![]() |
Pelaburan adalah untuk Mempercepat Pertumbuhan dan Pengembangan Global Syarikat serta Memacu Inovasi Kulinari Selanjutnya
STERLING, Virginia dan BOSTON, Massachusetts, 6 Jun 2022 /PRNewswire/ -- Cuisine Solutions Inc., peneraju dan perintis makanan premium sous vide global, hari ini mengumumkan pelaburan bernilai $250 juta daripada Bain Capital untuk mempercepat pertumbuhan dan pengembangan global syarikat ini. Pelaburan minoriti ini akan memantapkan lagi dominasi Cuisine Solutions dalam kategori sous vide, menyediakan sumber tambahan untuk menyokong inovasi produk yang dipercepat dan memperluas perniagaan di peringkat tempatan dan antarabangsa serta jejak pembuatan global selain Amerika Syarikat, Perancis dan Thailand.
Cuisine Solutions akan terus beroperasi di bawah kepemimpinan pasukan pengurusan sedia ada yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Felipe Hasselmann, dan Pengerusi, Stanislas Vilgrain, yang kekal sebagai pemilik penting dalam perniagaan ini selain keluarga Vilgrain yang mengekalkan kawalan kepentingan syarikat ini.
Beribu pejabat di Sterling, Virginia, Cuisine Solutions merupakan sebuah syarikat sous vide terbesar di dunia serta rakan kongsi inovasi kulinari yang terkemuka dengan lokasi di Amerika Utara, Eropah, Timur Tengah dan Asia. Diiktiraf oleh jurumasak dan dapur terbaik di dunia, syarikat tersebut merupakan peneraju dalam pengeluaran dan buah fikiran bagi teknik masakan perlahan inovatif yang dirintis, disempurnakan dan dipopularkan oleh syarikat ini. Cuisine Solutions menyediakan produk makanan sous vide kepada pelanggan perkhidmatan makanan dalam sektor pengangkutan, ketenteraan dan peruncitan di seluruh dunia termasuk Amtrak, Costco, Dunkin', Hilton Hotels & Resorts, Panera, Starbucks serta pelbagai peneraju industri yang lain.
"Masa depan kami, walaupun cerah sejak sebelum bermulanya kerjasama strategik ini, kini semakin menarik kerana kami dapat melihat laluan yang jelas dan ketara untuk memacu pertumbuhan dan pengembangan melalui inovasi yang berterusan dalam pelbagai kategori produk," kata Hasselmann. "Kami berbangga menjadi peneraju dalam seni dan sains sous vide, yang menjadi penyelesaian kepada pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pelanggan kami di dalam dan di luar dapur. Pelaburan ini akan membolehkan kami meningkatkan infrastruktur pembuatan, kerjasama perniagaan serta mengukuhkan rantaian bekalan kami di seluruh dunia dengan pantas, lantas mewujudkan skala tambahan bagi memenuhi keperluan rakan kongsi global yang semakin meningkat yang bergantung kepada produk kami setiap hari di berpuluh-puluh ribu lokasi."
"Visi saya ketika mengasaskan Cuisine Solutions adalah untuk menjadi pengeluar dan penginovasi makanan terbaik dalam bidang kami, menjalinkan kerjasama terbaik dan mempunyai reputasi yang menunjukkan ciri-ciri tersendiri melalui kualiti, skala dan inovasi kami," kata Vilgrain. "Dengan penglibatan Bain Capital sebagai firma pelaburan berkaliber yang bertaraf dunia, visi kami menjadi pendorong bagi kejayaan misi asal kami serta masa depan industri kami yang amat menarik. Saya amat berbangga dengan pencapaian kami yang bermula dengan perniagaan kecil-kecilan pada tahun 1990 hingga ke hari ini dan tidak sabar untuk membina sebuah syarikat makanan yang terkemuka dan inovatif pada masa hadapan bersama-sama Bain Capital."
"Stanislas, Felipe dan pasukan pengurusan telah melakukan tugas yang luar biasa dalam membangunkan Cuisine Solutions menjadi peneraju yang penting dalam pasaran sous vide yang berkembang pesat serta diiktiraf oleh kebanyakan jurumasak terbaik di dunia. Rangkaian inovasi kulinari syarikat yang unik menawarkan konsistensi dan kualiti yang lebih tinggi, keselamatan makanan yang lebih baik serta kos yang lebih rendah yang turut menguntungkan pelanggan mereka dalam suasana makroekonomi masa kini," kata Cristian Jitianu, Pengarah Urusan Bain Capital. "Kami teruja dapat bekerjasama dengan Cuisine Solutions dan menyokong rancangan pertumbuhan pasukan pengurusan yang terlibat sambil meningkatkan lagi cadangan nilai rakan kongsi inovasi kulinari yang menjadi pilihan restoran cip biru, sektor peruncitan, perjalanan dan jenama hospitaliti ini," tambah Jeffrey Chung, Pengarah Bain Capital.
Bain Capital mempunyai sejarah yang panjang dari segi kerjasama dengan syarikat-syarikat dalam industri pengguna, jualan runcit dan restoran yang mempercepat pertumbuhan. Restoran, perkhidmatan makanan dan pelaburan berkaitan kedai serbaneka firma ini merangkumi Advantage Solutions (NASDAQ: ADV), Bloomin' Brands (NASDAQ: BLMN), Brakes Group Food Distribution, Burger King (NYSE: QSR), Dessert Holdings, Dunkin' Brands Inc., Domino's Pizza (NYSE: DPZ), Gail's Bakery, Retail Zoo, Skylark Restaurants dan Valeo Foods.
Urus niaga ini dijangka dimuktamadkan pada suku kedua tahun 2022 tertakluk kepada syarat penyelesaian yang lazim.
Moelis & Company LLC bertindak sebagai penasihat kewangan eksklusif dan ejen penempatan tunggal manakala McDermott Will & Emery bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada Cuisine Solutions berkaitan urus niaga tersebut. BofA Securities bertindak sebagai penasihat kewangan manakala Kirkland and Ellis bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada Bain Capital.
Tentang Cuisine Solutions
Dipimpin oleh sepasukan jurumasak antarabangsa yang memenangi anugerah, Cuisine Solutions ialah pengeluar produk sous vide yang terkemuka di dunia — teknik memasak perlahan yang inovatif dan tepat yang dirintis, disempurna dan dipopularkan oleh Syarikat ini sepanjang beberapa dekad yang lalu. Terkenal dengan inovasinya, Syarikat ini telah melancarkan produk sous vide dalam pelbagai spektrum kategori yang luas – termasuk protein, sos, produk berasaskan bijirin dan tumbuhan serta snek berasaskan telur 'egg bite' yang sangat popular. Item sous vide yang dipasteur menawarkan jangka hayat rak selama 18 bulan dalam bentuk sejuk beku, enam hari apabila dinyahbeku dan boleh dibakar dalam ketuhar dalam masa beberapa minit sahaja. Ini membolehkan perniagaan perkhidmatan makanan dan tukang masak di rumah menjimatkan masa, memudahkan segala kesulitan yang menjadi cabaran dalam rantaian bekalan serta merupakan penyelesaian yang sempurna untuk mengurangkan pembaziran dan kos buruh dengan ketara. Beribu pejabat di Sterling, Virginia, Cuisine Solutions memberikan perkhidmatan kepada lebih 22,000 buah restoran dan 6,000 peruncit, serta syarikat penerbangan dan hotel utama. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cuisinesolutions.com.
Tentang Sous Vide
Sous vide – perkataan Perancis untuk "dalam vakum" - ialah teknik memasak yang inovatif dengan makanan yang dikedapkan dalam bekas vakum serta perlu dipanaskan dalam air sehingga ia masak dengan sempurna. Pada tahun 1971, Dr. Bruno Goussault (yang kemudiannya menjadi Ketua Saintis Cuisine Solutions) membangunkan sous vide sebagai satu cara untuk menambah baik tekstur dan rasa sambil mengekalkan integriti semula jadi makanan yang dimasak. Dr. Goussault mendapati bahawa pendekatan sous vide – dengan makanan dimasak perlahan-lahan pada suhu yang rendah sedikit daripada biasa dalam kantung vakum kedap yang direka khas - menghasilkan peningkatan rasa yang ketara dan mengurangkan pengecutan makanan berbanding kaedah memasak konvensional. Warisan Cuisine Solutions dalam sous vide – serta inovasi yang berterusan dalam sains – telah membolehkan Syarikat ini menyampaikan produk berkualiti restoran secara konsisten yang dipercayai dan digemari oleh jurumasak terkemuka serta para penggemar makanan yang bijak menilai di seluruh dunia.
Tentang Bain Capital
Bain Capital, LP ialah salah sebuah firma pelaburan swasta alternatif berbilang aset yang terkemuka di dunia yang mewujudkan impak berpanjangan kepada para pelabur, pasukan, perniagaan dan komuniti tempat kita tinggal. Sejak penubuhan kami pada tahun 1984, kami telah menerapkan pemahaman dan pengalaman kami untuk berkembang secara organik dalam pelbagai kelas aset termasuk ekuiti swasta, kredit, ekuiti awam, modal teroka, hartanah dan bidang tumpuan strategik yang lain. Firma ini mempunyai pejabat di empat buah benua dengan lebih 1,300 orang pekerja serta mengurus aset bernilai kira-kira $160 bilion. Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari www.baincapital.com.
Hubungan Media:
Untuk Cuisine Solutions
R. Couri Hay / Denise Finnegan
R. Couri Hay, Perhubungan Awam Kreatif
Couri@rcourihaycpr.com | Denise@rcourihaycpr.com
212-580-0835
Untuk Bain Capital
Scott Lessne / Charlyn Lusk Stanton
(646) 502-3569 / (646) 502-3549
slessne@stantonprm.com / clusk@stantonprm.com
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1470817/Cuisine_Solutions_Logo.jpg?p=medium600