![]() |
TAMPA, Florida, 14 Oktober 2022 /PRNewswire/ -- AACSB International (AACSB) hari ini mengumumkan pelantikan Ronald (Ron) Tuninga sebagai Naib Presiden merangkap Pengarah Urusan yang baharu untuk Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA). Beliau akan memimpin pertumbuhan berterusan dalam rantau EMEA, termasuk perancangan strategik, operasi, jangkauan dan aktiviti penglibatan serta mendukung nilai pendidikan perniagaan dan akreditasi AACSB.
Tuninga akan meneruskan usaha Tim Mescon, Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EMEA yang akan bersara pada bulan Disember 2022 selepas menubuhkan pejabat di Amsterdam (Belanda) pada tahun 2014 dan meningkatkan keahlian di EMEA sebanyak hampir 60 peratus.
"Keupayaan semula jadi Ron untuk berhubung dan melibatkan diri dengan ahli dan para pemegang taruh AACSB merupakan suatu aset yang luar biasa bagi kami sambil kami meneruskan perkembangan di EMEA dan meningkatkan hubungan kami dengan para pendidik, perniagaan dan kerajaan," kata Geoff Perry, Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Keahlian Global serta Pengarah Urusan Asia Pasifik. "Kami menumpukan perhatian terhadap peningkatan kualiti pendidikan perniagaan di seluruh dunia dan membantu sekolah-sekolah untuk menyumbang kepada masyarakat dengan cara yang positif dan bermanfaat. Pengalaman dan rangkaian perniagaan Ron akan memberi impak segera terhadap nilai yang kami berikan di seluruh rantau EMEA dan juga di seluruh dunia."
Seorang pemimpin keusahawanan yang inovatif dengan kepakaran global dalam sektor pendidikan tinggi awam dan swasta, Tuninga merupakan mantan Naib Presiden Hal Ehwal Akademik di Wittenborg University of Applied Sciences, Pengerusi Pusat Penyelidikan Perniagaan Antarabangsa, HAN University of Applied Sciences (Belanda), Pro Naib Canselor (Keusahawanan) dan Dekan Fakulti Perniagaan dan Undang-undang di Kingston University, London (United Kingdom) serta dekan di AVT Business School di Copenhagen (Denmark). Beliau juga merupakan mantan Pengarah Dekan di Maastricht School of Management (Belanda). Tuninga berkelulusan PhD dari Temple University (Philadelphia, AS), MA Ekonomi, MBA Perniagaan Antarabangsa dan MSc Pemasaran.
Saya sangat teruja mengalu-alukan kedatangan Ron ke dalam barisan para pemimpin AACSB dan tidak sabar menantikan kesan yang akan beliau bawakan apabila mengembangkan jangkauan dan pengaruh AACSB dalam rantau EMEA kelak," kata Caryn L. Beck-Dudley, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif AACSB. "Beliau mendedikasikan seluruh kerjayanya untuk memajukan dan menyokong pendidikan berkualiti di seluruh dunia dan akan menjadi salah satu daya yang mendorong visi AACSB untuk mempercepat transformasi dan inovasi dalam pendidikan perniagaan."
Tuninga telah terlibat dalam projek antarabangsa yang dibiayai oleh kerajaan Belanda, Bank Dunia, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pertubuhan antarabangsa yang lain. Beliau juga telah melibatkan diri secara aktif sebagai sukarelawan AACSB. Tuninga berpangkalan di pejabat AACSB di Amsterdam, Belanda dan akan diperkenalkan kepada ahli AACSB di Persidangan Tahunan EMEA, pada 23-25 November 2022 di Amsterdam, Belanda.
Tentang AACSB International
Ditubuhkan pada tahun 1916, AACSB International (AACSB) ialah sebuah pakatan pendidikan perniagaan yang terbesar di dunia, menghubungkan pendidik, pelajar dan perniagaan untuk mewujudkan generasi pemimpin akan datang yang hebat. Dengan kehadiran di lebih 100 buah negara dan wilayah, AACSB memupuk penglibatan, mempercepatkan inovasi dan meluaskan kesan dalam pendidikan perniagaan. Ketahui cara AACSB mengubah pendidikan perniagaan demi masyarakat yang lebih baik di aacsb.edu.
Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1919601/Tuninga___Headshot___October_2022.jpg?p=medium600
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/492010/AACSB_Logo.jpg?p=medium600