omniture

PENGALAMAN PERKAUMAN DIKAITKAN DENGAN KELEMAHAN DAYA INGATAN DAN KEMEROSOTAN KOGNITIF YANG MENINGKAT

Alzheimer’s Association
2022-08-02 20:50 132

SAN DIEGO, 2 Ogos 2022 /PRNewswire/ -- Pengalaman perkauman berstruktur, interpersonal dan keinstitusian dikaitkan dengan skor ingatan yang lebih rendah dan kognisi yang lebih teruk pada usia pertengahan dan tua, terutamanya dalam kalangan individu Kulit Hitam, menurut kajian yang dilaporkan hari ini di Alzheimer's Association International Conference® (AAIC®) 2022 atau Persidangan Antarabangsa Persatuan Alzheimer di San Diego yang turut diadakan secara maya.

Antara penemuan utama yang dilaporkan pada AAIC 2022 ialah:

  • Dalam sebuah kajian yang melibatkan komuniti yang terdiri daripada hampir 1,000 orang dewasa pada usia pertengahan (55% Latin; 23% Kulit Hitam; 19% Kulit Putih), pendedahan kepada perkauman interpersonal dan keinstitusian dikaitkan dengan skor ingatan yang lebih rendah dan perkaitan ini didorong oleh individu Kulit Hitam. Pengalaman perkauman berstruktur dikaitkan dengan ingatan episodik yang lebih rendah dalam kalangan semua kumpulan kaum dan etnik yang termasuk dalam kajian ini.
  • Dalam sebuah kajian tentang 445 individu berumur 90 tahun dan ke atas berketurunan Asia, Kulit Hitam, Latin, Kulit Putih serta berbilang kaum, individu yang mengalami pelbagai diskriminasi sepanjang hidupnya mempunyai ingatan yang lebih rendah pada penghujung usia berbanding mereka yang mengalami kurang atau tiada diskriminasi.

"Untuk mencapai kesaksamaan kesihatan — sebagai satu langkah ke arah keterangkuman sepenuhnya — individu dan masyarakat perlu mengenal pasti dan mengurangkan perkauman dan bentuk diskriminasi yang lain," kata Carl V. Hill, Ph.D., MPH, Ketua Pegawai Kepelbagaian, Kesaksamaan dan Keterangkuman Persatuan Alzheimer. "Kita perlu mewujudkan sebuah masyarakat di mana mereka yang kurang diberi perhatian, terjejas akibat ketidakadilan serta kurang diwakili, akan berasa selamat, diambil peduli dan dihargai."

Menurut laporan Fakta dan Angka Penyakit Alzheimer 2022 Persatuan Alzheimer, kaum Kulit Hitam dianggarkan dua kali ganda lebih berkemungkinan menghidap Alzheimer atau penyakit demensia yang lain manakala bangsa Sepanyol/Latin dianggarkan satu setengah kali ganda lebih berkemungkinan.

Pelbagai pengalaman dan jenis perkauman serta diskriminasi berstruktur menyumbang kepada ketaksaksamaan sistemik termasuk: status sosioekonomi yang lebih rendah; kualliti pendidikan awal yang lebih rendah; dan kekurangan akses kepada makanan sihat dan penjagaan kesihatan yang betul. Secara individu dan kumulatif, faktor-faktor ini memberi kesan kepada kesihatan otak sepanjang hayat kaum Kulit Hitam/Afrika Amerika, Sepanyol/Latin serta komuniti lain.

"Perbezaan sistemik ini dikaitkan dengan akses yang kurang terhadap sumber perlindungan kesihatan yang penting seperti rangkaian penjagaan dan sosial berkualiti tinggi yang memberi maklumat dan sokongan kesihatan yang berharga," kata Rev. Miriam J. Burnett, M.D., MDiv, MPH, Pengarah Perubatan, Suruhanjaya Kesihatan Antarabangsa Gereja Episkopal Methodist Afrika.

"Kekurangan sumber yang konsisten dan meluas, serta faktor sosial dan persekitaran, membawa kepada jurang kesihatan lain seperti penyakit kardiovaskular dan diabetes yang meningkatkan risiko Alzheimer dan demensia lain," kata Adriana Perez, Ph.D. , CRNP, ANP-BC, FAAN, FGSA, Penolong Profesor Kejururawatan, Sekolah Kejururawatan Universiti Pennsylvania merangkap ahli Persatuan Jururawat Berbangsa Sepanyol Kebangsaan.

Perkauman pelbagai peringkat dikaitkan dengan skor ingatan yang lebih rendah

Penyelidikan mencadangkan bahawa perkauman interpersonal dan berstruktur merupakan penyumbang kepada perbezaan kaum dan etnik dari segi penuaan kognitif. Walau bagaimanapun, hanya sedikit yang dapat difahami tentang bagaimana perkauman pelbagai peringkat mempengaruhi kognisi sepanjang hayat. Untuk menangani jurang pengetahuan ini, Dominika Šeblová, Ph.D., Penyelidik Pasca Kedoktoran di Pusat Gertrude H. Sergievsky, Pusat Perubatan Irving Universiti Columbia, dengan kerjasama pasukan penyelidik antara disiplin yang mempunyai kepakaran dalam kesaksamaan kesihatan, telah menilai pengalaman perkauman interpersonal, keinstitusian dan berstruktur dalam kalangan 942 orang dewasa pada usia pertengahan (min umur=55; 64% wanita; 55% Latin; 23% Kulit Hitam bukan Latin; 19% Kulit Putih bukan Latin).

Peserta Kulit Hitam paling terdedah kepada semua peringkat perkauman. Mereka lebih cenderung untuk tinggal dan membesar di kawasan yang terasing yang diketahui mengalami kekurangan sumber disebabkan oleh pelaburan negatif keinstitusian dalam kawasan kejiranan Kulit Hitam. Peserta Kulit Hitam secara purata mengalami enam pelanggaran hak sivil seumur hidup mereka dan terdedah kepada diskriminasi interpersonal sekurang-kurangnya sekali seminggu. Pendedahan ini dikaitkan dengan skor ingatan yang lebih rendah dan magnitud perkaitan ini menepati usia kronologi selama 1-3 tahun. Perkauman berstruktur dikaitkan dengan ingatan episodik yang lebih rendah dalam keseluruhan sampel ini.

"Pendedahan kronik terhadap perkauman dan diskriminasi interpersonal dalam kalangan komuniti terpinggir membawa kepada tekanan yang menjejaskan tubuh badan dan mempengaruhi kesihatan fisiologi serta mungkin menyumbang kepada perkembangan kemerosotan kognitif," kata Jennifer Manly, Ph.D., Profesor Neuropsikologi Pusat Perubatan Irving Universiti Columbia yang juga merupakan pengarang kanan kajian ini. "Secara keseluruhan, penemuan kami menunjukkan bahawa perkauman memberi kesan kepada kesihatan otak dan menyumbang kepada beban penyakit Alzheimer secara tidak adil dalam kumpulan terpinggir."

Kognisi yang lebih teruk dalam kalangan warga emas tertua dikaitkan dengan pengalaman diskriminasi

Diskriminasi merupakan punca yang menjadi asas kepada ketaksaksamaan kesihatan. Walau bagaimanapun, tidak diketahui sama ada diskriminasi menyumbang kepada perbezaan penuaan kognitif dalam kalangan warga emas tertua, sebuah kumpulan yang kadangkala dirujuk sebagai 'super ager'. Bagi menjawab persoalan ini, Kristen George, Ph.D., Pembantu Profesor Epidemiologi di Jabatan Sains Kesihatan Awam, Universiti California, Davis dan rakan sekerjanya mengkaji hubungan pengalaman diskriminasi utama seumur hidup dengan fungsi dan kemerosotan kognitif dalam kalangan peserta pelbagai kohort iaitu Asia, Kulit Hitam, Kulit Putih, Latin serta berbilang bangsa dalam Kajian Life After 90 (LA90).

Dalam kalangan 468 peserta (20.5% Asia; 21.8% Kulit Hitam; 14.5% Latin; 35.7% Kulit Putih; 7.5% berbilang bangsa), purata umur semasa pendaftaran ialah 93 tahun. Para peserta telah menyelesaikan tiga penilaian kognitif sepanjang 1.2 tahun secara purata. Para peserta melaporkan pengalaman diskriminasi seumur hidup utama melalui soal selidik dan diberi kumpulan berdasarkan maklum balas mereka.

  • Kumpulan 1 melaporkan diskriminasi di tempat kerja (iaitu dipecat secara tidak adil, tidak diambil bekerja, tidak dinaikkan pangkat) dan sebahagian besarnya terdiri daripada peserta Kulit Putih.
  • Kumpulan 2 melaporkan tiada atau sedikit diskriminasi yang dialami seumur hidup mereka dan terdiri daripada wanita Kulit Putih serta golongan dewasa lebih tua yang berbangsa Asia, Kulit Hitam dan Latin.
  • Kumpulan 3 melaporkan bahawa terdapat diskriminasi yang dialami dalam beberapa domain (tempat kerja, kewangan, perumahan dan lain-lain) dan semua peserta dalam kumpulan ini bukan Berkulit Putih.

Para penyelidik mendapati bahawa peserta dalam Kumpulan 1 (diskriminasi di tempat kerja) mempunyai tahap kognisi garis dasar yang lebih tinggi dalam domain fungsi eksekutif dan ingatan semantik berbanding Kumpulan 2 (tiada diskriminasi). Kumpulan 3 (diskriminasi pelbagai) mempunyai ingatan semantik yang lebih teruk pada garis dasar berbanding Kumpulan 2. Untuk keseluruhan kumpulan ini, tiada perbezaan dari segi kemerosotan kognitif dari semasa ke semasa.

"Penemuan ini menekankan bahawa dalam kalangan warga emas tertua, ketaksaksamaan fungsi kognitif terus berlaku selepas mengambil kira pengalaman diskriminasi seumur hidup yang utama," kata George. "Walaupun terdapat kelanjutan usia yang luar biasa bagi kumpulan ini, diskriminasi meninggalkan kesan yang mendalam terhadap kesihatan kognitif, namun warga emas tertua masih mendapat manfaat daripada usaha-usaha untuk menghapuskan dan memperbetulkan semula perbezaan kesihatan."

Tentang Alzheimer's Association International Conference® (AAIC®)

Alzheimer's Association International Conference (AAIC) (Persidangan Antarabangsa Persatuan Alzheimer) ialah perhimpunan penyelidik terbesar dari seluruh dunia yang memberi tumpuan kepada penyakit Alzheimer dan penyakit demensia yang lain. Sebagai sebahagian daripada program penyelidikan Persatuan Alzheimer, AAIC berfungsi sebagai pemangkin untuk menjana pengetahuan baharu tentang demensia dan memupuk komuniti penyelidik yang penting dan bersepadu.
Laman utama AAIC 2022: www.alz.org/aaic/
Bilik berita AAIC 2022: www.alz.org/aaic/pressroom.asp
Tanda pagar AAIC 2022: #AAIC22

Tentang Persatuan Alzheimer®

Persatuan Alzheimer ialah sebuah organisasi kesihatan sukarela yang mengkhusus kepada penjagaan, sokongan dan penyelidikan penyakit Alzheimer di seluruh dunia. Misi kami adalah untuk menerajui usaha menyembuhkan penyakit Alzheimer dan semua jenis demensia yang lain — dengan mempercepat penyelidikan global, mendorong pengurangan risiko dan pengesanan awal, serta memaksimumkan penjagaan dan sokongan yang berkualiti. Visi kami adalah dunia tanpa penyakit Alzheimer dan kesemua demensia®. Sila layari alz.org atau hubungi 800.272.3900.

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1869584/AAIC22_purple_font_rgb_Logo.jpg?p=medium600  

 

 

Source: Alzheimer’s Association
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Black-oriented news Hispanic-oriented news Not for profit Survey, Polls & Research Public Interest