Pada Hari Mencuci Tangan Global, iaitu 15 Oktober 2022, GHC menyeru agar pelaburan ditingkatkan dalam pendidikan dan sumber mencuci tangan untuk mencapai kebersihan tangan sejagat, mencegah penyakit dan menyelamatkan nyawa.
LONDON, 15 Oktober 2022 /PRNewswire/ -- Mencuci tangan dengan sabun merupakan salah satu langkah yang paling penting untuk mengurangkan penyebaran penyakit berjangkit. Ia jauh kurang mahal berbanding campur tangan kesihatan awam yang lain serta mempunyai banyak manfaat sosioekonomi selain daripada pengurangan penyakit seperti peningkatan produktiviti dan pengurangan kos penjagaan kesihatan.
Akibat daripada pandemik COVID-19, usaha telah dibuat untuk meningkatkan tabiat kebersihan, namun menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kita perlu melipatgandakan usaha semasa sebanyak empat kali ganda untuk mencapai sasaran kebersihan yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Matlamat Pembangunan Lestari. Sekiranya trend semasa masih berterusan, dianggarkan 1.9 bilion orang masih tidak mempunyai kemudahan mencuci tangan asas di rumah menjelang tahun 2030, ini sekali gus menekankan keperluan untuk meningkatkan pelaburan dalam program mencuci tangan di seluruh dunia.
Ketika COVID-19 muncul, akses kepada kemudahan mencuci tangan, pendidikan dan pembiayaan tidak mencukupi: 30% daripada populasi global tidak mempunyai kemudahan untuk mencuci tangan dengan sabun dan air; dan hampir separuh daripada kemudahan penjagaan kesihatan (43%) kekurangan kemudahan kebersihan tangan asas di pusat penjagaan. Usaha GHC sejajar dengan tema Hari Mencuci Tangan Global 2022 iaitu 'Bersatu untuk Kebersihan Tangan Sejagat' dan menyeru pihak berkuasa kesihatan untuk mengutamakan kebersihan tangan bagi membantu mencegah jangkitan.
Kajian yang dijalankan menganggarkan bahawa program mencuci tangan kebangsaan boleh menghasilkan pulangan ekonomi yang memberangsangkan, menggandakan pulangan pelaburan, yang menyaksikan beberapa negara mengatasi perkara tersebut secara drastik. Satu kajian menunjukkan bahawa sebuah program mencuci tangan kebangsaan di India boleh menghasilkan pulangan pelaburan sebanyak 92 kali ganda.
Profesor Emeritus Elizabeth Scott, PhD, Pengerusi Majlis Kebersihan Global mengulas:
"GHC memperjuangkan kebersihan, termasuk mencuci tangan, sebagai cara utama untuk mencegah jangkitan. Dalam abad ke-21 ini, adalah tidak wajar apabila berbilion-bilion orang di seluruh dunia masih tidak mempunyai akses kepada cucian tangan asas dengan sabun dan air.
Usaha kolaboratif besar-besaran diperlukan di semua peringkat masyarakat, termasuk peningkatan pelaburan dalam infrastruktur kebersihan oleh pihak kerajaan. Kita perlu kembali kepada perkara asas dan meningkatkan profil kebersihan tangan, termasuk mencuci dengan sabun dan air atau menggunakan pensanitasi berasaskan alkohol apabila akses kepada sabun dan air bersih tidak tersedia untuk memastikan usaha ini kekal sebagai kaedah pencegahan jangkitan barisan hadapan dalam persekitaran penjagaan kesihatan dan komuniti."
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1915576/Global_Hygiene_Council_Logo.jpg?p=medium600