![]() |
Pengambilalihan ini memperkukuh penawaran Newsroom Shutterstock Editorial dengan rangkaian jurugambar global yang terdiri daripada lebih 4,000 penyumbang dan sebuah arkib dengan lebih 27 juta imej merentasi pelbagai selebriti, acara karpet merah dan acara siaran langsung
NEW YORK, 1 Jun 2022 /PRNewswire/ -- Shutterstock, Inc. (NYSE: SSTK), sebuah platform kreatif global terkemuka untuk jenama dan syarikat media transformatif, hari ini mengumumkan pengambilalihan Splash News, salah sebuah rangkaian berita hiburan terkemuka di dunia untuk bilik berita dan syarikat media. Menjadi sumber utama untuk kandungan imej dan video selebriti, acara karpet merah dan acara siaran langsung selama lebih tiga dekad, Splash News merupakan peneraju industri dengan pelanggan seperti E! News, People, Daily Mail, TMZ, Dow Jones, Reach dan News UK. Koleksi Splash yang komprehensif merangkumi sebuah arkib yang mengandungi lebih 27 juta imej dan rangkaian penyumbang yang terdiri daripada lebih 4,000 orang jurugambar.
Pengambilalihan ini memperkukuh penawaran Newsroom Shutterstock Editorial sebagai destinasi premium bagi para pelanggan globalnya untuk akses kepada kandungan eksklusif premium yang tiada tandingan. Newsroom kini akan menjadi hos kepada sebuah arkib yang mempunyai lebih 30 juta imej, dengan siaran secara langsung bagi 40,000 imej yang dimuat naik setiap hari daripada sebuah rangkaian yang terdiri daripada lebih 4,000 orang jurugambar. Ini semua digabungkan dengan The Vault, sebuah arkib Shutterstock yang mempunyai lebih 60 juta aset foto dan video, menjadikannya salah satu koleksi arkib terbesar di dunia. Para penyumbang kini akan mempamerkan hasil kerja mereka kepada berjuta-juta pelanggan Shutterstock di seluruh dunia. Selain itu, platform Splash merupakan sebuah alat yang mudah digunakan oleh penyumbang untuk berinteraksi, menyediakan transparensi dan meningkatkan kepantasan ke pasaran dalam satu pengalaman yang serba lengkap.
Koleksi Splash yang besar dapat menyediakan satu kronikel yang terdiri daripada beberapa detik paling ikonik sejak tiga dekad yang lalu – daripada imej perkahwinan George Clooney dan Amal Alamuddin pada tahun 2014 di Venice, kepada gambar "Bennifer" sewaktu mereka bercinta pada tahun 2002. Sebuah arkib yang berkembang pesat dengan lebih 27 juta imej menyertai arkib Shutterstock Editorial yang mengandungi lebih 60 juta aset, menjadikannya sebagai salah sebuah arkib foto dan video Editorial terbesar dalam industrinya. Ini digabungkan dengan perkhidmatan khusus daripada pasukan pakar pasaran untuk menyediakan kisah trend utama, kandungan arkib dan UGC bagi membantu pelanggan global kami menceritakan kisah di sebalik cerita tersebut.
Sejak penubuhannya pada tahun 1990, Splash telah membina pengiktirafan dan kepercayaan jenama yang kukuh dalam industri hiburan. Selama lebih tiga dekad, Splash telah membangun dan mengembangkan rangkaian penyumbang yang setia dengan lebih 4,000 orang jurugambar aktif di seluruh dunia yang memuat naik lebih 20,000 aset setiap hari. Ia digabungkan dengan lebih 20,000 imej yang dimuat naik setiap hari di seluruh Shutterstock Editorial.
"Splash telah diperakui selama beberapa dekad sebagai yang terbaik dalam perniagaan bagi kandungan premium melibatkan selebriti dan hiburan, dan dengan pengambilalihan ini, Shutterstock akan dapat menerajui kategori hiburan," kata Jamie Elden, Ketua Pegawai Pendapatan Shutterstock. "Penambahan Splash ke dalam Newsroom akan menyediakan para pelanggan global kami dengan pengalaman yang tiada tandingan melalui perkhidmatan kerja rencam kami yang unik, liputan acara kami yang komprehensif dan penawaran salah sebuah koleksi arkib yang terbesar di dunia."
Splash ialah sebuah jenama yang kukuh dan dihormati yang telah menampilkan beberapa detik budaya pop yang paling signifikan dan kami teruja untuk mengalu-alukan kedatangan mereka ke dalam keluarga Shutterstock," kata Candice Murray, Naib Presiden Editorial Shutterstock. "Penggabungan antara Splash, sebuah jenama warisan yang dihormati, dan Shutterstock Newsroom, sebuah penawaran perkhidmatan premium yang dipertingkatkan, akan membolehkan kami meningkatkan skala hiburan kami. Dengan penggabungan ini, kami meletakkan kedudukan Shutterstock sebagai peneraju pasaran untuk hiburan, menyediakan pangkalan pelanggan global kami dengan kandungan editorial yang terbaik."
Terma-terma urus niaga ini tidak didedahkan.
Tentang Shutterstock, Inc.
Shutterstock, Inc. (NYSE: SSTK), ialah sebuah platform kreatif global yang terkemuka untuk syarikat-syarikat media dan jenama transformasi. Secara terus dan melalui anak syarikat kumpulannya, koleksi komprehensif Shutterstock termasuk gambar, vektor, vektor, model 3D, video dan muzik berlesen yang berkualiti tinggi. Bekerjasama dengan komunitinya yang semakin berkembang dengan lebih 2 juta penyumbang, Shutterstock menambah ratusan ribu imej setiap minggu dan pada masa ini mempunyai lebih 405 juta imej dan lebih 25 juta klip video yang tersedia.
Beribu pejabat di Bandar Raya New York, Shutterstock mempunyai banyak pejabat di seluruh dunia serta pelanggan di lebih 150 buah negara. Syarikat ini juga memiliki Splash News, sebuah agensi berita hiburan terkemuka di dunia untuk bilik berita dan syarikat media di seluruh dunia, Pond5, sebuah pasaran video terbesar di dunia, TurboSquid, sebuah pasaran kandungan 3D yang terbesar di dunia, PicMonkey, sebuah platform penyuntingan imej dan reka bentuk grafik dalam talian yang terkemuka; Offset, sebuah koleksi imej mewah; Shutterstock Studios, sebuah kedai kreatif tersuai serba lengkap; PremiumBeat, sebuah pustaka muzik tanpa royalti yang telah dipilih susun; Shutterstock Editorial, satu sumber utama bagi video dan imej editorial untuk media di seluruh dunia; Amper Music, sebuah platform muzik yang dipacu Kecerdasan Buatan (AI); dan Bigstock, sebuah penawaran bekalan media berorientasikan nilai.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.shutterstock.com dan ikuti Shutterstock di Twitter dan di Facebook.
PERNYATAAN BERPANDANGAN KE HADAPAN
Siaran akhbar ini mengandungi pernyataan berpandangan ke hadapan mengikut takrifan Akta Pembaharuan Litigasi Sekuriti Swasta 1995. Semua pernyataan selain daripada pernyataan fakta sejarah merupakan pernyataan berpandangan ke hadapan. Contoh-contoh pernyataan berpandangan ke hadapan termasuk tetapi tidak terhad kepada, pernyataan yang berkaitan panduan, prospek industri, perniagaan pada masa hadapan, hasil operasi atau keadaan kewangan pada masa hadapan, dividen masa hadapan, keupayaan kami untuk melengkapkan pengambilalihan dan menyepadukan perniagaan yang telah kami ambil alih atau mungkin diambil alih ke dalam operasi kami yang sedia ada, ciri-ciri, produk atau perkhidmatan baharu atau yang dirancang, strategi pengurusan, kedudukan kami yang kompetitif dan pandemik COVID-19. Anda boleh mengenal pasti pernyataan berpandangan ke hadapan melalui perkataan-perkataan seperti "mungkin," "akan," "boleh jadi," "harus," "boleh," "jangka," "sasar," "harap," "percaya," "anggar," "hasrat," "rancang," "ramal," "unjur," "ingin," "potensi," "peluang" dan ungkapan lain yang serupa serta versi negatif bagi ungkapan tersebut. Namun, tidak semua pernyataan berpandangan ke hadapan mengandungi perkataan-perkataan ini. Pernyataan berpandangan ke hadapan adalah tertakluk kepada pelbagai risiko, ketidakpastian dan faktor lain yang diketahui dan tidak diketahui yang boleh menyebabkan keputusan sebenar berbeza secara material daripada yang dinyatakan atau tersirat dalam pernyataan berpandangan ke hadapan yang terkandung di sini. Risiko dan ketidakpastian sedemikian termasuk, antara lain, yang dibincangkan di bawah kapsyen "Faktor Risiko" dalam Laporan Tahunan kami yang paling terkini pada Borang 10-K serta dalam dokumen lain yang mungkin difailkan oleh Syarikat dari semasa ke semasa dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa. Akibat daripada risiko, ketidakpastian dan faktor sedemikian, keputusan sebenar Shutterstock mungkin berbeza secara material daripada sebarang hasil, prestasi atau pencapaian masa depan yang dibincangkan atau tersirat dalam pernyataan berpandangan ke hadapan yang terkandung di sini. Pernyataan berpandangan ke hadapan yang terkandung dalam siaran akhbar ini adalah tepat hanya pada tarikh ini dan Shutterstock tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini maklumat yang disertakan dalam siaran akhbar ini atau menyemak semula mana-mana pernyataan berpandangan ke hadapan, sama ada hasil daripada maklumat baharu, perkembangan pada masa hadapan atau sebaliknya, kecuali jika dikehendaki oleh undang-undang.
Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1827955/couUeZ9x.jpg?p=medium600
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1075411/shutterstock_Logo.jpg?p=medium600