omniture

GAUC lancar Kempen 'Climate x' 2022

Global Alliance of Universities on Climate
2022-09-07 21:46 312

BEIJING, PARIS dan STELLENBOSCH, Afrika Selatan, 7 September 2022 /PRNewswire/ -- Tahun 2022 merupakan tahun yang luar biasa dalam banyak aspek, seperti yang dinyatakan oleh Todd Stern, bekas utusan khas untuk perubahan iklim Amerika Syarikat, dalam satu wawancara baru-baru ini. Bermula daripada kemarau melampau yang mengakibatkan masalah kebuluran di Tanduk Afrika hinggalah gelombang panas di seluruh Eropah dan banjir di Asia, tahun 2022 menunjukkan kepada dunia bagaimana rupanya 'kod merah' perubahan iklim ini.

Amat penting untuk mempersiapkan golongan belia hari ini bagi memimpin tadbir urus iklim global pada masa akan datang, selain untuk melibatkan masyarakat secara keseluruhan dalam perjuangan ini, terutamanya dengan perspektif yang memfokuskan kepada sinergi antara perubahan iklim dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang lain, sekiranya kita ingin berjaya membina masa depan sifar-bersih yang lestari untuk semua.

Kempen 'Climate x' mengumpul kekuatan kolektif universiti-universiti anggota GAUC dan mendapat sokongan daripada rakan-rakan kongsi global.
Kempen 'Climate x' mengumpul kekuatan kolektif universiti-universiti anggota GAUC dan mendapat sokongan daripada rakan-rakan kongsi global.

Global Alliance of Universities on Climate (GAUC) ditubuhkan pada tahun 2019 untuk menyediakan kepimpinan kepada usaha pengajian tinggi global dalam menangani perubahan iklim. Hari ini, ia terdiri daripada 15 universiti yang terkemuka di dunia dari sembilan negara dan merentas enam benua. Dengan melancarkan Kempen 'Climate x', GAUC bermatlamat untuk menawarkan penyelesaian yang sistematik kepada kemajuan tadbir urus iklim global dan sumbangan yang konkrit kepada kejayaan COP27 dengan mempersiapkan belia, menggalakkan pendekatan bersinergi dan menggerakkan pelbagai pihak berkepentingan.

"Inilah masa yang penuh dengan cabaran besar. Kesihatan dan kesejahteraan kita, keamanan dan kemakmuran serta alam semula jadi itu sendiri berada di bawah ancaman. Masalah paling mendesak yang dihadapi oleh negara-negara akhirnya bersifat global dan ia menuntut penyelesaian global. Fokus kempen 'Climate x' merupakan contoh yang sangat baik berhubung hal ini," kata Amina J. Mohammed, Timbalan Setiausaha Agung PBB, dalam ucapan beliau semasa pelancaran kempen tersebut.

Kempen berkenaan, yang mengumpul kekuatan kolektif 15 universiti anggota GAUC, membawakan struktur tiga peringkat: program kebangsaan Perintis Latihan Kepimpinan 'Climate x' (Perintis) yang dimulakan secara bersama oleh Sciences Po di Paris dan Tsinghua University di Beijing; sebuah acara serantau iaitu Forum Perubahan Iklim Rantau Afrika yang dianjurkan oleh Stellenbosch University, satu-satunya universiti anggota GAUC di Afrika; dan tiga acara di peringkat antarabangsa iaitu Minggu Iklim Belia Global, Sidang Kemuncak Climate x GAUC dan acara peringkat tinggi COP27 GAUC.

Belia memainkan peranan penting

Perubahan iklim ialah satu cabaran yang akan mencetuskan impak yang berpanjangan ke atas anak cucu kita pada masa akan datang yang menjadikan belia sebagai tulang belakang masa depan sifar-bersih.

Menjelang pelancaran rasmi kempen tersebut, program Perintis berkenaan mendaftarkan dan memupuk seramai lebih 150 orang pelajar dari universiti anggota GAUC, seterusnya membentuk kohort pertama Duta-duta Belia Global GAUC. Pelajar-pelajar berkenaan, dibahagikan kepada 21 pasukan antara disiplin dan silang budaya, membangunkan penyelesaian yang inovatif, bermula daripada permainan digital dan aplikasi mudah alih hinggalah perbincangan panel serta penglibatan komuniti yang akan dibawakan semasa kempen tersebut.

Pendekatan bersinergi adalah penting 

Perubahan iklim amat berkait rapat dengan semua SDG dan mempunyai kuasa transformasi ke atas sektor-sektor sosial dan ekonomi yang lebih luas, menjadikan pendekatan bersinergi yang mengintegrasikan pencapaian Perjanjian Paris dan Agenda 2030 penting dalam membina masa depan sifar-bersih yang lestari. Dengan mengambil kira topik-topik global sohor kini, GAUC membezakan empat bidang untuk memfokuskan sinergi dengan perubahan iklim pada tahun 2022, iaitu Tenaga Lestari & Selamat; Kewangan; Alam Semula Jadi, Biodiversiti & Makanan; Penyesuaian & Daya Tahan.

Acara serantau kempen tersebut, Forum Perubahan Iklim Rantau Afrika (ARF) akan menjadi acara hibrid mulai 5-9 September 2022, meliputi topik-topik seperti sekuriti makanan dan air, pengurangan risiko bencana, tenaga lestari dan andal serta impak perubahan iklim ke atas orang ramai dan perniagaan. Menuju COP27, ARF bermatlamat untuk menyediakan platform untuk melibatkan pelbagai institusi dan pihak berkepentingan dalam sains perubahan iklim dan implikasi sosial dan dasarnya yang diterapkan di Afrika.

Memastikan seluruh masyarakat turut terlibat

Kejayaan perjuangan tersebut memerlukan penglibatan masyarakat secara keseluruhan. Pada tahun 2021, Sidang Kemuncak Climate x GAUC menarik minat lebih 1.25 juta peserta dari seluruh dunia semasa COP26. Pada tahun 2022, struktur tiga peringkat Kempen Climate x akan melibatkan lebih ramai pihak berkepentingan.

Di majlis pelancaran berkenaan, GAUC memanjangkan jemputan kepada organisasi-organisasi dan institusi-institusi global untuk bersama-sama memulakan Minggu Iklim Belia Global. Dijadualkan berlangsung menjelang setiap COP, ia merupakan satu mekanisme yang dicadangkan oleh GAUS kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) untuk menyelaraskan tindakan belia demi sumbangan yang lebih memberi berkesan. Cik Patricia Espinosa, ketika itu merupakan Sekretariat Eksekutif UNFCCC memuji bahawa cadangan tersebut akan dapat memberi sumbangan yang berkesan kepada proses UNFCCC dengan menggerakkan dan menginstitusikan usaha yang dijalankan oleh belia global sebagai respons kepada perubahan iklim.

Untuk maklumat lanjut tentang GAUC, sila kunjungi: https://gauc.net/  

Source: Global Alliance of Universities on Climate
Keywords: Computer/Electronics Education Environmental Products & Services Higher Education