omniture

Pemimpin Perjuangan Menentang Tifoid Suarakan Harapan dengan Kehadiran Vaksin Baharu

Sabin Vaccine Institute
2013-11-05 21:03 125

- Penularan dan peningkatan rintangan terhadap antibiotik menjadi kebimbangan

BANGKOK, 5 November 2013 /PRNewswire/ -- Gabungan Pencegahan Tifoid (CaT), inisiatif Institut Vaksin Sabin akan mengumpulkan ahli sains, penyelidik dan pakar bioteknologi pada minggu ini di Persidangan Vaksin bagi Penyakit Enterik (VED) bagi membincangkan bagaimana vaksin konjugat tifoid yang sangat dinanti-nantikan ini mampu mempercepat usaha global bagi membantu mencegah penyakit ini. Buat kali pertama, kanak-kanak semuda enam bulan boleh diberi perlindungan dengan vaksin untuk mencegah penyakit tifoid. Orang dewasa dan kanak-kanak akan beroleh perlindungan sepanjang hayat dengan pengambilan vaksin ini.

"Pemberian vaksin merupakan kaedah yang menjimatkan kos, selamat dan pantas untuk melindungi masyarakat yang paling terpinggir di dunia daripada menghidapi penyakit tifoid," kata Dr. Naveen Thacker, Pengarah Hospital dan Pusat Penyelidikan Deep Children, India dan Bakal Presiden bagi Persatuan Pediatrik Asia Pasifik. "Vaksin konjugat ialah penemuan penting bagi pencegahan penyakit tifoid dan menyediakan kebolehan yang ditingkatkan untuk membawa perubahan kepada kehidupan kanak-kanak sekolah, individu dewasa dan terutama sekali kanak-kanak bawah umur yang menerima kesan yang paling buruk disebabkan oleh penyakit tersebut."

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan cadangan bagi menyokong penggunaan vaksin tifoid lebih satu dekad lalu. Namun begitu, kebanyakan negara endemik masih belum mahu menggunakannya.

Perhatian terhadap penyakit tifoid mula diberikan berikutan berita penyakit ini sangat endemik di Asia dan semakin menular di Afrika sub-Sahara. Rintangan yang tinggi terhadap antibiotik bagi merawat penyakit tifoid juga membahayakan banyak nyawa. Namun begitu, data baharu tentang taburan geografi dan beban rintangan penyakit tersebut terhadap ubat-ubatan semakin memuncul.

"Kemunculan jenis tifoid tahan ubat seperti H58 sangat membimbangkan dan telah mengakibatkan kenaikan mendadak penyakit tersebut secara global," kata Dr. Gordon Dougan, Ketua Bahagian Patogen dan Wakil Lembaga Pengurusan Institut Wellcome Trust Sanger di United Kingdom. "Pemetaan bagi taburan jenis tifoid tahan ubat amat penting bagi membantu negara yang berkaitan mengawal penyebaran penyakit tifoid dan memastikan para pesakit mendapat rawatan sebaiknya serta tidak menanggung beban yang berlebihan."

Menurut WHO, penyakit tifoid menyerang hampir 21 juta individu dan menyebabkan lebih 216,000 kematian setiap tahun dan kebanyakannya melibatkan kanak-kanak prasekolah dan juga kanak-kanak umur bersekolah. WHO turut melaporkan 90 peratus kematian yang berpunca daripada tifoid berlaku di Asia. Walau bagaimanapun, penemuan baharu mendedahkan berlakunya hiperendemik dan epidemik bagi tifoid di Afrika.

"Bagi memberikan impak yang paling besar, usaha pemvaksinan tifoid perlu digandingkan bersama strategi intervensi lain seperti penjagaan klinikal dan air bersih serta sanitasi asas," kata Dr. Samir Saha daripada Institut Bangladesh bagi Kesihatan Kanak-kanak di Hospital Dhaka Shishu, Bangladesh. "Namun begitu di Asia, rantau yang tifoid berlaku dengan sangat endemik, hanya China, Thailand dan Vietnam telah melaksanakan strategi yang disebutkan itu."

Tifoid benar-benar boleh ditangani melalui pembaikpulihan sistem pengairan dan sanitasi. Walau bagaimanapun, pembangunan infrastruktur sedemikian memerlukan pelaburan modal yang signifikan melangkaui jangkaan kebanyakan negara di rantau ini. Sehingga usaha ini dapat dilaksanakan, vaksin yang selamat, berkesan dan dengan harga yang berpatutan perlu digunakan seiring dengan penjagaan klinikal yang baik dan menepati masa.

Ahli panel Sesi Persidangan VED Vaksin Tifoid berasal dari negara seperti India, Republik Korea, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Pembentangan oleh ahli panel akan menekankan pengukuhan kesedaran umum, peningkatan kefahaman berkaitan beban penyakit, keutamaan penggunaan vaksin dan pembangunan serta pelaksanaan strategi jangka panjang boleh membantu mengatasi kebanyakan cabaran mencegah dan mengawal penyakit tifoid dewasa ini.

Tentang Gabungan Pencegahan Tifoid (CaT)
Gabungan Pencegahan Tifoid (CaT) ialah forum global yang mengumpulkan pakar kesihatan dan pengimunan yang bertanggungjawab mempercepat dan menerima keputusan yang rasional dan berasaskan bukti pada peringkat global, rantau, kebangsaan dan bandar berkaitan penggunaan vaksin tifoid bagi menghalang deman enterik dalam kalangan kanak-kanak. CaT turut berfungsi untuk mengenal pasti halangan penggunaan vaksin tifoid dalam masyarakat yang paling memerlukan dan aktiviti penting yang perlu dijalankan agar halangan tersebut dapat diatasi. Institut Vaksin Sabin berfungsi sebagai Sekretariat CaT dan mendapat bantuan geran daripada Yayasan Bill & Melinda Gates. Objektif CaT dicapai melalui aktiviti keahlian yang dijalankan. Bagi maklumat lanjut, sila layari www.COALITIONagainstTYPHOID.ORG dan www.TyphoidConference.org.

Tentang Institut Vaksin Sabin
Institut Vaksin Sabin merupakan organisasi 501(c)(3) bukan untung yang mengumpulkan ahli sains, penyelidik dan penyokong khusus bagi mengurangkan penderitaan manusia yang tidak perlu akibat penyakit tropikal yang boleh dirawat melalui vaksin dan diabaikan (NTD). Sejak penubuhannya pada tahun 1993 bagi memberi penghormatan kepada Dr. Albert B. Sabin, pemaju vaksin oral polio, Sabin berada di barisan hadapan usaha global bagi menghapuskan, menghalang dan merawat penyakit tropical berjangkit dan diabaikan.

Sabin turut membangunkan vaksin baharu, menyokong penggunaan vaksin sedia ada dan menggalakkan akses yang diperluas kepada rawatan perubatan dengan harga yang berpatutan dengan kerjasama kerajaan, institusi akademik, ahli sains, ahli perubatan profesional dan badan organisasi bukan untung yang lain. Bagi maklumat lanjut, sila layari www.sabin.org.

Source: Sabin Vaccine Institute
Related Links:
Keywords: Infectious Disease Control Medical/Pharmaceuticals Not for profit