omniture

KEHILANGAN BAU YANG BERTERUSAN AKIBAT COVID-19 BERKAITAN RAPAT DENGAN MASALAH KOGNITIF YANG BERPANJANGAN

Alzheimer’s Association
2022-08-02 20:27 90

DARIPADA PERSIDANGAN ANTARABANGSA PERSATUAN ALZHEIMER 2022 

Selain itu, Kemasukan ke ICU Boleh Menggandakan Risiko Penyakit Demensia pada Orang Dewasa yang Lebih Berusia 

SAN DIEGO, 2 Ogos 2022 /PRNewswire/ -- Cerapan baharu tentang faktor-faktor yang boleh meramal, meningkatkan atau melindungi daripada kesan COVID-19 dan pandemik itu ke atas ingatan dan kemahiran berfikir telah didedahkan oleh pelbagai kajian yang dilaporkan pada hari ini di Persidangan Antarabangsa Persatuan Alzheimer® (AAIC®) 2022 di San Diego dan secara maya.

Antara penemuan utama yang dilaporkan pada AAIC 2022 adalah:

  • Sebuah kumpulan dari Argentina mendapati bahawa kehilangan deria bau yang berterusan mungkin adalah penentu yang lebih baik bagi ketakmampuan kognitif dan fungsian jangka panjang berbanding tahap keparahan penyakit COVID-19 awal.
  • Kemasukan ke unit rawatan rapi adalah dikaitkan dengan dua kali ganda risiko bagi penyakit demensia pada orang dewasa yang lebih berusia, menurut kajian oleh Pusat Penyakit Alzheimer Rush di Chicago.
  • Semasa berlakunya pandemik, golongan wanita yang tidak bekerja dan mempunyai status sosioekonomi yang lebih rendah telah dikaitkan dengan lebih banyak gejala kognitif dalam populasi kajian besar yang diambil dari sembilan buah negara Amerika Latin.
  • Dalam populasi Amerika Latin yang sama tersebut, mengalami perubahan kehidupan yang positif semasa berlakunya pandemik (seperti lebih banyak masa berkualiti dengan rakan-rakan dan keluarga atau menghabiskan lebih banyak masa dengan alam semula jadi) telah mengurangkan kesan negatif akibat pandemik itu ke atas ingatan dan kemahiran berfikir.

"COVID-19 telah menyakitkan dan membunuh berjuta-juta orang di seluruh dunia, dan bagi sesetengah orang, terdapat juga kesan jangka panjang terhadap ingatan dan pemikiran berdasarkan penyelidikan yang baru muncul ini," kata Heather M. Snyder, Ph.D., Naib Presiden Perhubungan Perubatan dan Saintifik Persatuan Alzheimer. "Memandangkan virus ini mungkin akan bersama-sama dengan kita untuk jangka masa yang lama, mengenal pasti faktor risiko dan perlindungan untuk gejala kognitif boleh membantu dalam rawatan dan pencegahan simptom 'COVID berpanjangan' pada masa akan datang."

Kehilangan bau yang berterusan adalah lebih baik dalam meramalkan ketakmampuan kognitif berbanding tahap keparahan COVID-19

Para penyelidik di Argentina bekerjasama dengan Konsortium Persatuan Alzheimer tentang Sekuela Neuropsikiatri Kronik Jangkitan SARS-CoV-2 dengan mengikuti 766 orang dewasa berumur 55 hingga 95 tahun yang terdedah kepada COVID-19 selama satu tahun, serta menjalankan satu siri ujian fizikal, kognitif dan neuropsikiatri biasa. 88.4% daripada kumpulan kajian ini adalah mereka yang telah dijangkiti dan 11.6% daripadanya bertindak sebagai kawalan.

Penilaian klinikal menunjukkan terdapat kecelaruan ingatan fungsian dalam dua pertiga daripada peserta yang telah dijangkiti, yang mana separuh daripadanya adalah teruk. Satu lagi kumpulan ujian kognitif telah mengenal pasti tiga kumpulan dengan prestasi yang berkurangan:

  • 11.7% telah menunjukkan kecelaruan ingatan sahaja.
  • 8.3% mengalami gangguan dari segi fungsi perhatian dan pelaksanaan.
  • 11.6% telah menunjukkan gangguan pada pelbagai domain (termasuk fungsi ingatan, pembelajaran, perhatian dan pelaksanaan).

Analisis statistik mendedahkan bahawa kehilangan deria bau secara berterusan merupakan penentu yang penting bagi ketakmampuan kognitif dan bukanlah keparahan penyakit COVID-19 awal yang menjadi penentu.

Dengan lebih banyak cerapan yang kita tahu tentang punca atau sekurang-kurangnya dapat meramalkan siapa yang akan mengalami kesan kognitif jangka panjang bagi jangkitan COVID-19 dengan ketara, maka dapatlah kita menjejakinya dan mula membangunkan kaedah untuk mencegahnya dengan lebih baik," kata Gabriela Gonzalez-Aleman, LCP, Ph.D., profesor Pontificia Universidad Catolica Argentina, Buenos Aires.

Kemasukan ke unit rawatan rapi mungkin menandakan risiko mendapat penyakit demensia yang lebih tinggi 

Para penyelidik dari Pusat Penyakit Alzheimer Rush (RADC), iaitu sebahagian daripada Sistem Kesihatan Universiti Rush Chicago, telah menggunakan data daripada lima kajian yang pelbagai melibatkan orang dewasa yang lebih berusia tanpa sebarang penyakit demensia (n=3,822) untuk melihat kemasukan mereka ke unit rawatan rapi (ICU). Kemasukan ke ICU sebelum ini dikaitkan dengan ketakmampuan kognitif pada pesakit yang lebih berusia, tetapi beberapa kajian telah mengkaji sama ada mereka meningkatkan risiko penyakit demensia. 

Mereka telah menyemak rekod tuntutan Medicare dari tahun 1991 hingga 2018 (sebelum berlakunya pandemik) dan menyemak setiap tahun untuk perkembangan penyakit Alzheimer dan semua jenis demensia menggunakan penilaian kognitif yang piawai. Sepanjang susulan selama purata 7.8 tahun, 1,991 (52%) peserta telah dimasukkan ke ICU sekurang-kurangnya sekali; 1,031 (27%) peserta telah dimasukkan ke ICU sebelum pendaftaran kajian dibuat; dan 961 (25%) peserta telah dimasukkan ke ICU semasa tempoh kajian tersebut.

Para penyelidik mendapati bahawa dalam analisis yang diselaraskan mengikut umur, jantina, pendidikan dan bangsa, kemasukan ke ICU dikaitkan dengan 63% risiko yang lebih tinggi terhadap penyakit demensia Alzheimer dan 71% risiko yang lebih tinggi terhadap semua jenis penyakit demensia. Dalam model kajian yang diselaraskan lagi untuk faktor kesihatan lain seperti faktor risiko dan penyakit vaskular, keadaan perubatan kronik yang lain serta ketidakupayaan fungsi, perkaitannya adalah lebih kukuh: kemasukan ke ICU dikaitkan dengan 110% risiko yang lebih besar terhadap penyakit Alzheimer dan 120% risiko yang lebih besar terhadap semua jenis penyakit demensia.

"Kami mendapati bahawa kemasukan ke ICU mempunyai perkaitan dengan dua kali ganda risiko menghidap demensia pada kumpulan berasaskan komuniti orang dewasa yang lebih berusia," kata Bryan D. James, Ph.D., pakar epidemiologi RADC. "Penemuan ini boleh menjadi sesuatu yang penting memandangkan kadar kemasukan ke ICU adalah tinggi dalam kalangan mereka yang lebih berusia, terutamanya disebabkan peningkatan kemasukan ke ICU yang begitu tinggi semasa pandemik COVID-19. Memahami kaitan antara kemasukan ke ICU dan perkembangan penyakit demensia adalah amat penting buat masa ini."

"Lebih banyak penyelidikan perlu dilakukan untuk mereplikakan penemuan ini dan menjelaskan faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko penyakit demensia. Sebagai contoh, adakah penyakit kritikal yang menyebabkan seseorang dimasukkan ke hospital atau prosedur yang berpotensi untuk diubah suai semasa dimasukkan ke hospital yang memacu risiko penyakit demensia?" tambah James.

Satu perubahan kehidupan yang positif semasa pandemik boleh menjadi penghalang kepada gejala kognitif 

Para penyelidik dari negara-negara di seluruh Amerika Tengah dan Selatan serta Amerika Syarikat telah meneliti sama ada faktor sosiodemografik dan perubahan dalam kehidupan yang dikaitkan dengan pandemik adalah berkaitan dengan gejala kognitif yang dialami, termasuk masalah dengan ingatan, perhatian dan kemahiran berfikir lain semasa fasa awal pandemik itu.

Dalam kajian yang dilaporkan di AAIC, 2,382 orang dewasa yang berbahasa Sepanyol berumur 55 hingga 95 tahun (purata umur 65.3 tahun, 62.3% adalah wanita) dari sembilan buah negara di Amerika Latin telah melengkapkan satu tinjauan dalam talian atau telefon, telah melakukan ujian kognitif elektronik serta mengisi sebuah inventori yang menilai kesan positif dan negatif pandemik antara bulan Mei hingga Disember 2020. Daripada jumlah populasi kajian tersebut, 145 (6.09%) daripadanya mengalami gejala COVID-19.

Para peserta adalah dari: Uruguay (1,423, 59.7%), Mexico (311, 13.1%), Peru (153, 6.4%), Chile (152, 6.4%), Republik Dominika (117, 4.9%), Argentina (106, 4.5%), Colombia (50, 2.1%), Ecuador (39, 1.6%), Puerto Rico (19, 19 0.8%) dan Lain-lain (12, 0.5%)

Penemuan utama:

  • Golongan wanita yang tidak bekerja dengan status sosioekonomi yang lebih rendah semuanya dikaitkan secara bebas dengan lebih banyak gejala kognitif semasa peringkat awal berlakunya pandemik.
  • Perubahan kehidupan yang negatif semasa pandemik seperti kesukaran ekonomi dan aktiviti sosial yang terhad adalah dikaitkan secara signifikan dengan gejala yang lebih kognitif. Walau bagaimanapun, perkaitan ini adalah lemah dalam kalangan peserta kajian yang melaporkan sekurang-kurangnya satu perubahan kehidupan yang positif semasa pandemik, termasuk meluangkan lebih banyak masa bersama rakan-rakan dan keluarga atau lebih banyak masa di luar dengan alam semula jadi.

"Mengenal pasti faktor risiko dan perlindungan untuk gejala kognitif semasa pandemik ini merupakan langkah penting ke arah pembangunan bagi usaha pencegahan," kata María Marquine, Ph.D., Profesor Madya Jabatan Perubatan dan Psikiatri merangkap Pengarah Penyelidikan Ketaksamaan Bahagian Geriatrik, Gerontologi dan Penjagaan Paliatif di Universiti California, San Diego. "Pengalaman perubahan kehidupan yang positif semasa pandemik ini boleh menjadi penghalang kepada kesan buruk perubahan kehidupan yang negatif terhadap gejala kognitif."

"Kajian ini merupakan contoh bagaimana para penyelidik dari pelbagai negara di Amerika Latin dan Amerika Syarikat yang kebanyakan daripada mereka tidak pernah bekerja bersama-sama sebelum ini dan mempunyai sumber yang terhad, bersatu disebabkan oleh keadaan yang sukar tetapi dengan matlamat bersama untuk memajukan pemahaman saintifik tentang penyakit Alzheimer serta sumbangan penting yang dapat dihasilkan oleh perkongsian pelbagai budaya itu," tambah Marquine.

Tentang Persidangan Antarabangsa Persatuan Alzheimer® (AAIC®)
Persidangan Antarabangsa Persatuan Alzheimer (AAIC) ialah perhimpunan penyelidik terbesar dari seluruh dunia yang memberi tumpuan kepada penyakit Alzheimer dan penyakit demensia yang lain. Sebagai sebahagian daripada program penyelidikan Persatuan Alzheimer, AAIC berfungsi sebagai pemangkin untuk menjana pengetahuan baharu tentang demensia dan memupuk komuniti penyelidikan yang penting dan bersepadu.
Laman utama AAIC 2022:www.alz.org/aaic/
Bilik berita AAIC 2022:www.alz.org/aaic/pressroom.asp
Tanda pagar AAIC 2022: #AAIC22

Tentang Persatuan Alzheimer®
Persatuan Alzheimer ialah sebuah organisasi kesihatan sukarela yang mengkhusus kepada penjagaan, sokongan dan penyelidikan penyakit Alzheimer di seluruh dunia. Misi kami adalah untuk menerajui usaha menyembuhkan penyakit Alzheimer dan semua jenis demensia yang lain — dengan mempercepat penyelidikan global, mendorong pengurangan risiko dan pengesanan awal, serta memaksimumkan penjagaan dan sokongan yang berkualiti. Visi kami adalah dunia tanpa penyakit Alzheimer dan kesemua demensia lain®. Sila layari alz.org atau hubungi 800.272.3900.

  • Gabriela Gonzalez-Aleman, LCP, Ph.D., dll. Disfungsi olfaktori tetapi bukan keparahan COVID-19 dapat meramalkan keparahan sekuela kognitif susulan jangkitan SARS-CoV-2 dalam kalangan warga Amerindia dewasa yang lebih berusia. (Pembiaya: Fundación de Lucha contra los Trastornos Neurológicos y Psiquiátricos en Minorías (FULTRA); Persatuan Alzheimer)
  • Bryan James, Ph.D., dll. Kemasukan ke ICU dan demensia insiden dalam kohort berasaskan komuniti orang dewasa yang lebih berusia. (Pembiaya: Institut Penuaan Kebangsaan)
  • María Marquine, Ph.D., dll. Gejala kognitif dalam kalangan orang dewasa pertengahan usia dan yang lebih berusia di Amerika Latin semasa pandemik penyakit koronavirus 2019 (COVID-19): Faktor risiko dan perlindungan. (Pembiaya: Jawatankuasa Eksekutif Penyelidikan Hospital Besar Massachusetts, Sumbangan Dermawan kepada Universiti California, Bahagian Geriatrik San Diego, Plan Ibirapitá Uruguay (Inclusión Digital de Personas Mayores)).

*** Siaran berita AAIC 2022 mungkin mengandungi data terkini yang tidak sepadan dengan apa yang dilaporkan dalam abstrak yang berikut. 

ID cadangan: 66868
Tajuk: Disfungsi olfaktori tetapi bukan keparahan COVID-19 dapat meramalkan keparahan sekuela kognitif susulan jangkitan SARS-CoV-2 dalam kalangan warga Amerindia dewasa yang lebih berusia.
Latar belakang:
COVID-19 telah menjejaskan lebih 380 juta orang. Jangkitan boleh mengakibatkan sequelae jangka panjang, termasuk gejala neuropsikiatri. Dalam kalangan orang dewasa yang lebih berusia, sekuela COVID-19 menyerupai penyakit Alzheimer peringkat awal serta mungkin berkongsi faktor risiko dan biopenanda darah yang sama. Konsortium Persatuan Alzheimer tentang Sekuela Neuropsikiatri Kronik jangkitan SARS-CoV-2 (CNS SC2) telah mewujudkan takrifan, metodologi pemastian dan penilaian yang diselaraskan untuk menilai dan membuat susulan longitudinal ke atas kohort orang dewasa yang lebih berusia dengan pendedahan kepada COVID-19. Kami membentangkan data satu tahun dalam kohort prospektif dari Argentina.
Kaedah: Para peserta (n=766) ialah golongan dewasa yang lebih berusia (60 tahun dan ke atas) yang diambil daripada pejabat pendaftaran kesihatan wilayah yang mengandungi semua data ujian SARS-CoV-2. Kami secara rawak menjemput orang dewasa yang lebih berusia yang berstrata mengikut status ujian PCR COVID-19 tanpa mengira keparahan gejala, antara 3 hingga 6 bulan selepas pemulihan. Penilaian termasuk temu bual dengan Jadual Penilaian Klinikal dalam Neuropsikiatri (SCAN) dan skala Penarafan Demensia Klinikal (CDR); iaitu penilaian neurokognitif; skala kereaktifan emosi; dan penilaian neurologi termasuk ujian fungsi olfaktori separa kuantitatif, fungsian motor, koordinasi dan gaya jalan.
Hasil: kami telah menilai 88.4% peserta yang dijangkiti dan 11.6% peserta kawalan. Pendidikan ialah 10.36 ± 5.6 tahun dan umur ialah 66.9 ± 6.14 tahun. Tahap penjagaan semasa COVID-19 diterangkan dalam Rajah 1. Skor Z kognitif yang dinormalkan mengkategorikan kohort kepada 3 kumpulan dengan prestasi yang menurun berbanding kognisi biasa: kecelaruan ingatan sahaja (Domain tunggal, 11.7%); gangguan dalam fungsi perhatian+pelaksanaan tanpa kecelaruan ingatan (Dua domain, 8.3%); dan gangguan berbilang domain (Domain berbilang, 11.6%). Regresi logistik menunjukkan bahawa keparahan anosmia, tetapi bukan status klinikal, dapat meramalkan ketakmampuan kognitif secara signifikan. Tiada peserta kawalan yang mempunyai disfungsi olfaktori. Ketakmampuan kognitif telah ditakrifkan seperti skor Z di bawah (- 2) (Jadual 1). Penilaian klinikal dengan SCAN mendedahkan bahawa terdapat kecelaruan ingatan fungsian dalam dua pertiga daripada pesakit yang dijangkiti (CDR ≥ 1), yang mana separuh daripada mereka adalah parah. Susulan melalui telefon pada tempoh 1 tahun mendedahkan pematuhan yang tinggi (4 orang tidak menjawab panggilan). Lima peserta telah meninggal dunia ketika susulan sedang dilakukan. Kadar jangkitan semula (antara 10 hingga 23%) tidak terjejas dengan jadual pemvaksinan (Jadual 2).
Kesimpulan: Kohort longitudinal mempunyai pematuhan yang sangat tinggi. Ketakmampuan kognitif dan fungsi yang berterusan selepas jangkitan SARS-CoV-2 telah diramalkan oleh anosmia berterusan tetapi bukan oleh keparahan penyakit COVID-19 awal.

Pengarang Pembentang 
Gabriela Gonzalez-Aleman, LCP, Ph.D. (gabigoa@gmail.com)
Pontificia Universidad Catolica Argentina, Buenos Aires

ID cadangan: 61678
Tajuk: Gejala kognitif dalam kalangan orang dewasa pertengahan dan lebih berusia di Amerika Latin semasa pandemik penyakit koronavirus 2019 (COVID-19): Faktor risiko dan perlindungan.
Latar belakang: Pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada kehidupan harian di seluruh dunia dengan kemungkinan berlakunya kesan negatif terhadap kesihatan kognitif. Gejala kognitif yang dilaporkan sendiri dikaitkan dengan perkembangan penyakit Alzheimer dan demensia yang berkaitan (ADRD). Mengenal pasti faktor risiko dan perlindungan untuk gejala kognitif semasa pandemik merupakan langkah penting ke arah pembangunan usaha pencegahan ADRD. Kami berhasrat untuk mengkaji korelasi gejala kognitif dalam kalangan orang dewasa pertengahan usia dan yang lebih berusia di Amerika Latin sebelum ketersediaan vaksin untuk mencegah COVID-19, termasuk faktor sosiodemografi dan perubahan dalam kehidupan.
Kaedah: Orang dewasa yang berbahasa Sepanyol berumur 55 hingga 95 tahun (n=2,382, Jadual 1) yang menetap di Amerika Latin yang telah melengkapkan satu tinjauan dalam talian antara bulan Mei dan Disember 2020. Gejala kognitif telah dinilai melalui soal selidik Kognisi Harian (ECog) dengan 12 item. Perubahan kehidupan yang negatif (contohnya, kesukaran ekonomi, aktiviti sosial yang terhad) dan positif (contohnya, lebih banyak masa berkualiti dengan orang lain yang rapat, peningkatan masa dalam alam semula jadi/persekitaran luar) yang berkaitan dengan pandemik diukur melalui subset item daripada Inventori Impak Epidemik-Pandemik. Faktor sosiodemografi adalah termasuk umur, tahun pendidikan, jantina, pekerjaan dan status sosioekonomi (SES). Kovariat adalah termasuk masa sejak bulan Mac 2020 (anggaran bermulanya pandemik di Amerika Latin), negara penyelesaian tinjauan dan mengalami gejala COVID-19. Model regresi linear berbilang pemboleh ubah telah diguna pakai pada jumlah skor ECog termasuk kovariat dan faktor sosiodemografi (Model 1), dan kemudian menambah terma untuk perubahan kehidupan yang negatif dan positif serta hubungan mereka (Model 2).
Hasil: Model 1 menunjukkan golongan wanita (p=.04), tidak bekerja buat masa ini (p=.02) dengan SES yang lebih rendah (P<.001) adalah dikaitkan secara bebas dengan lebih banyak gejala kognitif. Model 2 menunjukkan hubungan yang signifikan antara perubahan kehidupan negatif dan positif (P<.001), menunjukkan bahawa perubahan kehidupan negatif dapat dikaitkan secara signifikan dengan lebih banyak gejala kognitif, namun perkaitan ini adalah lemah dalam kalangan para peserta yang melaporkan sekurang-kurangnya satu perubahan kehidupan positif semasa pandemik (Rajah 1).
Kesimpulan: Gejala kognitif mungkin lebih biasa dalam kalangan segmen tertentu bagi populasi Amerika Latin, termasuk golongan wanita serta mereka yang tidak bekerja dan mempunyai SES yang rendah. Pengalaman perubahan kehidupan yang positif semasa pandemik ini boleh menjadi penghalang kepada kesan buruk perubahan kehidupan yang negatif terhadap gejala kognitif. Faktor risiko dan perlindungan ini mungkin akan dipertimbangkan dalam usaha pencegahan ADRD.

Pengarang Pembentang
Maria Marquine, PhD mmarquine@health.ucsd.edu
Universiti California San Diego, La Jolla, California

ID cadangan: 6719
Tajuk: Kemasukan ke ICU dan demensia insiden dalam kohort berasaskan komuniti orang dewasa yang lebih berusia
Latar belakang: Penyakit kritikal dan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dalam kalangan pesakit yang lebih berusia telah ditunjukkan meningkatkan risiko ketakmampuan kognitif jangka panjang. Walau bagaimanapun, kebanyakan data diperoleh daripada pesakit yang didaftarkan dari ICU tanpa kawalan atau maklumat tentang kognisi sebelum kemasukan ke ICU. Kami tidak mengetahui tentang sampel berasaskan komuniti yang membolehkan pemeriksaan tentang bagaimana kemasukan ke ICU dapat mengubah risiko demensia.
Kaedah: Kami menggunakan data daripada 5 kohort epidemiologi yang pelbagai di Pusat Penyakit Alzheimer Rush (RADC) yang dikaitkan dengan data tuntutan Medicare dari tahun 1991 hingga 2018 untuk memerhatikan kemasukan ke ICU (bagi kedua-duanya sebelum pendaftaran RADC dan semasa susulan RADC) pada orang dewasa yang lebih berusia yang didaftarkan tanpa sebarang penyakit demensia. Penyakit Alzheimer insiden dan semua jenis demensia telah dinilai menggunakan penilaian kognitif tahunan yang piawai. Perkaitan kemasukan ke ICU dengan penyakit demensia insiden telah diuji dalam model Cox dengan masa yang berbeza-beza yang membolehkan kadar bahaya berubah pada masa kemasukan ke ICU semasa susulan dibuat. Semua model telah diselaraskan mengikut umur, jantina, pendidikan dan bangsa. Model yang diselaraskan sepenuhnya juga merangkumi terma untuk ukuran garis dasar hipertensi, diabetes, BMI, faktor risiko vaskular, beban penyakit vaskular, keadaan perubatan kronik yang lain, ketidakupayaan fungsi, kemurungan dan aktiviti fizikal.
Hasil: Para peserta (n=3,822; umur purata=77.3, SD=7.5) telah diikuti secara purata selama 7.8 tahun (SD=5.5) sejak daripada pendaftaran kajian. Kemasukan ke ICU telah dialami oleh 1,992 (52.1%) peserta; 1031 (27.0%) peserta dimasukkan sebelum pendaftaran RADC dan 961 (25.1%) peserta lagi dimasukkan semasa susulan dibuat. Dalam model yang diselaraskan mengikut demografi, kemasukan ke ICU adalah dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit Alzheimer (HR=1.63, 95% CI = 1.41, 1.88) dan semua jenis penyakit demensia (HR=1.71, 95% CI = 1.48, 1.97). Dalam model yang diselaraskan sepenuhnya, perkaitan ini lebih kuat dengan kemasukan ke ICU yang dikaitkan dengan dua kali ganda risiko penyakit Alzheimer (HR=2.10, 95% CI = 1.66, 2.65) dan semua jenis penyakit demensia (HR=2.20, 95% CI = 1.75, 2.77).
Kesimpulan: Kami mendapati bahawa kemasukan ke ICU dikaitkan dengan dua kali ganda risiko penyakit demensia dalam kumpulan berasaskan komuniti orang dewasa yang lebih berusia berbanding mereka yang tidak dimasukkan ke ICU dengan menggunakan penilaian kognitif tahunan yang piawai. Penemuan ini boleh menjadi sesuatu yang penting memandangkan kadar kemasukan ke ICU adalah tinggi dalam kalangan mereka yang lebih berusia serta peningkatan dalam kes kemasukan ke ICU pada baru-baru ini semasa pandemik COVID-19.

Pengarang Pembentang 
Bryan James, PhD Bryan_James@rush.edu
, Pusat Penyakit Alzheimer Rush, Chicago, Illinois

Logo -  https://mma.prnasia.com/media2/1869584/AAIC22_purple_font_rgb_Logo.jpg?p=medium600 

Source: Alzheimer’s Association
Keywords: Health Care/Hospital Infectious Disease Control Medical/Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries Hispanic-oriented news Survey, Polls & Research