omniture

Penggantian Kepemimpinan Mars: Grant F. Reid akan menyerahkan tampuk pimpinan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif setelah hampir sedekad capai pertumbuhan, impak dan transformasi luar biasa. Poul Weihrauch akan ambil alih tugas bermula akhir September.

Mars, Incorporated
2022-06-24 03:13 168
  • Ketua Pegawai Eksekutif Mars, Grant F. Reid telah mengambil keputusan untuk bersara dari Mars selepas lebih 8 tahun memegang jawatan & 34 tahun bersama-sama perniagaan tersebut. Di bawah kepemimpinan beliau, Mars telah menyaksikan pertumbuhan & transformasi yang belum pernah berlaku sebelum ini dan digabungkan dengan tumpuan kepada kelestarian dan tujuan serta pengembangan yang ketara ke dalam bidang baharu termasuk perkhidmatan kesihatan veterinar. 
  • Poul Weihrauch, Presiden Global Mars Petcare pada masa ini akan mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bermula pada akhir bulan September. 
  • Reid yang akan kekal dengan Mars hingga akhir tahun ini telah memaklumkan Ahli Lembaga Pengarah tentang keputusannya untuk meninggalkan syarikat tersebut sejak 18 bulan yang lalu dan telah bekerjasama dengan Ahli Lembaga Pengarah bagi memastikan penggantian jawatan yang lancar dan teratur.
  • Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Mars, Frank Mars memberi penghormatan kepada legasi "luar biasa" Reid yang membawa kepemimpinan beliau dalam tindakan iklim & kelestarian di peringkat global. 

MCLEAN, Virginia, 24 Jun 2022 /PRNewswire/ -- Ketua Pegawai Eksekutif Mars, Grant F. Reid telah mengumumkan bahawa beliau akan menyerahkan tampuk pimpinan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif setelah menerajui perniagaan tersebut melalui suatu tempoh pertumbuhan, impak dan transformasi yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Grant F. Reid
Grant F. Reid

Reid – yang akan kekal di Mars hingga akhir tahun ini – telah memaklumkan Ahli Lembaga Pengarah tentang hasrat beliau untuk bersara daripada Mars sejak 18 bulan yang lalu dan telah terlibat dengan erat dalam membantu memastikan proses penggantian jawatan yang terbaik. Beliau telah memegang jawatan tersebut sejak tahun 2014. Poul Weihrauch, Presiden Global Mars Petcare akan mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang berkuat kuasa pada akhir bulan September.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Mars, Frank Mars memberi penghormatan kepada "legasi luar biasa" Reid menyebut tentang pencapaian beliau yang teramat banyak – menggabungkan prestasi dengan tujuan, memberikan pertumbuhan yang lestari, meningkatkan keupayaan digital Mars, membina jenama ikoniknya dan berkembang ke bidang yang lebih baharu seperti kesihatan veterinar, perkhidmatan haiwan peliharaan dan snek yang sihat. Mars mengatakan bahawa hasilnya, jualan telah berkembang melebihi 50% kepada hampir $45 bilion semasa di bawah kepimpinan Reid dan bilangan Rakan Sekutu telah meningkat daripada 60,000 kepada lebih 140,000 orang.

Frank Mars menambah: "Walaupun beliau terlalu merendah diri untuk mengakuinya namun hakikatnya transformasi dan pertumbuhan rekod kami yang besar sebagai sebuah perniagaan tidak akan berjaya dicapai tanpa kepemimpinan Grant. Beliau dengan jelas telah melaksanakan prinsip kami dan menerapkan tujuan sebagai asas strategi perniagaan syarikat kami. Keluarga Mars amat berterima kasih atas dedikasi dan perkhidmatan beliau.

"Beliau telah menjadi tonggak kekuatan yang membantu kami menetapkan hala tuju baharu dan mendorong kami melangkaui batasan potensi kami. Beliau telah mewakili Mars di peringkat global terutamanya yang berkaitan dengan perubahan iklim serta memastikan syarikat kami dikenali disebabkan tindakan yang diambil dan bukan hanya sekadar membuat komitmen.

"Kami akan amat merindui kepemimpinan beliau yang berprinsip, semangat kerjasama yang tinggi serta gaya yang menarik dan – terutamanya – jenaka Scotland beliau yang bersahaja."

Sebuah Legasi Hebat

Reid berkata: "Ia merupakan suatu penghormatan dapat memimpin pasukan Mars dan bekerjasama rapat dengan Keluarga Mars. Kita telah membangun berdasarkan kekuatan teras kita dan bergerak ke bidang baharu yang seterusnya meletakkan perniagaan ini untuk masa depan yang cemerlang dan lestari. Tetapi perbezaan terbesar yang kita lakukan bermula dengan 140,000 orang Rakan Sekutu kita, beratus-ratus komuniti di lokasi kita beroperasi dan berbilion-bilion pengguna yang kita berikan perkhidmatan. Saya berbangga kerana walaupun menghadapi cabaran seperti pandemik global, kita tidak pernah hilang tumpuan terhadap laluan strategik atau cita-cita kita untuk membantu mewujudkan dunia yang kita mahukan di masa depan – serta mendorong tujuan dan juga prestasi. Semua ini boleh dicapai dengan mencabar diri kita untuk memberikan rantaian bekalan yang benar-benar sifar bersih karbon, memastikan bahan mentah kita yang paling memberi impak seperti sawit adalah bebas daripada pembasmian hutan atau berinovasi dengan penyelesaian pembungkusan untuk membantu memastikan produk kita tidak berakhir menjadi bahan buangan."

Beliau menambah: "Setelah bekerjasama rapat dengan Poul selama bertahun-tahun, saya menganggap beliau dan keluarganya sebagai sahabat karib. Saya amat teruja dengan masa depan perniagaan ini di bawah kepemimpinan beliau dan mengucapkan tahniah kepada beliau atas pelantikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang luar biasa ini."   

Reid dan Weihrauch telah bekerjasama erat selama beberapa bulan untuk memastikan proses penggantian jawatan yang lancar dan teratur bagi mengekalkan momentum perniagaan yang agak besar. Reid akan terus mewakili Mars hingga akhir tahun 2022 termasuk di acara penting seperti UNGA/Minggu Iklim, COP27 dan banyak lagi.

Mulai tahun hadapan dan seterusnya, Reid akan meluangkan lebih banyak masa untuk mengikut minat beliau sebagai pejuang tindakan iklim, agenda kelestarian dan memainkan peranan yang lebih luas untuk perniagaan dalam masyarakat.

Fasa Mars Seterusnya

Poul Weihrauch akan mengambih alih jawatan daripada Reid bermula pada akhir bulan September. Beliau telah bekerja pada banyak bahagian perniagaan sejak menyertai syarikat ini pada tahun 2000 sebagai ketua jenama Eropah untuk Snickers. Setelah menerajui perniagaan Mars Food, beliau kemudiannya menjadi Presiden Global Petcare pada tahun 2014 dan pada masa itu beliau telah menyelia pertumbuhan dan kepelbagaian yang signifikan dalam kesihatan veterinar, diagnostik, data dan platform serta menggandakan saiz perniagaan. Weihrauch juga telah mendorong fokus dan pelaburan yang besar ke dalam agenda kelestarian Petcare.

Frank Mars berkata: "Saya telah mengenali Poul selama 22 tahun dan bekerjasama rapat dengan beliau selama 10 tahun yang lalu serta saya yakin beliau akan menjadi pemimpin yang hebat bagi peringkat perkembangan syarikat kita yang seterusnya.

"Beliau terkenal dengan gaya kepimpinan yang penuh inspirasi dan inklusif, atas kejayaan mengembangkan perniagaan dan memperbaharui jenama serta komitmen beliau yang mendalam terhadap penglibatan dan pembangunan Rakan Sekutu. Berikutan keputusan Grant tersebut, Ahli Lembaga Pengarah dan saya amat berbesar hati kerana dapat melantik seorang pemimpin Mars yang begitu hebat dan yakin bahawa Poul akan melindungi legasi syarikat kita sambil memimpin kita menuju masa depan yang cerah dan menarik."

Weihrauch berkata: "Saya berbesar hati dan terharu dengan peluang yang diberikan ini untuk berkhidmat kepada organisasi ini dan 140,000 orang Rakan Sekutu Mars. Ini merupakan sebuah syarikat luar biasa yang telah menunjukkan secara konsisten bahawa melakukan perkara yang baik merupakan perniagaan yang baik. Hubungan ini yang akan memastikan kita untuk terus menyampaikan prestasi dan pertumbuhan yang lestari.  

"Kita berada pada masa yang mencabar tetapi saya seorang yang optimis dan saya percaya bahawa kuasa perniagaan mempunyai kesan yang positif dan khususnya, kebebasan yang kita ada di Mars dalam melakukan perkara yang betul untuk Rakan Sekutu kita dan dunia di mana kita beroperasi."

Beliau menambah: "Saya mengucapkan terima kasih atas persahabatan, nasihat dan kerjasama beliau selama bertahun-tahun dan mengucapkan tahniah kepada beliau atas kerjaya beliau yang luar biasa di Mars. Terima kasih yang banyak turut diucapkan kepada Ahli Lembaga Pengarah kerana mempercayai saya untuk menerajui fasa perkembangan dan pertumbuhan syarikat ini yang seterusnya."

Disebabkan pelantikan Weihrauch tersebut, Mars hari ini turut mengumumkan satu siri pelantikan pimpinan kanan berikutnya. Loic Moutault, Presiden Royal Canin akan menjadi Presiden Mars Global Petcare dan Cecile Coutens akan mengambil alih jawatan sebagai Presiden Global Royal Canin.

Tentang Mars, Incorporated 

Selama lebih satu abad, Mars, Incorporated telah didorong oleh kepercayaan bahawa dunia yang kita mahukan esok bermula dengan cara kita menjalankan perniagaan pada hari ini. Tujuan yang sama ini menyatukan Rakan Sekutu kami yang berjumlah lebih 140,000 orang. Ia menjadi teras kepada kedudukan syarikat ini sekarang sebagai sebuah perniagaan global milik keluarga dan ia mendorong cara kami berubah, berinovasi dan berkembang untuk memberi kesan positif kepada dunia. 

Setiap tahun, portfolio kami yang pelbagai dan meluas bagi produk dan perkhidmatan konfeksioneri, makanan dan penjagaan haiwan peliharaan yang berkualiti menggembirakan berjuta-juta orang dan membantu berjuta-juta haiwan peliharaan. Dengan jualan tahunan berjumlah jampir $45 bilion, kami menghasilkan beberapa jenama popular di dunia termasuk Ben's Original™, CESAR®, Cocoavia®, DOVE®, EXTRA®, KIND®, M&M's®, SNICKERS®, PEDIGREE®, ROYAL CANIN® dan WHISKAS®.  Kami mewujudkan dunia yang lebih baik untuk haiwan peliharaan  melalui pemakanan, program inovatif dalam bidang diagnostik, pemantauan kesihatan dengan peranti boleh dipakai, ujian DNA, kebajikan haiwan peliharaan dan penjagaan veterinar yang menyeluruh dengan AniCura, BANFIELD™, BLUEPEARL™, Linnaeus dan VCA™. 

Kami tahu bahawa kami hanya boleh benar-benar berjaya sekiranya rakan kongsi dan komuniti tempat kami beroperasi turut maju. Lima Prinsip Mars – Kualiti, Tanggungjawab, Kebersamaan, Kecekapan dan Kebebasan – memberi inspirasi kepada Rakan Sekutu kami untuk bertindak pada setiap hari bagi membantu mewujudkan masa depan dunia yang lebih baik di mana planet ini, manusia dan haiwan peliharaan dapat berkembang maju. 

Untuk maklumat lanjut tentang Mars, sila layari www.mars.com. Sertai kami di FacebookTwitter, Instagram, LinkedIn dan YouTube.

Poul Weihrauch
Poul Weihrauch

 

Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1844697/MARS_GrantReid.jpg?p=medium600

Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1844698/MARS_PoulWeihrauch.jpg?p=medium600

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/74984/mars__incorporated_logo.jpg?p=medium600

Source: Mars, Incorporated
Keywords: Food/Beverages Household/Consumer/Cosmetics Retail Personnel announcements