omniture

Mobileum Mengumumkan Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Baharu

Mobileum Inc.
2022-04-29 15:48 14

Ahli baharu ini akan membantu membimbing Mobileum dalam fasa pertumbuhan seterusnya

CUPERTINO, Calif., 29 April 2022 /PRNewswire/ -- Mobileum Inc. ("Mobileum" atau "Syarikat"), penyedia penyelesaian analitik global terkemuka bagi perkhidmatan perayauan dan rangkaian, keselamatan, pengurusan risiko, ujian dan jaminan perkhidmatan serta kecerdasan pelanggan, dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan empat ahli baharu bagi Lembaga Pengarahnya. Pelantikan baharu ini melibatkan Gavin Patterson, Presiden merangkap Ketua Pegawai Hasil Pendapatan di Salesforce, serta Timur Akazhanov, Nishant Nayyar dan Alexander Thorn, masing-masing sebagai Pengarah Urusan dan Prinsipal H.I.G. Capital.

Mereka yang baharu dilantik ini menyertai Arun Sarin, mantan Ketua Pegawai Eksekutif Vodafone; Ori Sasson, Pengasas Bersama Mobileum dan Rakan Kongsi Pengurusan Primera Capital; Bobby Srinivasan, Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Mobileum; serta Iveshu Bhatia dan Timothy Mack, Pengarah Urusan Audax Private Equity, yang masing-masing telah dilantik semula sebagai ahli Lembaga Pengarah.

Bobby Srinivasan, Ketua Pegawai Eksekutif Mobileum, mengulas:

"Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan Gavin, Timur, Nishant dan Alex pada waktu pertumbuhan yang menarik ini untuk Mobileum. Mereka membawa bersama rekod prestasi yang telah terbukti dan merupakan peneraju yang berpengaruh dalam bidang telekomunikasi dan perisian. Kepakaran dan kepemimpinan mereka akan mengukuhkan lagi keupayaan kami untuk mencapai strategi pertumbuhan jangka panjang kami dan mewujudkan nilai tambahan untuk para pemegang taruh Mobileum."

Gavin Patterson membawakan pengalaman yang luas dalam bidang telekomunikasi, teknologi dan perisian. Sedang berkhidmat sebagai Presiden merangkap Ketua Pegawai Hasil Pendapatan di Salesforce, Encik Patterson sebelum ini telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di BT, memainkan peranan penting di Virgin Media, dan merupakan Ketua Pemasaran Eropah di Procter & Gamble. Sebagai seorang pakar dalam jualan peringkat global, pengedaran jualan moden dan Perisian sebagai Perkhidmatan (SaaS), beliau akan membantu mengetuai pelan pembangunan perniagaan dan pasaran utama Mobileum sementara Syarikat terus memperluas jejak globalnya sambil mencari peluang baharu dalam rangkaian tanpa wayar persendirian dan 5G. Encik Patterson merupakan Pengerusi bagi Elixirr Consulting yang tersenarai dalam Pasaran Pelaburan Alternatif (AIM), Pengerusi badan amal Perniagaan Dalam Komuniti Duli Yang Teramat Mulia Putera Wales dan menganggotai Majlis Tadbir Pusat Pengajian Ekonomi dan Sains Politik (LSE) London. Selama bertahun-tahun, beliau telah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah dalam banyak syarikat milikan ekuiti awam dan swasta, termasuk Fractal Analytics, Delta Fiber, British Airways, Tappit, Muzium British dan beberapa syarikat pemula teknologi.

Arun Sarin ialah mantan Ketua Pegawai Eksekutif bagi syarikat gergasi telekomunikasi Vodafone Group PLC yang berkhidmat dari 2003 hingga 2008. Beliau merupakan pemacu di sebalik langkah strategik Vodafone ke dalam pasaran baru muncul dan perkhidmatan data yang memberikan perkhidmatan kepada 300 juta pelanggan. Arun juga berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah bagi Ola Cabs, Cerence, Charles Schwab dan Accenture. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah di banyak syarikat, termasuk Cisco Systems, The Gap Inc., dan Safeway Inc. Di samping itu, Sarin pernah menjadi pengarah bukan eksekutif Mahkamah Bank England dan dianugerahkan sebagai Kesatria Kehormat Empayar British atas perkhidmatannya dalam industri komunikasi.

Ori Sasson ialah Rakan Kongsi Pengasas Primera Capital. Beliau telah melabur secara meluas dalam pelbagai segmen sektor berteknologi tinggi serta telah mempengerusikan dan mengasaskan syarikat perintis dalam pengurusan perhubungan pelanggan, perkhidmatan pembawa tanpa wayar, logistik pengangkutan global dan perkhidmatan terurus. Ori memiliki pengalaman perniagaan kendiri dan usaha sama yang luas. Sebelum mengasaskan Primera, Ori merupakan rakan kongsi di Apax Partners. Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Genesys Telecommunications Laboratories, di mana beliau memperluas jangkauan pasaran global syarikat, merekrut pasukan pengurusan antarabangsa terbaik dan menguruskan pengambilalihan syarikat tersebut oleh Alcatel yang berpangkalan di Paris pada 2000. Ori telah menggunakan kepintaran perniagaannya untuk menasihati banyak syarikat muda serta telah menerima pelbagai anugerah termasuk Usahawan Terbaik Kawasan Teluk 1997.

Timur Akazhanov, Nishant Nayyar dan Alexander Thorn, iaitu Pengarah Urusan dan Prinsipal, masing-masing menyertai Ahli Lembaga Pengarah bagi pihak H.I.G. Capital, sebuah firma pelaburan alternatif global terkemuka dengan modal ekuiti bernilai $48 bilion di bawah bidang pengurusan. Pelantikan ini mengikuti pelaburan strategik pada bulan Mac 2022 oleh ahli gabungan H.I.G. Technology Partners ("HTP") dalam Mobileum untuk membantu Syarikat mempercepatkan pelaburan dan pertumbuhan teknologi yang didayakan oleh pelancaran teknologi 5G dan rangkaian persendirian di seluruh dunia. Timur, Nishant dan Alex masing-masing membawa lebih sedekad pengalaman dalam pelaburan ekuiti persendirian yang berfokuskan kepada perkhidmatan dan perisian yang didayakan teknologi.

Untuk maklumat lanjut tentang Mobileum dan penyelesaiannya, sila layari www.mobileum.com.

Tentang Mobileum Inc.

Mobileum ialah penyedia penyelesaian analitik Telekomunikasi yang terkemuka untuk perayauan, rangkaian teras, keselamatan, pengurusan risiko dan pengujian kesalinghubungan domestik dan antarabangsa serta kecerdasan pelanggan. Lebih 1,000 pelanggan bergantung pada platform Kecerdasan Aktif miliknya yang menyediakan penyelesaian analitik canggih yang membolehkan pelanggan menghubungkan rangkaian mendalam dan kecerdasan operasi dengan tindakan masa nyata yang meningkatkan pendapatan, menambah baik pengalaman pelanggan dan mengurangkan kos. Beribu pejabat di Silicon Valley, Mobileum mempunyai pejabat global di Australia, Jerman, Greece, India, Portugal, Singapura, UK dan Emiriyah Arab Bersatu.

Ketahui lebih lanjut di https://www.mobileum.com/ dan ikuti @MobileumInc di Twitter

 

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1431792/Mobileum_Logo.jpg?p=medium600  

Source: Mobileum Inc.
Keywords: Banking/Financial Service Computer Software Computer/Electronics High Tech Security Internet Technology Mobile Entertainment Telecommunications Telecommunications Carriers and Services Personnel announcements