omniture

Wella Company Mempertingkatkan Pertumbuhan dengan Pengambilalihan Briogeo, Sebuah Syarikat Penjagaan Rambut Bebas yang Berkembang Pesat yang Menumpukan Kepada Produk Penjagaan Rambut Semulajadi dan Beretika Ekologi

The Wella Company
2022-05-01 01:36 190

Pengembangan Portfolio Akan Mempercepat Pertumbuhan Wella Company & Memperluas Portfolio Lestari Syarikat sambil Mendorong Momentum Kategori Penjagaan Rambut

Pengambilalihan ini Menyatukan Dua Orang CEO Wanita Minoriti yang Berjaya untuk Menerajui Perniagaan Ke Hadapan

NEW YORK dan GENEVA, Switzerland, 1 Mei 2022 /PRNewswire/ -- Wella Company, sebuah syarikat peneraju global dalam industri kecantikan bernilai $100 bilion dengan portfolio teknologi kecantikan, kuku dan rambut profesional dan peruncitan terkemuka yang terdiri daripada jenama-jenama ikonik termasuk Wella Professionals, O·P·I, ghd, Nioxin, Sebastian Professional dan Clairol, hari ini mengumumkan bahawa ia telah mencapai perjanjian muktamad untuk mengambil alih Briogeo, salah sebuah jenama penjagaan rambut yang paling pesat berkembang di dunia dan salah sebuah jenama milik kaum kulit hitam yang bebas dan terbesar di Amerika Syarikat.

"Pengambilalihan Briogeo ini menandakan pengembangan portfolio Wella Company yang pertama sebagai sebuah entiti bebas. Produk penjagaan rambut Briogeo yang semula jadi, beretika ekologi dan mempunyai pertumbuhan tinggi melengkapkan portfolio rambut sedia ada dan tawaran lestari kami serta akan mendorong momentum pertumbuhan kami dalam kategori penjagaan rambut, yang kini merupakan segmen paling pesat berkembang dalam bidang kecantikan," kata Annie Young-Scrivner, Ketua Pegawai Eksekutif Wella Company.  "Saya berbangga dengan pertumbuhan yang dicapai oleh syarikat kami setakat ini dalam masa 17 bulan sahaja – dan pada Briogeo, kami telah menemui rakan kongsi yang benar-benar istimewa dan saling melengkapi. Briogeo telah berada di barisan hadapan dalam revolusi penjagaan rambut semula jadi yang bersih sejak syarikat tersebut bermula pada tahun 2013 dan perkembangannya merupakan sesuatu yang menakjubkan. Secara bersama-sama, kami akan memperluas tawaran produk lestari kami dengan lebih banyak lagi, memperluas kehadiran peruncitan premium kami serta mendorong kesan komersial dan sosial ke tahap yang baharu," ujar Young-Scrivner.

Di bawah kepemimpinan Nancy Twine yang merupakan Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Briogeo telah merevolusikan penjagaan rambut semula jadi yang bersih dengan menawarkan produk dan penyelesaian yang berkesan untuk setiap jenis rambut, tekstur, keperluan, etnik, latar belakang dan individu. Briogeo telah berkembang dengan pantas sejak penubuhannya dan merupakan sebuah syarikat pemenang anugerah yang memenangi Allure Best of Beauty Award (Anugerah Kecantikan Terbaik Allure) setiap tahun sejak tahun 2018. Twine diiktiraf sebagai salah seorang usahawan terkemuka dalam syarikat pemula kecantikan pada dekad yang lalu dan telah dianugerahkan dengan Entrepreneur's 100 Women of Impact pada tahun 2021, Goldman Sachs Builders + Innovators Award pada tahun 2020 dan Cosmetic Executive Women (CEW) Female Founder Award pada tahun 2019.

Wella Company berhasrat untuk menyokong Briogeo dan strateginya untuk cemerlang di barisan hadapan bidang kecantikan lestari. Briogeo sejajar dengan komitmen mendalam Wella Company untuk membina sebuah syarikat dengan Kepelbagaian, Kesaksamaan dan Keterangkuman (DEI) serta Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang diterapkan ke dalam terasnya. Penambahan portfolio penjagaan rambut berprestij Briogeo melengkapkan cita-cita Wella Company untuk memberikan produk yang lebih pelbagai untuk semua jenis rambut sambil memperluas produk yang bersih dan hijau di seluruh tawaran portfolionya.

"Kekuatan Penyelidikan & Pembangunan Wella Company, pemasaran digital dan operasi global serta keupayaannya untuk menjangkau 91 juta orang profesional dalam bidang penjagaan rambut dan kuku serta pengikut yang mereka layani dan sokong akan membawa jenama Briogeo ke tahap yang seterusnya," kata Nancy Twine, Ketua Pegawai Eksekutif Briogeo. "Ini merupakan sebuah kerjasama strategik yang penting untuk kedua-dua belah pihak serta serasi dengan cita-cita, falsafah dan budaya. Di Wella Company, kami mempunyai rakan kongsi yang komited untuk membantu perniagaan dan pekerja kami mencapai tahap pertumbuhan yang seterusnya.  Kami teruja untuk mempercepat pengembangan dan inovasi kami serta menggembirakan lebih ramai orang di lebih banyak lokasi geografi dan melalui saluran penghantaran yang lebih meluas di seluruh dunia."

Sejarah kepemimpinan wanita Wella Company adalah unik, dengan adanya beberapa orang usahawan wanita sebagai pengasas termasuk Pengasas Bersama O·P·I, Suzi Weiss-Fischmann, Eva Graham dari Nioxin dan Pengasas Bersama Sebastian Professional, Geri Cusenza. Annie Young-Scrivner dan Nancy Twine dari Briogeo membentuk pasangan wanita minoriti yang menerajui sebuah syarikat kecantikan dengan pertumbuhan tinggi -- gandingan yang bukan sahaja memperkukuh kepelbagaian dan keterangkuman tetapi turut memberi pendedahan yang lebih besar kepada golongan wanita minoriti dalam industri ini.

Wella Company kembali kepada status operasi bebas pada 1 Disember 2020 setelah ahli sekutu firma pelaburan global KKR memperoleh pegangan ekuiti majoriti dalam syarikat tersebut. Wella Company kekal dalam perjalanan pertumbuhan yang dipercepat untuk menjadi peneraju dalam kategori teknologi kecantikan, kuku dan rambut di seluruh saluran penghantaran – profesional, peruncitan dan e-dagang. Sepanjang tempoh singkat Wella Company tersebut, syarikat itu telah mempercepatkan pertumbuhan dengan peningkatan sebanyak dua digit berbanding paras pada tahun 2019. Perniagaan tersebut memperoleh momentum di setiap lokasi geografi yang ia beroperasi (lebih daripada 100 buah negara) dan di seluruh rantau: Amerika, Asia Pasifik, Eropah, Timur Tengah dan Afrika serta Brazil.

Tentang Wella Company 
Wella Company merupakan salah sebuah syarikat kecantikan terkemuka di dunia yang terdiri daripada keluarga jenama-jenama ikonik termasuk Wella Professionals, ghd, O·P·I, Nioxin, Sebastian Professional dan Clairol. Di Wella Company, kami ialah inovator yang berusaha untuk memberi inspirasi kepada para pengguna dan profesional kecantikan melalui jenama kami untuk kelihatan, berperasaan dan menjadi diri mereka yang sebenar. Kami komited untuk membina syarikat kecantikan terbaik dalam industri ini di mana lebih 6,000 orang pekerja kami di lebih 100 buah negara dapat hadir ke tempat kerja dengan penampilan terbaik. Dipandu oleh nilai-nilai syarikat kami dan didorong oleh tujuan untuk memberikan kesan positif kepada orang ramai melalui produk kami serta terhadap planet kita dan masyarakat, kami memberikan pertumbuhan yang mapan kepada semua pihak berkepentingan.

Untuk maklumat lanjut tentang Wella Company, sila layari www.wellacompany.com dan ikuti kami di LinkedIn, Instagram dan Facebook.

Tentang Briogeo
Briogeo telah merevolusikan penjagaan rambut semula jadi yang bersih dengan menawarkan produk dan penyelesaian yang berkesan untuk setiap jenis rambut, tekstur, keperluan, etnik, latar belakang dan individu. Semua produk Briogeo diformulasi 6-free ™ (TANPA sulfat kasar, silikon, paraben, ftalat, pewarna tiruan dan DEA) dan diperoleh secara semula jadi dengan NOVA Complex® proprietari jenama ini yang merupakan campuran minyak semulajadi, vitamin dan antioksidan. Dilancarkan pada tahun 2013 oleh usahawan Nancy Twine, Briogeo telah menjadi salah sebuah jenama penjagaan rambut yang paling pesat berkembang di dunia dan salah sebuah jenama milik kaum kulit hitam yang bebas dan terbesar di AS. Briogeo terus mengalami pertumbuhan jualan tahun ke tahun yang penting dengan misi jenama untuk memberi inspirasi, mendidik, meraikan kepelbagaian dan memperkasakan perjalanan rambut yang sihat bagi setiap orang.

Sokongan Penasihat
Briogeo dinasihatkan oleh Financo | Raymond James.

Hubungan bagi Wella Company: Hilary Crnkovich
Ketua Pegawai Komunikasi & Kelestarian
Nombor telefon: + 646-217-1700
E-mel:
hilary.crnkovich@wella.com 

Annie Young-Scrivner, Chief Executive Officer of Wella Company and Nancy Twine, CEO of Briogeo.
Annie Young-Scrivner, Chief Executive Officer of Wella Company and Nancy Twine, CEO of Briogeo.

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1807654/The_Wella_Company_Logo.jpg?p=medium600

Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1807655/Wella_Company_and_Briogeo.jpg?p=medium600

 

Source: The Wella Company
Keywords: Cosmetics & Personal Care Household/Consumer/Cosmetics Retail Acquisitions, mergers, takeovers