omniture

ICANN Melaporkan Trend Penyalahgunaan DNS Sedang Menurun di Seluruh Dunia

ICANN
2022-05-18 18:29 92

Penyelaras Sistem Nama Domain (DNS) Menerbitkan Sebuah Laporan Berdasarkan Data Selama Empat Tahun 

LOS ANGELES, 18 Mei 2022 /PRNewswire/ -- Dalam sebuah laporan yang diterbitkan baru-baru ini, Perbadanan Internet untuk Nama dan Nombor Ditugaskan (ICANN) menunjukkan bahawa jumlah penyalahgunaan DNS global telah menurun dalam "istilah mutlak dan kadar normal" sepanjang empat tahun yang lalu dari Oktober 2017 hingga Januari 2022. Di peringkat global, pada bulan Januari 2022, kurang daripada satu peratus nama domain dilaporkan berpotensi menimbulkan ancaman kepada para pengguna.

Pejabat Ketua Pegawai Teknologi ICANN menyediakan kepakaran subjek dan telah membangunkan projek khas seperti Pengumpulan dan Pelaporan Maklumat Ancaman Keselamatan Nama Domain (DNSTICR) dan Sistem Pelaporan Aktiviti Penyalahgunaan Domain (DAAR) untuk memantau dan melaporkan domain yang berpotensi mengancam keselamatan. DAAR menghasilkan laporan bulanan yang menunjukkan penumpuan nama domain yang mengancam keselamatan melalui visual dan statistik secara keseluruhan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ICANN, Göran Marby mengulas tentang laporan tersebut yang diterbitkan baru-baru ini dengan menyatakan, "Sebahagian daripada tanggungjawab kami sebagai pengendali teknikal neutral Internet ialah untuk berkongsi fakta dan data secara aktif supaya penggubal dasar boleh membuat keputusan dasar yang bermaklumat. Usaha ini selaras dengan komitmen kami untuk memastikan Internet adalah selamat, stabil dan berdaya tahan." Beliau menambah bahawa, "Ini merupakan satu-satunya laporan seumpamanya yang mengukur data sepanjang tempoh empat tahun. Kebanyakan laporan hanya menjejaki kadar penyalahgunaan DNS selama beberapa bulan. Walaupun laporan tersebut menunjukkan trend yang menurun, namun masih banyak perkara yang perlu dilakukan. Ancaman terhadap pengguna Internet adalah nyata dan berubah dengan pantas."

ICANN mentakrifkan penyalahgunaan DNS dalam lima kategori aktiviti berbahaya yang meluas: 'botnet', perisian hasad, 'pharming' atau tarikan ke laman web palsu, pancingan data dan spam (kerana ia digunakan untuk menyebarkan ancaman keselamatan DNS yang lain). Undang-undang Kecil dan misi ICANN tidak membenarkan ICANN mengawal kandungan laman web.

Laporan ini merupakan hasil terkini daripada usaha meluas ICANN untuk menilai, memantau dan mengurangkan ancaman keselamatan DNS. Sebagai contoh, pasukan Pematuhan Kontrak ICANN menguatkuasakan kewajipan kontrak yang ditetapkan dalam dasar dan perjanjian ICANN serta menerbitkan notis pelanggaran, penggantungan, penamatan dan tidak memperbaharui yang berkaitan dengan pematuhan pendaftar terhadap kewajipan penyalahgunaan DNS. Ia juga kerap mengaudit cara pendaftar iaitu entiti yang menawarkan perkhidmatan pendaftaran nama domain dan pejabat pendaftar iaitu entiti yang menguruskan pendaftaran dalam domain peringkat tinggi, memenuhi kewajipan kontrak mereka yang berkaitan dengan penyalahgunaan DNS.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang penyalahgunaan DNS dan langkah yang dilakukan oleh ICANN bagi membantu memahami dan mengurangkannya, sila layari laman web program di icann.org.

Tentang ICANN
Misi ICANN ialah untuk membantu memastikan Internet global yang seragam, selamat dan stabil. Untuk menghubungi orang lain di Internet, anda perlu menaip alamat - nama atau nombor - ke dalam komputer atau peranti anda yang lain. Alamat tersebut mestilah unik supaya komputer tahu lokasi untuk saling mencari. ICANN membantu menyelaras dan menyokong pengenal pasti unik ini di seluruh dunia. ICANN telah ditubuhkan pada tahun 1998 sebagai sebuah perbadanan bukan berasaskan keuntungan yang memberi manfaat kepada orang awam dengan sebuah komuniti para peserta dari seluruh dunia.

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1810953/ICANN_Logo.jpg?p=medium600 

 

 

Source: ICANN
Keywords: Computer Networks Computer/Electronics Telecommunications Survey, Polls & Research