omniture

Dematic Mempercepat Inovasi Rantaian Bekalan dengan Google Cloud

Dematic
2022-06-06 20:23 126

Transformasi & Kerjasama Digital Memanfaatkan Kekuatan Rakan Kongsi bagi Menyelesaikan Kerumitan yang Semakin Meningkat dalam Pemenuhan dan Rantaian Bekalan

ATLANTA, Georgia dan SUNNYVALE, California, 6 Jun 2022 /PRNewswire/ -- Dematic – sebuah anak syarikat penyedia intralogistik global, KION Group – hari ini mengumumkan sebuah kerjasama untuk mengubah industri rantaian bekalan melalui inovasi awan yang dipercepat. Dematic menyasarkan untuk meningkatkan daya ketahanan rantaian bekalan dan menyampaikan penyelesaian ke pasaran melalui penggabungan kepakaran rantaian bekalan Dematic dengan teknologi awan, Kecerdasan Buatan (AI) dan Pembelajaran Mesin (ML) Google Cloud yang canggih.

Rakan kongsi ini akan bergabung tenaga untuk memanfaatkan pembelajaran bersama yang akan mendorong inovasi awan dengan pantas. Dengan memindahkan tawaran Dematic ke awan serta memperkenalkan AI dan ML, Dematic akan menambah baik pelaksanaan rantaian bekalan pelanggan.

"Kerjasama ini merupakan kesinambungan kerjasama kami yang amat berharga dengan pasukan Google Cloud yang berminat untuk membantu kami membina dan menguji penyelesaian pengurusan gudang generasi seterusnya yang menjadikan perikatan ini suatu padanan yang sempurna bagi strategi pertumbuhan kami. Melalui kerjasama ini, kami membantu para pelanggan kami memajukan kedudukan mereka dalam industri ini," kata Ketua Pegawai Teknologi Dematic, Dee Cusack.

"Kami menghargai usaha Google Cloud terhadap inovasi dan komitmen untuk memperbaharui penyelesaian pelanggan kami ketika kami melakukan peralihan kami sendiri ke awan. Kami teruja untuk bersama-sama memulakan fasa perniagaan kami yang seterusnya."

Kerjasama ini akan membolehkan Dematic membangun dan menggunakan pelbagai penyelesaian termasuk pemenuhan e-Dagang dan saluran omni serta penggunaan menara kawalan untuk pasaran menegak utama termasuk Barangan Am, Barangan Runcit, Pakaian serta Makanan dan Minuman.

"Google Cloud komited untuk membantu organisasi di seluruh rantaian bekalan menangani keperluan dan jangkaan pelanggan, pembekal dan pusat pemenuhan yang berkembang pesat dengan teknologi awan," ujar Kirsten Kliphouse, Presiden Amerika Utara Google Cloud. "Kami gembira dapat bekerjasama dengan Dematic untuk menyediakan penyelesaian dan teknologi inovatif kepada para pelanggan yang akan membantu mereka menangani perubahan di seluruh industri dan menyokong matlamat transformasi digital mereka dengan pantas."

Dengan Google Cloud, para pelanggan Dematic akan dapat mewujudkan rantaian bekalan yang lebih lestari dengan memanfaatkan data bagi memahami kecekapan yang akan diperoleh dalam bidang seperti operasi, perancangan, buruh dan inventori. 

Tentang Dematic

Dematic mereka bentuk, membina dan menyokong penyelesaian automatik pintar yang memperkasa dan mengekalkan masa depan perdagangan kepada para pelanggannya dalam sektor pembuatan, pergudangan dan pengedaran. Dengan pusat kejuruteraan penyelidikan dan pembangunan, kemudahan pembuatan serta pusat perkhidmatan yang terletak di lebih 35 buah negara, rangkaian global Dematic yang terdiri daripada lebih 11,000 orang pekerja telah membantu mencapai kira-kira 8,000 pemasangan pelanggan di seluruh dunia untuk beberapa jenama terkemuka di dunia. Dematic yang beribu pejabat di Atlanta ialah ahli KION Group yang merupakan salah sebuah pembekal trak perindustrian dan penyedia penyelesaian rantaian bekalan terkemuka di dunia.

Tentang KION Group

KION Group merupakan antara pembekal trak perindustrian dan penyedia penyelesaian rantaian bekalan yang terkemuka di dunia. Portfolionya merangkumi trak perindustrian seperti trak forklift dan trak gudang serta penyelesaian perisian dan teknologi automasi bersepadu untuk pengoptimuman rantaian bekalan termasuk semua perkhidmatan yang berkaitan. Penyelesaian KION Group menambah baik aliran bahan dan maklumat dalam kilang, gudang dan pusat pengedaran di lebih 100 buah negara di seluruh dunia.

Kumpulan ini yang juga termasuk MDAX, merupakan pengeluar trak perindustrian terbesar di Eropah dari segi unit yang terjual pada tahun 2021. Di China, ia ialah pengeluar asing terkemuka (mengikut ukuran berdasarkan hasil pada tahun 2020) dan berada pada tempat ketiga secara keseluruhan. KION Group juga merupakan salah sebuah penyedia automasi gudang yang terkemuka di dunia (mengikut ukuran berdasarkan hasil pada tahun 2020).

Pada penghujung tahun 2021, lebih 1.6 juta trak perindustrian KION Group dan lebih 8,000 sistemnya yang dipasang telah digunakan oleh para pelanggan pelbagai saiz dan dalam pelbagai industri di enam benua. Pada masa ini, Kumpulan ini mempunyai kira-kira 40,000 orang pekerja dan memperoleh hasil kira-kira €10.3 bilion pada tahun 2021.

Imej semasa KION Group boleh didapati di pangkalan data imej kami di https://mediacenter.kiongroup.com/categories dan di laman web pelbagai jenama kami.

Penafian:

Siaran ini dan maklumat yang terkandung di sini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak membentuk sebuah prospektus atau tawaran untuk menjual atau pengumpanan tawaran untuk membeli mana-mana sekuriti di Amerika Syarikat atau dalam mana-mana bidang kuasa lain. Siaran ini mengandungi pernyataan berpandangan ke hadapan yang tertakluk kepada pelbagai risiko dan ketidakpastian. Keputusan masa depan mungkin berbeza secara material daripada yang diterangkan dalam pernyataan berpandangan ke hadapan ini disebabkan oleh faktor-faktor tertentu, sebagai contoh, perubahan situasi perniagaan, ekonomi dan daya saing (termasuk yang berkaitan dengan perkembangan selanjutnya berhubung pandemik COVID-19), pembaharuan kawal selia, hasil kajian teknikal, turun naik kadar tukaran wang asing, ketidakpastian dalam proses litigasi atau siasatan dan ketersediaan pembiayaan. Kami tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini pernyataan berpandangan ke hadapan dalam siaran ini.

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1832660/Dematic_Google_Partnership_Logo.jpg?p=medium600

 

Source: Dematic
Keywords: Computer Software Computer/Electronics Contracts