LONDON, 28 Oktober 2013 /PRNewswire/ -- GSMA hari ini mengumumkan pemilihan Jon Fredrik Baksaas, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Telenor Group, untuk berkhidmat sebagai Pengerusi GSMA bagi baki penggal Lembaga Pengarah sehingga Disember 2014. Bagi peranan ini, Encik Baksaas akan memantau hala tuju strategik organisasi, yang mewakili hampir 800 pengendali mudah alih dunia, serta 250 syarikat dalam ekosistem mudah alih yang lebih luas. Encik Baksaas telah berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi sejak Januari 2011. Beliau telah berkhidmat dalam industri telekom ini selama 25 tahun dan telah memangku jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Telenor bermula pada tahun 2002.
"Saya bangga telah dipilih sebagai Pengerusi GSMA," ulas Encik Baksaas. "Saya tidak sabar-sabar untuk bertugas bersama ahli Lembaga Pengarah lain, pasukan GSMA dan juga kesemua ahli kumpulan bagi terus memajukan isu penting dalam industri. Ini merupakan inspirasi yang besar buat diri saya untuk menjalankan tugas dalam industri yang sangat memberi manfaat dan kesan buat individu dan masyarakat yang menerima khidmat kami.
"Kemudahan menghubungkan lebih ramai penduduk dunia kepada Internet mudah alih ialah keutamaan kami dan untuk merealisasikan perkara ini, GSMA akan terus memberikan tumpuan terhadap evolusi masa depan rangkaian kami, penggunaan perkhidmatan baharu yang selamat dan saling boleh kendali serta mendukung keperluan industri kami kepada pihak kerajaan dan pengawal selia," kata Baksaas.
"Kita berada di persimpangan yang kritikal dalam pembangunan industri komunikasi mudah alih kerana terdapat peningkatan jumlah penduduk, peranti dan apa-apa sahaja yang boleh dihubungkan secara mudah alih," kata Anne Bouverot, Ketua Pengarah GSMA. "Saya tidak sabar-sabar untuk bekerja bersama Jon Fredrik dan seluruh ahli Lembaga Pengarah GSMA untuk membangunkan program serantau dan global yang akan memacu pelaburan dan pertumbuhan masa depan dalam perkhidmatan mudah alih dan seterusnya menyampaikan manfaat sosial dan ekonomi yang boleh diberikan oleh kemudahan mudah alih kepada individu di seluruh dunia."
Tentang GSMA
GSMA mewakili kepentingan pengendali mudah alih di seluruh dunia yang merangkumi lebih 220 negara. GSMA menyatukan hampir 800 pengendali mudah alih di dunia dengan 250 syarikat dalam ekosistem mudah alih yang lebih luas, termasuk pembuat telefon bimbit dan peranti, syarikat perisian, pembekal peralatan dan syarikat Internet, serta organisasi dalam sektor industri seperti perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, media, pengangkutan dan utiliti. GSMA juga menganjurkan acara yang menerajui industri seperti Kongres Dunia Mudah Alih dan Ekspo Asia Mudah Alih.
Bagi maklumat lanjut, sila layari laman web korporat GSMA di www.gsma.com. Ikuti GSMA di Twitter: @GSMA.