahaja meneroka perkaitan ini, malah turut menggariskan amalan terbaik untuk memutuskan kitaran ini.
"Tiada siapa dari bidang perubatan yang memberitahu saya bahawa kemurungan, keresahan dan psoriasis saya mempunyai kaitan," ujar Iman dari Oman. "Kesihatan mental merupakan suatu isu yang kompleks yang memerlukan kerjasama semua pihak berkepentingan."
Elisa Martini, pengarang utama laporan IFPA menekankan pentingnya perubahan dasar dengan kadar segera. "Hubungan antara kesihatan mental yang lemah dan penyakit psoriasis tidak dapat disangkal dan mesti dipandang serius. Rawatan penyakit psoriasis yang berkesan dan intervensi psikologi yang tepat pada masanya adalah penting untuk menyediakan penjagaan yang betul. Kerajaan perlu memperuntukkan lebih banyak sumber terhadap perkhidmatan kesihatan mental. Kesihatan fizikal dan mental perlu untuk memastikan kesejahteraan individu."
Laporan IFPA tentang kesihatan mental boleh didapati dalam talian di ifpa-pso.com.
Sila hubungi: Camille Lancelot, +46 (0) 73 961 1565
Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1795530/IFPA.jpg?p=medium600
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1747380/ifpa_Logo.jpg?p=medium600