![]() |
MUMBAI, India dan VANCOUVER, British Columbia, 14 Julai 2022 /PRNewswire/ -- Glenmark Pharmaceuticals Limited (Glenmark), sebuah syarikat farmaseutikal global yang dipacu inovasi dan SaNOtize Research and Development Corp, hari ini mengumumkan bahawa The Lancet Regional Health Southeast Asia (TLRHSEA) – jurnal berimpak tinggi bagi kajian semula setara, telah menerbitkan kejayaan hasil ujian klinikal fasa 3 bagi kajian Nitric Oxide Nasal Spray (NONS) atau Semburan Hidung Nitrik Oksida SaNOtize yang bertajuk: 'Penyingkiran pantas SARS-CoV-2 menggunakan rawatan semburan hidung nitrik oksida (NONS) baharu: Satu ujian rawak'.
https://www.thelancet.com/journals/lansea/article/PIIS2772-3682(22)00046-4/fulltext
"Kami teruja untuk menerbitkan kajian Semburan Hidung Nitrik Oksida baharu ini yang memberi kesan positif kepada kehidupan orang ramai dalam kumpulan jurnal The Lancet. Ujian dwibutaan yang mantap ini menunjukkan keberkesanan NONS yang ketara serta keselamatannya yang luar biasa. Terapi ini berpotensi untuk memberikan sumbangan yang penting bagi pengurusan COVID-19, dengan penggunaannya yang mudah dalam fasa pandemik semasa yang amat mudah menular," kata Dr. Monika Tandon, Naib Presiden Kanan & Ketua Pembangunan Klinikal Glenmark Pharmaceuticals Ltd.
Kajian ini menunjukkan bahawa pesakit yang menerima NONS telah mengalami beban virus yang berkurangan secara ketara dalam tempoh 24 jam yang dikekalkan sepanjang tujuh hari rawatan. Beban virus telah dikurangkan sebanyak 93.7% dalam masa 24 jam dan 99% dalam masa 48 jam dengan kaedah rawatan NONS. Purata perubahan beban RNA virus log mulai garis dasar hingga keseluruhan tempoh rawatan secara statistiknya adalah lebih baik dengan NONS berbanding plasebo. Hasil yang sama diperhatikan pada populasi yang divaksin dan tidak divaksin. Kajian ini dijalankan semasa penularan delta dan omicron. Titik akhir kedua utama termasuk peningkatan klinikal yang dinilai oleh Skor Skala Kemajuan Klinikal WHO dan tahap/kecepatan pemulihan virologi telah ditunjukkan pada pesakit yang menggunakan NONS. Median masa untuk penyembuhan virologi adalah tiga hari dalam kumpulan NONS dan tujuh hari dalam kumpulan plasebo selepas rawatan bermula (empat hari lebih awal). Penilaian yang meneroka perkadaran bagi kontak rapat yang mempunyai ujian COVID-19 positif atau mempunyai gejala, kekal hampir sama dalam kumpulan NONS sedangkan bilangannya meningkat dalam kumpulan plasebo sepanjang tempoh rawatan.
"Keputusan hasil kajian Fasa 3 ini menunjukkan sokongan yang kuat tentang keselamatan dan keberkesanan NONS dalam rawatan COVID-19 serta variannya yang diketahui," kata Gilly Regev, PhD, Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SaNOtize. " Nitrik Oksida menyekat kemasukan ke dalam rongga hidung, membunuh virus dan menghentikan replikasinya dan inilah sebabnya beban virus dikurangkan dengan begitu pantas dengan NONS. Beban virus telah dikaitkan dengan jangkitan, hasil kesihatan yang lebih buruk serta komplikasi daripada COVID yang berpanjangan. Semakin banyak bukti yang mencadangkan bahawa NONS mewakili rawatan antivirus yang berkesan dan boleh diterima dengan baik serta memendekkan tempoh COVID-19 dengan ketara."
Reka Bentuk Kajian
Kajian ini dijalankan oleh Glenmark pada 306 orang dewasa yang divaksin dan tidak divaksin dengan gejala COVID-19 yang ringan di 20 buah tapak klinikal di India. Ujian klinikal fasa 3 rawak dwi butaan ini menilai rawatan NONS selama tujuh hari dengan penjagaan standard berbanding semburan hidung plasebo dengan penjagaan standard pada pesakit yang mengalami gejala COVID-19. Ukuran hasil utama penyingkiran pantas RNA SARS-CoV-2 daripada hidung telah digunakan untuk menilai keberkesanan NONS yang inovatif ini pada pesakit berisiko tinggi (tidak divaksin atau berumur 45 tahun atau mempunyai satu atau lebih komorbiditi) selepas tujuh hari rawatan. Penilaian yang meneroka NONS dalam pencegahan jangkitan kontak rapat pesakit COVID-19 turut dinilai.
Rawatan NONS didapati boleh diterima dengan baik, mewujudkan manfaat terapi hidung yang bertindak secara setempat. Tiada seorang pun pesakit yang melaporkan sebarang peristiwa kemudaratan sama ada sederhana atau teruk. Tiada perubahan yang ketara secara klinikal diperhatikan dari garis dasar dalam methemoglobin yang mencadangkan kekurangan ketersediaan sistemik nitrik oksida daripada semburan hidung. Selain itu, tiada gejala vasodilasi nasal atau tanda-tanda vasodilasi sistemik diperhatikan dalam kedua-dua rawatan.
Kerjasama Strategik dengan SaNOtize
Pada bulan Julai 2021, Glenmark memeterai kerjasama strategik jangka panjang yang eksklusif dengan firma bioteknologi Kanada, SaNOtize untuk mengeluarkan, memasarkan dan mengedarkan Semburan Hidung Nitrik Oksida miliknya yang unggul sebagai rawatan COVID-19 di India dan pasaran Asia lain termasuk Singapura, Malaysia, Hong Kong, Taiwan, Nepal, Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar, Sri Lanka, Timor-Leste dan Vietnam.
Kelulusan Global untuk NONS
Glenmark melancarkan NONS di bawah jenama FabiSpray® pada bulan Februari 2022 setelah menerima kelulusan pembuatan dan pemasaran daripada Ketua Pengawal Ubat-ubatan India (DCGI) sebagai sebahagian daripada proses kelulusan yang dipercepat. NONS telah menerima tanda CE di Eropah yang setara dengan kebenaran pemasaran bagi kes Peranti Perubatan. Dengan pengiktirafan tanda CE tersebut, SaNOtize dibenarkan untuk melancarkan NONS di negara-negara EU. NONS juga telah diluluskan dan dijual di Singapura, Hong Kong, Israel, Thailand, Indonesia dan Bahrain menggunakan nama enovid™ atau VirX™. Di luar India, NONS turut mendapat kelulusan di seluruh dunia untuk perlindungan virus termasuk SARS COV-2.
Logo: https://mma.prnasia.com/media2/451507/PRNE_Glenmark_Logo.jpg?p=medium600