omniture

Nobu Hospitality Memperluas Jejaknya di Asia Pasifik

NOBU HOSPITALITY
2022-08-10 19:04 75

Kediaman, Restoran dan Hotel Nobu bakal Dilancarkan di Danang, Vietnam

NEW YORK, 10 Ogos 2022 /PRNewswire/ -- Hari ini, melalui kerjasama dengan Viet Capital Real Estate (VCRE) dan Phoenix Holdings, jenama gaya hidup mewah, hotel dan restoran ikonik yang terkemuka iaitu Nobu Hospitality, mengumumkan Kediaman, Restoran dan Hotel Nobu yang pertama di Vietnam sambil kedua-dua kumpulan perniagaan ini meneroka pembangunan seterusnya di Vietnam.

Direka bentuk sebagai sebuah tempat peranginan bandar tepi pantai yang mewah, destinasi Nobu Danang ini akan menyediakan suasana gaya hidup penuh kemeriahan di pusat bandar dan tepi pantai Danang. Para tetamu akan dapat menikmati gabungan reka bentuk ruang yang elegan yang diselaraskan dengan konsep hotel tradisional tepi pantai serta destinasi tempat peranginan bandar yang memenuhi keperluan dan keinginan para tetamu sama ada untuk bercuti, berhibur atau atas urusan perniagaan.

Phoenix Holdings ialah pejabat pelaburan keluarga dan organisasi induk yang menguruskan pelbagai syarikat yang sedang pesat berkembang termasuk Viet Capital Real Estate, Viet Capital Bank, Viet Capital Asset Management, Viet Capital Securities (tersenarai di HOSE: VCI) dan pelbagai projek pelaburan terkemuka yang lain. Pengerusi Phoenix Holdings, Henry Nguyen, merupakan Naib Pengerusi, Pengasas serta Pemilik Los Angeles Football Club (LAFC) dalam Liga Bola Sepak Utama serta merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Timo Digital Bank.

Danang ialah sebuah bandar tepi pantai di Pesisir Pantai Selatan Tengah Vietnam yang dikelilingi oleh keindahan perairan Lautan Pasifik di sebelah timur, manakala di sebelah baratnya pula terletak Banjaran Pergunungan Annamite, yang terkenal dengan pantai berpasir serta menyimpan sejarah sebagai sebuah pelabuhan kolonial Perancis.  Bandar ini terletak berhampiran dengan beberapa tapak UNESCO termasuk Bandar Diraja Hue, Bandar Lama Hoi An dan kesan runtuhan My Son.

Terletak di Jalan Vo Nguyen Giap di tepi pantai legenda My Khe, Danang, Nobu bersiap sedia untuk memeriahkan latar langit bandar ini dengan sebuah menara 43 tingkat yang ikonik yang bakal menjadi bangunan tertinggi di bandar ini serta menawarkan destinasi menjamu selera dan pusat hiburan bertaraf dunia dengan beberapa pemandangan paling menakjubkan untuk mana-mana tempat di rantau ini.  Hotel ini akan turut menawarkan 200 buah bilik tetamu, termasuk 18 buah suite mewah, ruang mesyuarat dan acara yang luas, yang amat sesuai untuk majlis perkahwinan dan acara sosial penting serta kemudahan kecergasan dan kesejahteraan yang canggih.  Selain itu, terdapat 271 unit kediaman bergaya yang menawarkan susun atur satu, dua dan tiga bilik tidur serta dua unit emper dengan latar langit yang menakjubkan yang menjadi tambahan kepada portfolio kediaman persendirian Nobu Hospitality yang kian berkembang.

Destinasi Nobu akan menggabungkan sentuhan reka bentuk pemikiran masa depan yang moden, keistimewaan Nobu yang elegan dan minimalis serta reka bentuk tradisional Jepun.  Terletak di bawah hotel dan kediaman ini ialah podium Pusat Bandar Danang yang akan menawarkan pengalaman beli-belah runcit yang mewah, sebuah restoran Cina kelas atasan, sebuah restoran Vietnam yang mewah lagi moden serta sebuah restoran stik Amerika.  Bar koktel dan ruang istirahat akan dibina di atas bumbung bangunan, menawarkan pemandangan yang menakjubkan sambil menikmati minuman semasa matahari terbenam dan hiburan larut malam di Danang.

Trevor Horwell, Ketua Pegawai Eksekutif Nobu Hospitality berkata, "Kami teruja untuk terus berkembang ke rantau Asia Pasifik dan membawa Nobu ke pasaran Vietnam, sebuah destinasi pelancongan yang sedang pesat berkembang dengan salah satu lokasi kegemaran ramai yang paling indah di Danang. Rakan kongsi kami di VCRE menyokong jenama Nobu dengan penuh semangat serta berkongsi komitmen kami dalam mengembangkan Nobu Hospitality ke destinasi lain di Vietnam.  Kami yakin bahawa jenama Nobu bakal menarik para pengunjung tempatan dan dari seluruh dunia untuk menginap dan menjadi penghuni Nobu Danang yang akan direka cipta sebagai sebuah tempat peranginan bandar yang dinamik."

Vo Thanh Lam, Ketua Pegawai Eksekutif Viet Capital Real Estate menambah, "Kami begitu teruja dapat bekerjasama dengan Nobu Hospitality di Vietnam.  Dengan projek Nobu yang pertama di Danang ini, kami berbangga dapat membawakan pengalaman gaya hidup dan restoran mewah yang serba baharu dan terkemuka di dunia ke pasaran Vietnam.  Danang merupakan salah satu destinasi pelancongan yang paling menarik bagi kedua-dua pasaran domestik dan antarabangsa.  Sebagai pusat ekonomi dan pelancongan Vietnam Tengah, bandar ini akan terus mengalami pertumbuhan dan berkembang dengan pesat manakala Nobu pula akan menjadi satu lagi destinasi penting yang akan menarik lebih banyak peminat dan pengunjung ke Danang.  Pendekatan dan gaya hidup Nobu Hospitality yang unik akan terus meningkatkan mutu perkhidmatan dan pengalaman yang dinanti-nantikan oleh para pelancong pintar masa kini. Projek Nobu di Danang akan menjadi salah satu destinasi yang paling unik dan mewah di Vietnam."

www.nobuhotels.com 
www.vcre.com.vn 

Video - https://www.youtube.com/watch?v=gLog4TiidYc

Source: NOBU HOSPITALITY
Related Stocks:
Vietnam:VCI
Keywords: Hotels and Resorts Real Estate Travel Broadcast feed announcements Corporate Expansion Licensing/marketing agreements