omniture

Vayyar Imaging Memperoleh $108 juta dalam Pembiayaan Siri E yang Diketuai oleh Koch Disruptive Technologies

Vayyar Imaging
2022-06-06 21:00 147

Syarikat peneraju radar pengimejan 4D global mengembangkan rangkaian pelaburnya dengan kerjasama dan kontrak pembekalan baharu.

  • Koch Disruptive Technologies (KDT) mengetuai kumpulan pelabur sedia ada serta pelabur baharu, iaitu GLy Capital Management dan Atreides Management LP.
  • Pembiayaan ini menggambarkan rentetan kejayaan komersial Vayyar baru-baru ini termasuk urus niaga dengan Amazon, Piaggio, HCH Ventures dan banyak lagi.
  • Syarikat semikonduktor Israel ini merupakan pembekal radar pengimejan 4D terkemuka bagi sektor automotif dan penjagaan warga emas dengan menghasilkan penderia mampu milik yang menyediakan fungsi pengesanan dan pemantauan dalam semua keadaan, sambil memastikan privasi yang sentiasa terpelihara.
  • Pembiayaan baharu ini akan membolehkan Vayyar meningkatkan keupayaan Pembelajaran Mesin serta Pembelajaran Mendalam miliknya, sekali gus memacu pertumbuhan di seluruh rangkaian menegak termasuk keselamatan awam, perubatan, robotik dan peruncitan serta memperluas jangkauannya ke lokasi geografi tambahan.

TEL AVIV, Israel, 6 Jun 2022 /PRNewswire/ -- Vayyar Imaging, peneraju global dalam pengimejan radar 4D, hari ini mengumumkan bahawa ia telah memuktamadkan pusingan pembiayaan Siri E bernilai USD108 juta yang diketuai oleh Koch Disruptive Technologies (KDT) dengan jumlah pembiayaan syarikat secara keseluruhan melebihi USD300 juta.

 

Pusingan baharu ini merangkumi pelabur kali pertama Vayyar iaitu GLy Capital Management dan Atreides Management LP bersama-sama dengan pelabur sedia ada termasuk KDT, Battery Ventures, Bessemer Ventures, More VC, Regal Four dan Claltech. Bagi menyokong jangkauan pelabur di China, Vayyar melantik China International Capital Corporation Limited (CICC) sebagai penasihat kewangan utamanya.

Vayyar yang pada asalnya ditubuhkan dengan wawasan untuk mengesan kanser payudara peringkat awal menggunakan teknologi RF, telah mengembangkan perniagaannya sejak itu ke sektor penjagaan warga emas, automotif, peruncitan, keselamatan awam serta industri lain. Syarikat tersebut menyediakan penyelesaian yang dikuasakan oleh sistem berasaskan cip, rangkaian perisian proprietari dan algoritma Pembelajaran Mesin rintis yang canggih.

Dalam bidang automotif, Vayyar mengeluarkan platform berasaskan radar pengimejan 4D yang mengubah keselamatan seluruh domain dalam kabin, ADAS dan motosikal (ARAS). Platform ARAS syarikat ini sedang dikeluarkan secara besar-besaran untuk digunakan pada motosikal Piaggio Group yang memberi keselamatan luar biasa kepada para pengguna jalan raya yang paling berisiko di dunia. Vayyar juga telah memperoleh kontrak pembekalan dengan pengeluar automobil dari Jepun dan Vietnam serta sedang menjalankan urus niaga lanjutan dengan hampir setiap OEM serta pembekal lain bagi kedua-dua domain dalam kabin dan ADAS.

Dalam sektor penjagaan warga emas, syarikat ini menawarkan Vayyar Care, satu penyelesaian pemantauan jarak jauh yang unik yang disepadukan dengan sistem panggilan jururawat terkemuka di dunia bagi melindungi populasi warga emas dengan pengesanan jatuh secara automatik dan data yang mendorong analisis tingkah laku ramalan. Vayyar baru-baru ini menandatangani perjanjian Usaha Sama dengan anak syarikat Haier iaitu HCH Ventures bagi memanfaatkan teknologi penjagaan warga emasnya dalam mengendalikan pasaran "silver tech" atau teknologi warga emas bernilai 4 trilion yuan (USD625 bilion) di China. Vayyar juga telah menjalinkan kerjasama berskala besar dengan Amazon untuk pemantauan kesihatan, keselamatan dan perlindungan secara jarak jauh.

"KDT teruja untuk membantu memajukan visi Vayyar dalam meningkatkan kesihatan serta keselamatan kehidupan orang ramai pada skala global," kata Brett Chugg, Pengarah Urusan Kanan KDT. "Teknologi pengimejan 4D mereka mengubah pasaran perubatan, kediaman pintar, penjagaan warga emas dan automotif di A.S. dan juga di seluruh dunia. Kami tidak sabar untuk membantu mempercepat pertumbuhan mereka yang berterusan ini."

Selepas membuka pejabat baharu di lima wilayah tambahan termasuk Jepun dan China, Vayyar akan terus mengembangkan aktivitinya merentasi pelbagai rangkaian menegak serta memperkenalkan beberapa penyelesaian pengimejan didayakan Pembelajaran Mesin yang disepadukan dengan penyelesaian bangunan pintar, robotik, peruncitan serta keselamatan awam yang terkemuka di dunia.

"Kami gembira dan berbangga dapat meningkatkan kerjasama kami dengan para pelabur sedia ada termasuk KDT serta pelabur tambahan yang bekerjasama dengan kami buat kali pertama," kata Raviv Melamed, Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Vayyar Imaging. "Dalam suatu tempoh yang mencabar bagi ekonomi global, pusingan pembiayaan baharu ini merupakan sokongan yang jelas terhadap misi kami dan merupakan pilihan yang jelas lagi meyakinkan terhadap kekuatan teknologi kami serta ketangkasan strategik organisasi kami."

Dengan aliran jualan akan datang yang kukuh serta portfolio paten bertaraf dunia, Vayyar akan terus mengukuhkan kepemimpinannya dalam rangkaian menegak utama, memperluas aktivitinya dalam industri tambahan serta menambah penampilan fizikalnya di seluruh Amerika, EMEA dan Asia Timur.

Tentang Koch Disruptive Technologies 

Koch Disruptive Technologies (KDT) ialah sebuah firma pelaburan unik yang bekerjasama dengan usahawan berprinsip yang membangunkan syarikat-syarikat transformatif. KDT menyediakan pendekatan pelaburan pelbagai peringkat yang fleksibel. KDT bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang boleh membantu Koch mengubah keupayaannya, memperbaharui perniagaannya yang sedia ada mahupun berkembang ke platform baharu. KDT merupakan anak syarikat Koch Industries, salah sebuah syarikat milik persendirian yang terbesar di dunia dengan anggaran pendapatan melebihi USD125 bilion dan beroperasi di lebih 70 buah negara. KDT membantu rakan kongsinya memanfaatkan potensi penuh mereka dengan membawa keupayaan serta rangkaian penuh Koch kepada mereka, sekali gus menyusun struktur penyelesaian modal yang unik serta mengamalkan pemikiran jangka panjang yang memberi manfaat bersama.

Tentang Vayyar Imaging 

Vayyar, sebuah syarikat peneraju global dalam radar pengimejan 4D, membekalkan platform radar pada cip yang paling canggih di dunia untuk mengumpul data penting dalam kehidupan, menyediakan penyelesaian untuk penjagaan warga emas, automotif, keselamatan, kediaman pintar, robotik dan banyak lagi, sambil mengekalkan privasi pada setiap masa. Misi Vayyar adalah untuk menyampaikan teknologi penderiaan generasi seterusnya yang kecil, mampu milik dan serba boleh untuk memberi kesan kepada kehidupan orang ramai serta mewujudkan dunia yang lebih selamat.

Sila layari vayyar.com untuk mengetahui lebih lanjut.

Video - https://mma.prnasia.com/media2/1831083/Vayyar_Series_E.mp4

 

 

Source: Vayyar Imaging
Keywords: Auto Banking/Financial Service Computer/Electronics Electronic Design Automation Semiconductors Transportation Venture Capital