NEW YORK, 31 Mei 2022 /PRNewswire/ -- Institut Politeknik Rensselaer (RPI) dan Sekolah Perubatan Icahn Gunung Sinai baru-baru ini mengumumkan pembentukan Pusat Kejuruteraan dan Perubatan Kepersisan (CEPM), salah sebuah pusat pertama di negara ini yang menghubungkan kejuruteraan dan sains kejuruteraan dengan perubatan. Usaha ini akan membangunkan penemuan penyelidikan asas yang dikongsi, meneroka inovasi terapeutik unik dalam penyakit kanser, Alzheimer, kemerosotan tisu dan penyakit berjangkit; mendidik generasi baharu pemimpin bioperubatan; serta membangunkan teknologi dan proses baharu yang meningkatkan tahap kesihatan pesakit dengan cara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. CEPM mewakili satu evolusi hasil daripada kerjasama yang berjaya antara Icahn Gunung Sinai dan RPI.
Pusat yang berada di 619 West 54th Street di Manhattan itu akan memacu kemajuan dan diagnostik titik penjagaan dan titik penggunaan; platform mikrofisiologi untuk penyelidikan dan diagnosis; pembedahan robotik; pengimejan bioperubatan; biopembuatan terapeutik; serta kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin yang digunakan untuk data bioperubatan. Kemajuan kejuruteraan ini akan meningkatkan kualiti kehidupan pesakit dengan menyelaraskan kepakaran terkini dalam penyelidikan dan pendidikan pada penghubung kejuruteraan dan perubatan.
"Kerjasama transformasi antara Rensselaer dan Icahn Gunung Sinai ini mengiktiraf bahawa kejuruteraan dan sains kejuruteraan adalah asas kepada pemahaman tentang fenomena bioperubatan dan ia adalah penting untuk pembangunan diagnostik dan terapeutik kepersisan generasi seterusnya, kesihatan dan kesejahteraan manusia serta untuk latihan para penyelidik dan pakar perubatan lanjutan," kata Shirley Ann Jackson, PhD, Presiden Institut Politeknik Rensselaer. "Penyelidikan inovatif merupakan asas kepada Rensselaer, di mana para pelajar, fakulti dan graduan kami terus mengubah dunia melalui kemajuan saintifik dan teknologi. Pusat ini akan terus menyemarakkan penemuan perubatan dan saintifik dengan impak yang dapat mengubah kehidupan di seluruh dunia."
"Daripada sistem pengimejan biologi yang sangat sensitif dan tepat kepada penemuan sasaran ubat-ubatan baharu, ciptaan utama yang telah membentuk perubatan moden terlahir daripada kerjasama rapat antara para jurutera dan klinisian," kata Dennis S. Charney, MD, Dekan Anne dan Joel Ehrenkranz Sekolah Perubatan Icahn Gunung Sinai merangkap Presiden Hal Ehwal Akademik Sistem Kesihatan Gunung Sinai. "CEPM menampilkan satu paradigma baharu yang berani untuk meneruskan kerjasama itu yang kami percaya akan menghasilkan kemajuan yang belum pernah terjadi sebelum ini dalam bidang sains, perubatan dan kesihatan manusia. Selain itu, program PhD ini akan membolehkan kami menarik dan mempersiapkan generasi baharu penyelidik dengan kemahiran kejuruteraan dan klinikal antara disiplin untuk meneruskan penyelidikan yang lebih inovatif dan memberi impak."
Hubungan: Deanna Cohen, cohend8@rpi.edu, 5182334828
Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1828036/Rensselaer_Polytechnic_Institute_New_Center.jpg?p=medium600