omniture

Beijing Menyambut Ketibaan Ulang Tahun ke-50 Kereta Legenda Porsche 911

Porsche
2013-11-08 22:05 126

-- Porsche disertai Sun Nan bagi meraikan hari jadi satu legenda di tanah Kota Larangan yang penuh kemasyhuran

BEIJING dan SHANGHAI, 8 November 2013 /PRNewswire/ -- Apabila dipandang sekali imbas, ia hanyalah tiga angka – tidak lebih daripada sekadar satu logo. Namun, tiga angka "911" mewakili konsep kereta sport penuh legenda yang masih utuh tanpa dimamah masa. Selama 50 tahun, kereta Porsche 911 telah menjadi kereta sport ikonik dunia ini dan sejarah yang penuh penghormatan ini telah diraikan dengan cukup bergaya dengan majlis gala berprestij di Kota Larangan di Beijing, dikelilingi tembok Taimiao yang terkenal seluruh dunia.

Bagi meraikan model tumpuan jenama Porsche pada ulang tahunnya yang ke-50, tetamu istimewa daripada seluruh dunia Porsche menghadiri majlis itu. Majlis malam itu diacarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Porsche China, En. Deesch Papke. "Saya masih ingat lagi kali pertama saya mendengar deruman kereta 911, dan kali pertama saya memandunya," beliau bercerita. "Kenangan seperti ini terpahat dengan kuat dalam ingatan, bukan sekadar memandu kereta yang berprestasi tinggi – kerana apabila anda memandu kereta 911, anda sedang mengemudi sebahagian daripada kisah legenda dunia pemotoran: anda duduk di kerusi yang menjadi sebahagian daripada sejarah, dan juga merupakan simbol untuk masa hadapan."

Bagi menjelaskan lagi tentang kereta sport yang bersejarah ini, En. Achim Stejskal, Ketua Muzium Porsche turut hadir. Kebanyakan model 911 yang terkenal kini dipamerkan di lokasi ikonik ini dan impak sejarah kereta sport yang menakjubkan ini menjadi sangat ketara apabila beliau berkata, "Lebih 820,000 unit kereta 911 ini telah dihasilkan di kilang kami di Zuffenhausen sejak tahun 1963. Tiada kereta sport lain di dunia yang menerima sambutan yang begitu menggalakkan daripada para penggemar kereta."

Sebaik sahaja tiba di Taimiao, tetamu disambut dengan pameran model Porsche 911 baharu yang eksklusif, yang dihasilkan khas untuk acara ini: Porsche 911 Edisi Ulang Tahun ke-50 yang baharu. Edisi istimewa baharu ini menggunakan transmisi PDK tujuh kelajuan dan sesaran sebanyak 3,800 sentimeter padu bagi menghasilkan tenaga sebanyak 294 kW (400 bhp), pecutan yang mencecah 100km/j dalam hanya 4.3 saat dan kelajuan maksimum 298 km/j, dengan enjin Boxer enam silinder yang terkenal terletak di ruang belakangnya, seperti semua model terdahulu. Namun, prestasi yang mengusik jiwa hanyalah permulaan untuk ciri-ciri yang memberi penghormatan kepada warisan model 911.

Badan kereta Porsche 911 Edisi Ulang Tahun ke-50 jelas kelihatan lebih luas sebanyak 44 milimeter di belakangnya berbanding model 911 Carrera S, membenarkan cengkaman jalan yang lebih baik terutamanya semasa kelajuan tinggi dan apabila mengambil selekoh dengan pantas. Bagi bahagian dalamannya pula, bahan berkualiti tinggi memang sudah terkenal dengan model 911 dan edisi istimewa baharu ini tidak terkecuali: pakej hiasan dalaman klasik mengadunkan kulit dan aluminium lalu menghasilkan kesan bergaya yang hanya mampu dicapai oleh Porsche. Tempat duduknya juga begitu menonjol, dengan bahan serta corak ikonik daripada model 911 yang awal: apa yang digelar sebagai "Pepita" – tekstil tenunan dua tona dengan corak berlian kecil yang memang tidak syak lagi kepunyaan Porsche. Bagi meraikan tarikh kelahiran model 911, penghasilan kereta Porsche 911 Edisi Ulang Tahun ke-50 akan dihadkan kepada hanya 1,963 kereta sahaja – dan tidak akan dikeluarkan lagi selepas itu.

Sambil malam itu beransur ke penghujungnya, penghibur Cina terkenal Sun Nan memberikan persembahan penuh istimewa untuk para tetamu dan ditutup dengan menyanyikan lagu "Selamat Hari Jadi" untuk model Porsche 911. En. Deesch Papke dan lima Pengurus Besar Pusat Porsche bergilir-gilir memotong kek hari jadi yang dihasilkan sempena acara itu.

 

Source: Porsche
Keywords: Auto Transportation Trucking and Road Transportation