RIYADH, Arab Saudi, 9 Oktober 2022 /PRNewswire/ -- Kementerian Haji dan Umrah hari ini mengumumkan pelancaran Nusuk (nusuk.sa), sebuah platform digital bersepadu rasmi Kerajaan Arab Saudi yang menawarkan kaedah perancangan yang mudah kepada para jemaah dan pengunjung untuk melakukan perjalanan ke Makkah dan Madinah. E-platform ini bertujuan untuk menambah baik pengalaman umat Islam dari seluruh dunia yang berkunjung ke Arab Saudi serta memudahkan prosedur ketibaan para pengunjung yang ingin menunaikan Umrah. Nusuk ialah satu inisiatif Program Pengalaman Jemaah dalam Wawasan 2030 Arab Saudi.
Nusuk menyediakan maklumat dan pelbagai perkhidmatan kepada para jemaah dan pengunjung yang membolehkan mereka melakukan Ibadah Umrah dengan mudah dan selesa. Ia juga akan meningkatkan kualiti perkhidmatan yang disediakan dan memperkayakan pengalaman kerohanian dan kebudayaan para pengunjung, bagi mencapai matlamat yang ditetapkan dalam Wawasan 2030 Arab Saudi.
Nusuk dilancarkan dengan kerjasama dan kolaborasi daripada Pihak Berkuasa Pelancongan Arab Saudi untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan di seluruh ekosistem Visit Saudi (Melawat Arab Saudi) termasuk mempermudah urusan visa, permit, memproses tempahan dan prosedur. Nusuk juga menawarkan pelbagai pakej dan program untuk menambah baik dan memperkayakan pengalaman para umat Islam yang berkunjung ke Mekah dan Madinah.
Untuk peringkat selanjutnya, perkhidmatan tambahan akan merangkumi peta interaktif, kalendar tawaran dan aktiviti, maklumat dan perkhidmatan penjagaan kesihatan serta panduan digital untuk semua garis panduan dasar yang tersedia dalam beberapa bahasa. Nusuk juga membuka peluang kepada sektor swasta yang membolehkan para penyedia perkhidmatan menawarkan perkhidmatan mereka menggunakan kaedah elektronik kepada para jemaah dan pengunjung. Platform Maqam akan terus menyokong perancangan Program Perjalanan Umrah sehingga perkhidmatannya dipindahkan ke Nusuk pada peringkat seterusnya.
Tuan Yang Terutama Menteri Haji dan Umrah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Pengalaman Jemaah, Dr. Tawfiq Al-Rabiah menjelaskan bahawa Nusuk merupakan suatu kesinambungan dalam usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang disediakan kepada para jemaah menggunakan teknologi terkini. Selain itu, dengan kerjasama beberapa buah agensi kerajaan, Nusuk akan berfungsi sebagai alat yang mempermudahkan prosedur dan membolehkan para jemaah dan pengunjung menikmati perjalanan ibadah mereka dengan mudah dan selesa.
Sementara itu, Tuan Yang Terutama Menteri Pelancongan yang juga merupakan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Pelancongan Arab Saudi, Ahmed Al Khateeb, turut menekankan kepentingan Nusuk di bawah naungan Program Pengalaman Jemaah dan peranannya dalam rangka kerja kolaborasi serta integrasi antara Pihak Berkuasa tersebut dengan Kementerian Haji dan Umrah. Memudahkan proses mengerjakan Umrah dan menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh umat Islam merupakan langkah yang penting dalam mencapai objektif Wawasan 2030 Arab Saudi.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.nusuk.sa
Tentang NUSUK
Nusuk, sebuah platform digital bersepadu rasmi yang pertama bagi Arab Saudi, menawarkan kaedah perancangan yang mudah digunakan kepada para jemaah dan pengunjung untuk melakukan perjalanan ke Mekah dan Madinah serta tempat-tempat lain. Dengan adanya Nusuk, para pelancong dari seluruh dunia dapat menyusun atur keseluruhan proses ziarah mereka dengan mudah, daripada permohonan e-Visa hingga tempahan hotel dan tiket penerbangan. Untuk peringkat selanjutnya, Nusuk juga bakal digunakan untuk menjadualkan lawatan ke lokasi-lokasi penting, mencari pengangkutan, menyusun jadual perjalanan dan mendapatkan peta interaktif.
Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1907444/Nusuk_platform_eng_Infographic.jpg?p=medium600