![]() |
ROTTERDAM, Belanda, 11 Oktober 2022 /PRNewswire/ -- LyondellBasell dan 23 Oaks Investments, Leiferde/Lower Saxony, Jerman, telah menandatangani satu perjanjian untuk membina Source One Plastics, sebuah usaha sama yang akan membina kemudahan pengisihan dan kitar semula sisa plastik yang cekap tenaga dan canggih di Jerman. Dengan menggunakan tenaga boleh baharu daripada angin dan biojisim, unit baharu ini direka untuk memproses sisa pembungkusan plastik yang dihasilkan oleh kira-kira 1.3 juta warganegara Jerman setiap tahun. Sisa seperti ini tidak dikitar semula hari ini dan kebanyakannya akan dibakar.
Kemudahan Source One Plastics akan menghasilkan sisa terproses yang akan menjadi sebahagian daripada komponen bahan mentah untuk loji kitar semula canggih yang dirancang untuk dibina oleh LyondellBasell di lokasinya di Wesseling, Jerman. Dengan menggunakan teknologi MoReTec proprietari LyondellBasell, loji ini akan menjadi loji kitar semula canggih yang pertama dengan laluan tunggal dan berskala komersial yang direka untuk menunjukkan keupayaannya dalam kebolehskalaan selanjutnya. LyondellBasell telah pun mengendalikan sebuah loji MoReTec berskala separa perindustrian di lokasinya Ferrara, Itali.
Loji baharu LyondellBasell direka untuk menukar sisa plastik pasca penggunaan yang sukar dikitar semula menjadi bahan mentah untuk menghasilkan bahan plastik baharu. Sebaik sahaja beroperasi, ia akan membolehkan proses kitar semula dilakukan ke atas kebanyakan jenis bahan plastik seperti barangan pembungkusan makanan berbilang lapisan atau bekas plastik campuran. Keputusan pelaburan terakhir untuk projek ini telah dijadualkan untuk dimuktamadkan pada bulan-bulan yang akan datang. Kedua-dua projek ini menyumbang kepada hasrat kelestarian LyondellBasell untuk menamatkan penghasilan sisa plastik dalam alam sekitar.
"Kami komited untuk menyokong pelanggan kami bagi memenuhi permintaan mereka terhadap penyelesaian kitaran yang boleh diperbaharui," kata Yvonne van der Laan, Naib Presiden Eksekutif Penyelesaian Kitaran dan Karbon Rendah LyondellBasell. "Untuk benar-benar mencapai ekonomi kitaran, kami perlu mencari penyelesaian yang kreatif bagi memenuhi keperluan masyarakat. Kami mengambil langkah pertama yang penting pada peringkat awal rantaian perniagaan ini untuk mendapatkan akses kepada sisa plastik yang akan kami tukarkan kepada bahan plastik baharu di loji kitar semula kami yang canggih. Ini akan membolehkan kami memenuhi matlamat kitaran kami dan menghasilkan dua juta tan polimer daripada sumber yang dikitar semula atau yang boleh diperbaharui setiap tahun menjelang 2030."
23 Oaks Investments ialah penyedia penyelesaian strategik dalam penggunaan semula sisa plastik kitar semula pasca pengguna (PCR) dengan pengalaman yang luas dalam industri plastik. Usaha sama Source One Plastics akan menawarkan portfolio perkhidmatan yang luas termasuk perolehan, pengisihan dan prarawatan sisa untuk menghasilkan bahan mentah yang sesuai bagi mengeluarkan bahan PCR berkualiti tinggi untuk pelbagai penggunaan.
"Dengan pengalaman global kami di semua peringkat ekonomi kitaran serta pengetahuan kami yang luas dalam semua bidang rantaian nilai kitar semula plastik yang digabungkan dengan pendekatan praktikal kami yang kukuh, kami berpendapat bahawa kami mempunyai gabungan kecekapan yang tepat untuk menjadikan Source One Plastics suatu kejayaan," kata Kai Hoyer, Rakan Kongsi Urusan 23 Oaks Investment. "Dengan komitmen LyondellBasell untuk memperluas tawaran produk polimer kitarannya serta usahanya untuk membangunkan proses kitar semula yang canggih ke dalam teknologi berskala perindustrian, 23 Oaks mampu melaksanakan peranannya untuk merealisasikan hasrat ini."
Selain daripada loji kitar semula berskala separa perindustrian yang canggih, LyondellBasell turut memegang sebanyak 50% saham dalam Quality Circular Polymers (QCP). QCP menggunakan proses kitar semula mekanikal untuk menghasilkan pelet plastik premium daripada sisa pembungkusan pasca pengguna untuk digunakan dalam barang-barang kegunaan seperti peralatan elektrik, botol detergen pencuci dan beg pakaian.
Tentang LyondellBasell
Sebagai peneraju dalam industri kimia global, LyondellBasell berusaha setiap hari untuk menjadi syarikat yang paling selamat, dikendalikan dengan cara terbaik dan paling bernilai dalam industri kami. Produk, bahan dan teknologi syarikat ini memberikan kecanggihan dalam penyelesaian lestari dari segi keselamatan makanan, akses kepada air bersih, penjagaan kesihatan dan bahan api cekap di lebih 100 pasaran antarabangsa. LyondellBasell meletakkan keutamaan yang tinggi terhadap kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman serta Menggalakkan Kebaikan dengan penekanan kepada planet, komuniti tempat kami beroperasi serta tenaga kerja kami pada masa hadapan. Syarikat ini berbangga dengan teknologi bertaraf dunia serta fokusnya kepada para pelanggan. LyondellBasell telah meningkatkan cita-cita dan tindakan kitaran serta iklimnya untuk menangani cabaran global dalam sisa plastik dan penyahkarbonan. Pada tahun 2022, LyondellBasell telah tersenarai sebagai salah satu daripada "Syarikat-Syarikat Paling Dikagumi di Dunia" dalam Majalah FORTUNE untuk tahun kelima berturut-turut. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.lyondellbasell.com atau ikuti @LyondellBasell di LinkedIn.
Tentang 23 Oaks Investment
23 Oaks Investment GmbH ialah sebuah syarikat induk yang bermatlamat untuk mewujudkan infrastruktur global ekonomi kitaran tertutup melalui pelaburan kewangan dan operasi dalam syarikat-syarikat industri plastik yang lestari. Ia melabur dalam pembangunan produk jimat sumber serta dalam reka bentuk dan pembinaan sistem pengumpulan, pengisihan dan kitar semula yang inovatif. 23 Oaks menggabungkan manfaat alam sekitar dan ekonomi dalam Ekonomi Kitaran yang menghasilkan penyelesaian penggunaan plastik secara bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan iklim. 23 Oaks telah ditubuhkan pada bulan Jun 2019 oleh Kai Hoyer di Leiferde/Lower Saxony, Jerman.
PERNYATAAN BERPANDANGAN KE HADAPAN
Pernyataan dalam siaran ini yang berkaitan dengan perkara yang bukan fakta sejarah adalah pernyataan berpandangan ke hadapan. Pernyataan berpandangan ke hadapan ini adalah berdasarkan andaian pihak pengurusan LyondellBasell yang dipercayai munasabah semasa ia dibuat dan tertakluk kepada risiko serta ketidakpastian yang ketara. Keputusan sebenar mungkin berbeza secara material berdasarkan faktor-faktor termasuk, namun tidak terhad kepada, keupayaan kami untuk memenuhi matlamat kelestarian kami, termasuk keupayaan untuk meningkatkan pengeluaran polimer berasaskan bahan kitar semula dan boleh diperbaharui; keupayaan kami untuk mendapatkan tenaga daripada sumber boleh baharu; potensi tindakan kawal selia kerajaan; serta kejayaan pembinaan dan operasi kemudahan usaha sama yang dijelaskan dalam siaran ini. Faktor tambahan yang boleh menyebabkan keputusan berbeza secara material daripada yang diterangkan dalam pernyataan berpandangan ke hadapan ini boleh didapati dalam bahagian "Faktor Risiko" Borang 10-K kami untuk tahun yang berakhir pada 31 Disember 2021, yang juga tersedia di www.LyondellBasell.com pada halaman Perhubungan Pelabur dan di laman web Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa di www.sec.gov. Tiada jaminan bahawa mana-mana tindakan, peristiwa atau hasil pernyataan berpandangan ke hadapan ini akan berlaku, atau sekalipun jika ia berlaku, tiada jaminan tentang kesannya terhadap keputusan operasi atau keadaan kewangan kami. Pernyataan berpandangan ke hadapan ini hanya benar pada tarikh ia dibuat dan berdasarkan anggaran serta pendapat pihak pengurusan LyondellBasell ketika ia disediakan. LyondellBasell tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini pernyataan berpandangan ke hadapan ini sekiranya keadaan atau anggaran atau pendapat pihak pengurusan berubah, kecuali jika dikehendaki oleh undang-undang.
Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1916035/Source_One_Plastic.jpg?p=medium600
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/562522/LYB_Advancing_Possible_Logo.jpg?p=medium600