omniture

ACE Green Recycling bakal bina taman kitar semula bateri hijau terbesar Amerika Utara di Texas

ACE Green Recycling
2022-05-12 09:09 227

Teknologi kitar semula bateri bebas emisi proprietari akan digunakan untuk mengitar semula bateri asid-plumbum dan ion-litium

BELLEVUE, Washington, 12 Mei 2022 /PRNewswire/ -- Syarikat teknologi kitar semula, ACE Green Recycling (ACE) mengumumkan rancangannya untuk membina dan mengendalikan taman kitar semula bateri bebas emisi dan lestari terbesar Amerika Utara di Texas, AS. Kemudahan berkeluasan 400,000 kaki persegi ini akan berupaya untuk mengitar semula baik bateri asid-plumbum mahupun ion-litium apabila beroperasi sepenuhnya. Bateri ini merupakan unsur penting dalam industri automotif, storan kuasa, telekomunikasi dan peranti mudah alih seperti telefon bimbit dan komputer riba.

Kemudahan berkenaan dijangka memulakan fasa 1 operasinya dalam suku ketiga tahun 2023, bermula dengan mengitar semula bateri asid-plumbum menggunakan teknologi kitar semula bateri bebas emisi proprietari ACE dan diikuti dengan kemudahan kitar semula bateri ion-litium dalam jarak berdekatan. Apabila beroperasi dalam kapasiti penuh, ACE menjangkakan kemudahan tersebut dapat memproses dan mengitar semula sehingga 100,000 tan metrik bateri asid-plumbum terpakai dan 20,000 tan metrik bateri ion-litium terpakai setiap tahun menjelang tahun 2025.

Secara tradisi, kitar semula bateri dilakukan melalui proses peleburan yang melibatkan pengendalian pada suhu yang sangat tinggi – biasanya lebih daripada 1,000 °C – dengan pembakaran bahan api fosil yang mahal dan mencemarkan, menghasilkan gas rumah hijau (GHG) yang ketara serta mendedahkan pekerja kepada keadaan kerja yang berbahaya. Berbanding dengan peleburan, teknologi proprietari ACE untuk kitar semula bateri asid-plumbum dan ion-litium dielektrikkan sepenuhnya dengan emisi karbon sifar dan memberi hasil bahan bateri yang lebih tinggi sekali gus menyediakan persekitaran tempat kerja yang lebih selamat. ACE turut meninjau peluang untuk mengendalikan kebanyakan aktiviti kilang utamanya dengan tenaga solar bagi mengurangkan emisi Skop 2 kemudahan berkenaan.

ACE telah mengenal pasti Texas untuk menempatkan kemudahan kitar semula bateri unggulannya di Amerika Syarikat. Dengan penduduk yang semakin bertambah dan akses mudah kepada banyak bateri terpakai daripada automobil dan sumber industry yang lain, Texas merupakan pilihan yang jelas untuk kilang baharu ACE.

Lantaran kekurangan kapasiti kitar semula yang mencukupi, ketika ini, AS mengeksport sejumlah besar bateri sekerapnya ke Mexico serta Asia dan dalam masa yang sama mengimport semula bahan bateri untuk menghasilkan bateri baharu yang membawa kepada kerugian nilai yang besar. Dengan mewujudkan operasi yang besar di Texas, ACE berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan Amerika kepada import bahan bateri dan bateri daripada pembekal asing yang seringkali terdedah kepada masalah rantaian bekalan global yang buruk.

"Texas berada di tengah-tengah revolusi tenaga global dunia dengan akses penting kepada banyak himpunan bakat kejuruteraan dan teknikal yang terbaik. Kemudahan baharu ACE bertujuan untuk menjadi sebahagian daripada revolusi berkenaan dan membina masa depan yang lebih hijau, lebih lestari untuk Amerika," Nishchay Chadha, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif ACE.

Kemudahan kitar semula asid-plumbum Texas ACE akan diperluas secara berfasa. Apabila beroperasi sepenuhnya, ia diunjurkan untuk mengitar semula lebih daripada 5 juta bateri asid-plumbum, mengelakkan lebih daripada 50,000 tan metrik emisi GHG, mengurangkan lambakan di tapak pelupusan sampah sebanyak lebih daripada 10 juta paun sisa pepejal berbahaya dan mengitar semula lebih daripada 15 juta paun plastik setiap tahun. Kemudahan berkenaan akan turut menjana sehingga 100 peluang pekerjaan Amerika bergaji lumayan secara langsung dan tidak langsung demi ekonomi tempatan. ACE akan mengumumkan lebih banyak butiran mengenai operasi kitar semula bateri ion-litiumnya dalam bulan-bulan akan datang.

Syarikat pemula penyelesaian teknologi hijau berkenaan akan menggunakan dana mereka sendiri dan berkolaborasi dengan beberapa pelabur strategik dan kewangan untuk menubuhkan taman kitar semula bateri Texas yang dibayangkan. "Kami teruja dapat menubuhkan kemudahan Amerika Utara pertama kami di negeri Texas yang bukan sahaja akan menjana aktiviti ekonomi tempatan yang signifikan, tetapi turut menyumbang kepada jejak alam sekitar yang lebih hijau," kata Dr Vipin Tyagi, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Teknologi ACE. "Dengan menyumbang kepada keupayaan kitar semula bateri Amerika, kami turut menyasarkan untuk mengukuhkan kebebasan tenaga negara ini dan membina masa depan yang lebih berdaya tahan untuk negara ini."

ACE telahpun menggunakan teknologinya pada skala komersial dan baru-baru ini mengumumkan satu perjanjian dengan Pondy Oxides & Chemicals Ltd (BSE: 532626), pengitar semula yang terkemuka di India dan bakal mengumumkan kemudahan baharu di Asia, Eropah dan Timur Tengah menjelang awal tahun 2023.

Latar Belakang ACE Green Recycling Inc 

ACE Green Recycling ialah sebuah syarikat teknologi kitar semula hijau Amerika dengan operasi global merentas Asia Tenggara dan India. Syarikat ini telah mula mengkomersialkan proses kitar semula proprietarinya untuk bateri asid plumbum terpakai yang tidak membebaskan emisi gas rumah hijau dan kini meningkatkan teknologi emisi sifarnya untuk mengitar semula bateri ion-litium. Dalam masa yang sama juga ACE mengusahakan penyelesaian teknologi bersih untuk aliran sisa berlogam yang lain. Pasukan di sebalik ACE ini mempunyai pengalaman secara berdekad-dekad dalam kitar semula, teknologi dan rantaian bekalan sekerap, seterusnya membuatkan mereka bersedia untuk menjadi peneraju bagi kitar semula global.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi: 
Ikram Zainy 
Superminted Pte Ltd   
ikram@superminted.com
Tel: +(65) 96553441

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:
ACE Green Recycling
communications@ace-green.com

 

Source: ACE Green Recycling
Keywords: Alternative Energies Computer/Electronics Environmental Products & Services Green Technology Mining/Metals Telecommunications Telecommunications Equipment Utilities Corporate Expansion New products/services