omniture

Ajman Bank Akan Lancar Kad Sentuh Mastercard yang Pertama di Dunia, Memacu Keterangkuman di Seluruh UAE

Ajman Bank & Mastercard
2022-09-02 14:29 117
  • Takuk unik pada Kad Sentuh tersebut membolehkan orang buta dan penglihatan separa untuk membezakan kad itu dengan mudah 

DUBAI, UAE, 2 September 2022 /PRNewswire/ -- Mastercard dan Ajman Bank telah memperkukuh komitmen mereka terhadap keterangkuman melalui sebuah inisiatif baharu yang direka untuk memperluas akses kepada ekonomi digital. Kad Sentuh pertama di dunia ini merupakan kad pembayaran yang boleh diperolehi yang membolehkan orang buta dan penglihatan separa memudahkan pembayaran dan membezakan kad-kad mereka dengan mudah. 

Ajman Bank to Launch World’s First Mastercard Touch Card,Driving Inclusion across UAE
Ajman Bank to Launch World’s First Mastercard Touch Card,Driving Inclusion across UAE

Terdapat beberapa cara yang berkesan bagi mereka yang buta atau cacat penglihatan untuk menentukan dengan pantas sama ada mereka memegang kad kredit, debit atau prabayar, terutamanya apabila lebih banyak kad beralih kepada reka bentuk rata tanpa cetakan timbul nama dan nombor. Mastercard menangani cabaran ini melalui suatu inovasi yang mudah dan telah memperkenalkan sistem takuk di sisi kad untuk membantu para pengguna mengguna kad yang tepat dengan cara yang betul.

"Di Ajman Bank. keterangkuman merupakan aspek penting bagi budaya dan tanggungjawab sosial korporat kami. Inovasi mempunyai kuasa untuk mengubah dunia menjadi lebih baik. Kami gembira dapat bekerjasama dengan Mastercard untuk menjadi pengusul pertama dalam membantu mendorong penyelesaian inovatif ini yang akan membantu kami bertindak balas terhadap keperluan semua orang. Bagi pelanggan yang cacat penglihatan, memilih kad yang betul sering menjadi pengalaman yang mencabar. Kad Sentuh membolehkan para pengguna membezakan kad yang mereka gunakan dengan pantas melalui tiga takuk yang unik. Kami sentiasa menghargai visi Mastercard dalam memikirkan cara baharu untuk berinovasi dan melakukan perkara yang berbeza untuk memberikan perkhidmatan kepada lebih ramai orang," ujar Mohamed Amiri, Ketua Pegawai Eksekutif Ajman Bank.

Moza Al Akraf Al Suwaidi, Setiausaha Rendah Kementerian Pembangunan Masyarakat berkata: "Kebolehcapaian merupakan hak asasi manusia dan inisiatif terbaharu daripada Mastercard ini akan membuka peluang baharu terhadap keterangkuman individu cacat penglihatan ke dalam ekonomi digital. Kerjasama Ajman Bank dengan Mastercard akan menjadikan kehidupan harian lebih mudah untuk ramai orang. Ia sejajar dengan matlamat sosial dan komuniti UAE untuk mempromosikan persekitaran yang inklusif kepada semua orang dengan memanfaatkan kuasa dan potensi teknologi yang tiada batasan untuk meningkatkan kesejahteraan orang ramai tanpa mengira keupayaan mereka."

"Inisiatif ini membawa keterangkuman ke tahap seterusnya ketika kami ingin mempromosi kebolehcapaian dengan cara yang baharu dan bermakna. Kerjasama dengan Ajman Bank untuk memperkenalkan Kad Sentuh Mastercard yang pertama di dunia ini akan menawarkan tahap kebebasan dan keselamatan yang lebih tinggi kepada individu buta dan penglihatan separa di seluruh UAE," kongsi Raja Rajamannar, Ketua Pegawai Pemasaran & Komunikasi merangkap Presiden Penjagaan Kesihatan Mastercard.

Kad Sentuh ini telah direka untuk berfungsi dengan terminal tempat jualan dan ATM, memastikan ia boleh digunakan dengan meluas - kad kredit mempunyai takuk berbentuk segi empat sama; kad debit mempunyai takuk berbentuk bulat; dan kad prabayar mempunyai takuk berbentuk segi tiga. Selain daripada pengguna buta dan penglihatan separa, sesiapa sahaja yang berada dalam persekitaran cahaya malap atau mencapai ke dalam dompet atau beg duit dengan menggunakan sebelah tangan boleh mendapat manfaat daripada reka bentuk Kad Sentuh ini.

Kad Sentuh Bank Ajman ini turut menawarkan manfaat yang sesuai dengan keperluan unik setiap pemegang kad, termasuk manfaat pulangan tunai sehingga 10 peratus yang boleh dipilih daripada empat kategori: minyak kenderaan, perbelanjaan dalam talian, barangan runcit dan yuran sekolah.

Menurut data terkini yang tersedia, 15% daripada populasi global yang mengalami beberapa jenis kecacatan membentuk kumpulan minoriti yang terbesar di dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya 2.2 bilion orang yang mengalami masalah penglihatan di seluruh dunia. Sebuah kajian Mastercard terbaharu bertajuk Merapatkan Jurang Kurang Upaya: Peluang untuk Memberi Kesan Positif, telah mendedahkan bahawa keterangkuman digital merupakan laluan kepada keterangkuman kewangan untuk individu kurang upaya. Ia menyerlahkan bahawa terdapat peluang yang jelas untuk industri bekerjasama dalam memberi kesan positif kepada kehidupan berjuta-juta orang di seluruh dunia.

Konsep Mastercard telah diperiksa dan disahkan oleh Institut Kebangsaan Diraja bagi Orang Buta (RNIB) di UK dan VISIONS/Perkhidmatan untuk Orang Buta dan Cacat Penglihatan di AS. Kad tersebut telah direka bersama oleh IDEMIA, peneraju global dalam Identiti Terimbuh, menyediakan penyelesaian yang dipercayai di ruang fizikal dan juga digital.

Nota kepada editor:
Kad Sentuh telah menerima beberapa pengiktirafan untuk konsep dan reka bentuknya yang inovatif seperti berikut:

  • Kad Sentuh telah dinobatkan sebagai finalis dalam Anugerah Idea yang Mengubah Dunia (World Changing Ideas Awards) Fast Company yang berprestij bagi kategori "General Excellence" atau Kecemerlangan Umum 
  • Institut Kebangsaan Diraja bagi Orang Buta (RNIB) telah menobatkan Kad Sentuh sebagai finalis dalam kategori "Design for Everyone" atau Rekaan untuk Semua Orang dalam program anugerah tahunan mereka
  • Disability:IN telah menganugerahkan Anugerah Inovator Pasaran Terbaik Tahun 2022 kepada Mastercard untuk Kad Sentuh
  • Kad Sentuh telah memenangi dua pingat Perak dan 1 Gangsa di Anugerah Cannes Lions
  • Pada awal tahun ini, reka bentuk kad itu sendiri telah dinobatkan sebagai finalis di Elan Awards Persatuan Pengilang Kad Antarabangsa (ICMA)

Tentang Mastercard
Mastercard (NYSE: MA), www.mastercard.com, Mastercard ialah sebuah syarikat teknologi global dalam industri pembayaran. Misi kami adalah untuk menghubung dan memperkasakan ekonomi digital yang inklusif yang memberi manfaat kepada semua orang di mana-mana sahaja dengan menjadikan transaksi selamat, mudah, pintar dan boleh diakses. Menggunakan data dan rangkaian yang selamat, perkongsian dan semangat, inovasi dan penyelesaian kami membantu individu, institusi kewangan, kerajaan dan perniagaan merealisasikan potensi terbesar mereka. Kecerdasan kesopanan atau DQ kami, mendorong budaya dan segala yang kami lakukan di dalam dan di luar syarikat kami. Dengan hubungan di lebih 210 buah negara dan wilayah, kami sedang membina sebuah dunia yang lestari yang membuka peluang yang amat berharga untuk semua.

Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1889896/ULTRACASH_FCARD.jpg?p=medium600
Logo -  https://mma.prnasia.com/media2/1889894/Ajman_Bank_Logo.jpg?p=medium600
Logo -  https://mma.prnasia.com/media2/1889895/Mastercard_Logo.jpg?p=medium600

 

 

 

Source: Ajman Bank & Mastercard
Related Stocks:
Berlin:M4I Berne:M4I Bulgarian:M4I Dusseldorf:M4I Frankfurt:M4I Hamburg:M4I Hanover:M4I Kazakhstan:MA_KZ LSE:0R2Z Lima:MA Mexico:MA MoscowInterbank:MA-RM Munich:M4I NEO:MA NYSE:MA Stuttgart:M4I Swiss:MA Vienna:MAST XETRA:M4I
Keywords: Banking/Financial Service Computer Software Computer/Electronics High Tech Security Awards Handicapped/Disabled New products/services Financial Technology